Perang Dunia Kedua – Pembunuhan Laksamana Yamamoto

Nama
Yamamoto sudah tidak asing lagi di serata dunia. Beliau dianggap sebagai
pelopor utama pelan serangan Jepun di Pearl Harbor. Beliau merupakan seorang
pakar dalam strategi perang laut dan amat membenci perang. Namun, orang Amerika
mengganggap beliau sebagai penyebab utama askar Amerika mati di Pearl Harbor.
Mereka lebih suka jika beliau mati. Oleh hal yang demikian, President Roosevelt
mengarahkan Yamamoto dibunuh.

Kekalahan
demi kekalahan yang dialami oleh Jepun terhadap Amerika menyebabkan rakyat
berasa kurang senang. Mereka menuduh bahawa pegawai atasan Jepun hanya duduk
goyang kaki sahaja dan membiarkan tentera-tentera bawahan mati berjuang.
Pegawai-pegawai atasan ini dituduh pengecut.

Bagi
menenteramkan situasi ini, Laksamana Isoroku Yamamoto, komander Armada Tentera
Laut Empayar Jepun mengambil keputusan untuk membuat beberapa lawatan rasmi di
Pasifik. Kekalahan Jepun di Midway dan Guadalcanal membuatkan tentera Jepun
memerlukan seorang perajurit terkenal untuk memberikan mereka harapan.

Operasi I-Go

Yamamoto (kiri sekali) melihat pertunjukkan udara di Pangakalan Tentera Udara Jepun di Rabaul

Dalam pada itu, pihak Jepun juga sedang sibuk dalam merancang Operasi I-Go, iaitu serangan udara besar-besaran terhadap tentera Amerika yang berpangkalan di sekitar Guadalcanal. Serangan yang bermula pada 1 April 1943 itu berjaya menenggelamkan beberapa buah kapal dagang, sebuah kapal pemusnah dan sebuah kapal korvet milik Amerika dan sekutunya yang menuju ke Guadalcanal.

Yamamoto
menganggap bahawa kejayaan tentera Jepun memusnahkan beberapa kapal Amerika
sudah mencukupi untuk menoktahkan hajat Amerika untuk mara lebih jauh ke
Pasifik. Oleh itu, beliau menghentikan Operasi I-Go pada 16 April. Hakikatnya,
operasi ini tidak sedikit pun mencacatkan kekuatan tentera Amerika di sana.
Terdapat banyak lagi tentera Amerika pimpinan Laksamana William Halsey Jr di
selatan Pasifik.

Sebenarnya
Yamamoto terlalu percaya akan laporan yang diberikan oleh pihak perisikan Jepun
dan tentera-tentera yang mengambil bahagian dalam Operasi I-Go. Mereka
memandang rendah akan kemusnahan yang dialami oleh kapal-kapal Amerika di sana.

Antara
sebab lain yang meyakinkan Yamamoto bahawa Operasi I-Go ini telah berjaya
adalah kehebatan maklumat perisikan Amerika yang berjaya menyahkodkan semua
kod-kod rahsia tentera Jepun. Hal ini membuatkan Laksamana Halsey berjaya
menarik armada lautnya lebih awal supaya dapat memperdayakan Yamamoto. Maklumat
perisikan Amerika meyakinkan Yamamoto bahawa tentera Amerika semakin kurang dan
melemah di Guadalcanal.

Membunuh
Yamamoto

Presiden
Amerika, Franklin Roosevelt mengetahui mengenai pembocoran maklumat yang
dialami oleh tentera Jepun. Dengan kelebihan ini, beliau mengarahkan Setiausaha
Tentera Laut, Frank Knox untuk “dapatkan Yamamoto”.

Kemudian,
Knox menghubungi Komander Tentera Keseluruhan Pasifik, Laksamana Chester Nimitz
untuk melaksanakan tugasan tersebut. Nimitz pula mengarahkan Laksamana William
Halsey Jr, komander Tentera Pasifik Selatan untuk merancana pelan membunuh
Yamamoto, Operation Vengeance.

Tentera
Laut Amerika berjaya membaca kod-kod Jepun sejak Operasi I-Go berjalan lagi.
Mereka tahu bahawa Yamamoto selalu berlegar-legar di sekitar kepulauan Solomon
dan Papua New Guinea. Mereka juga mengetahui bila beliau bergerak, kemana dan
menaiki kenderaan apa.

Tanpa
berlengah-lengah lagi, Halsey mencari komander 339th Fighter Group,
Major John Mitchell untuk mencari 16 orang krew dalam misi Operation
Vengeance.
Seramai 16 orang juruterbang tempur, termasuk Mitchell berjaya
dikumpul untuk misi ini. Mereka diberitahu bahawa mereka akan keluar memburu
orang kenamaan, tanpa mengetahui orang itu ialah Yamamoto.

Pesawat pejuang Lockheed P-43 Lightning yang akan digunakan untuk Operasi Vengeance.

Pada jam 0730, 14 April 1943, pasukan 339th Fighter Group pimpinan Major Mitchell berlepas daripada lapangan terbang Kukum, Guadalcanal menuju ke Pulau Bouganville dimana konvoi udara Yamamoto akan terbang.

Sementara
itu di markas utama Angkatan Tentera Jepun di Rabaul, Laksamana Yamamoto
dijadualkan akan berlepas ke Bouganville pada jam 0600 dan dijangka tiba di
destinasi sekitar jam 0800. Perjalanan tersebut merupakan perjalanan sejauh 507
km. Ramai pegawai-pegawai di Rabaul melarang agar Yamamoto tidak membuat
penerbangan tersebut. Mereka mendapat beberapa maklumat yang tidak sahih
mengenai terdapat ura-ura mengatakan bahawa Amerika mahu menyerang konvoi
Yamamoto berdekatan Bouganville.

Peta menunjukkan Pelan Operation Vengeance untuk memintas pesawat Yamamoto.

Namun, Yamamoto mengendahkan maklumat tersebut dan tetap meneruskan penerbangan tersebut. Bersama-sama menemani beliau ialah Laksamana Madya Matome Ugaki yang merupakan Ketua Staf Tentera Laut Jepun. Mereka berdua akan menaiki kapal terbang secara berasingan iaitu Pesawat Pengebom G4M1 “Betty”. Dalam penerbangan ini, mereka dibantu oleh 6 buah pesawat pejuang A6M2 “Zero” yang terkenal.

Formasi
yang akan digunakan untuk menjaga konvoi Yamamoto ialah formasi “V”. Tiga
pesawat “Zero” akan menjaga Yamamoto dan tiga lagi akan menjaga Ugaki.

Pesawat “Zero” yang ditugaskan untuk menjaga Yamamoto

Manakala jumlah pesawat tentera Amerika pimpinan Major Mitchell lebih banyak daripada konvoi Yamamoto. Sebanyak 16 pesawat Lockheed P-38 Lightning terbang menuju ke Bouganville daripada Guadalcanal, menjadikan ia misi pintasan udara paling jauh dalam sejarah (970 km).

Pada
jam 0934, pasukan Mitchel menemui konvoi pesawat Yamamoto dan mula menyerang.
Serangan tersebut bukannya mudah apabila mereka dikesan oleh pesawat “Zero”
yang menjaga kedua-dua VIP ini. Kesemua 6 pesawat “Zero” ini terus membuat
serangan balas terhadap pasukan Mitchel.

Apabila
mereka semakin menghampiri satu-sama lain, juruterbang “Zero” tersebut
menyedari bahawa mereka akan berlawan dengan 16 pesawat musuh manakala mereka
hanya ada 6 sahaja. Hal ini membuatkan pesawat yang dinaiki Yamamoto dan Ugaki
menjadi sangat sangat terdedah.

Mitchel
mengarahkan dua pesawat P-38 yang dikemudikan oleh Captain Thomas Lanphier dan
Lieutenant Rex Barber untuk menyerang dan menjatuhkan pesawat Yamamoto dan
Ugaki. Sebuah pesawat “Zero” cuba menahan pesawat Lanphier dan Barber.

Lanphier
cuba mengalihkan pandangan pesawat musuh tersebut untuk memberi laluan kepada
Barber untuk menembak jatuh pesawat-pesawat yang dicari-cari (Yamamoto dan
Ugaki).

Ilustrasi Pesawat G4M1 yang dinaiki Yamamoto dikejar oleh Pesawat P-38.

Apabila Barber menemui pesawat tersebut, beliau terbang di belakang pesawat musuh yang mengangkut sama ada Yamamoto atau Ugaki dan melepaskan tembakan bertubi-tubi mengenai ekor dan tanki pesawat tersebut. Sejurus itu, asap tebal mula keluar dan hampir hampir sahaja melanggar pesawat Barber. Pesawat tersebut berjaya dielak dan terhempas ke hutan rimba di pulau Bouganville.

Selapas
itu, Barber terbang mencari pesawat yang membawa VIP terakhir yang kini terbang
rendah menuju ke pantai. Kelajuan pesawat P-38 berjaya memintas pesawat
tersebut sebelum melepaskan berdas-das tembakan ke arah sayap kanan pesawat.
Beberapa saat kemudian, pesawat tersebut terhempas di lautan.

Seorang
juruterbang pesawat “Zero”, Petty Officer Kenji Yanagiya, merupakan
satu-satunya juruterbang yang hidup selepas perang yang dapat menceritakan apa
yang berlaku. Beliau berkata, selepas melihat dua buah pesawat yang dinaiki
Yamamoto dan Ugaki terhempas, beliau secara solo mengejar pesawat-pesawat
tentera Amerika tersebut yang sedang pulang ke Guadalcanal.

Kenji Yanagiya antara juruterbang “Zero” yang dapat menjadi sumber insiden tersebut.

Beliau berjaya menembak jatuh satu pesawat P-38 ketika pesawat tersebut sedang terbang rendah kerana hampir kehabisan minyak. Yanagiya tidak sempat untuk mengejar kesemua 15 pesawat P-38 yang lain kerana berisiko. Lalu beliau pulang ke pangkalan udara di Bouganville bersama-sama pesawat “Zero” yang lain. Selepas mendarat, beliau diberitahu kejadian yang berlaku sebenatar tadi akan menggugat Tentera Laut Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Yanagiya dan 5 krew yang lain diarahkan untuk menyimpan rahsia yang pesawat Yamamoto dan Ugaki telah terhempas.

Tamparan hebat
terhadap Jepun

Pada
keesokkan harinya, 19 April, bangkai kedua-dua pesawat berjaya ditemui. Bangkai
pesawat “Betty” yang terhempas di laut itu dinaiki oleh Laksamana Ugaki. Beliau
terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Rex Barber bertanggungjawab dalam menjatuhkan kedua-dua pesawa “VIP” Jepun.

Namun, pesawat “Betty” yang terhempas di hutan Bouganville mendapat nasib yang berbeza. Seluruh anak kapal pesawat tersebut terbunuh termasuk Ketua Angkatan Laut Jepun, Laksamana Isoroku Yamamoto. Beliau dijumpai terduduk di kerusi pesawat sambil memegang pedang samurai. Beliau terbunuh akibat ditemak di bahagian bahu kiri dan rahang kirinya.

Pemerintahan
tinggi Tentera Amerika segera memberitahu bahawa insiden tersebut dilakukan
secara tidak sengaja bagi mengelakkan bahawa Tentera Jepun mengetahui bahawa
kod-kod rahsia mereka berjaya dipecah masuk.

Kematian
Yamamoto menjadi pembakar semangat kepada tentera-tentera dan rakyat Amerika.
Manakala bagi Jepun, kematian Laksamana agung ini memberi tamparan yang sangat
hebat buat mereka. Kematian beliau di isytiharkan pada 21 Mei 1943, lebih
sebulan dari tarikh beliau terbunuh.

Mayat
Yamamoto dibakar di Bouganville sebelum dibawa ke Tokyo menerusi kapal
Super-Battleship Musashi. Pada 5 June 1943, beliau diberi penghormatan
terakhir oleh seluruh rakyat Jepun, termasuk Perdana Menteri Hideki Tojo.
Selepas itu, beliau diberi darjah kebesaran tertinggi Jepun, Order of
Chrysanthemum dan juga darjah kebesaran Nazi Jerman iaitu Knight Cross of the
Iron Cross with Oak Leaves and Swords. Beliau juga dinaikkan pangkat ke
Laksamana Besar atau Marshal-Admiral (panglima 5 bintang).

“Selepas
perang tamat, aku teringin nak bukak Casino dekat Monaco”. Maka berakhirlah
riwayat Laksamana Yamamoto yang merupakan arkitek kepada peperangan Jepun di
Pasifik. Serta lunaslah dendam rakyat Amerika terhadap “orang yang hendak menentukan
isi perjanjian damai di White House”. Kejadian ini sememangnya melumpuhkan
morale tentera Jepun. Tempat beliau digantikan oleh Laksamana Mineichi Koga.

Rujukan

  1. Davis, Donald A. (2005). Lightning Strike: The Secret Mission to Kill Admiral Yamamoto and Avenge Pearl Harbor. New York: St. Martin’s Press.
  2. Canning, Douglas S. (2006). “Who Shot Down Yamamoto?, letter,”. Air Force Magazine. 89. Arlington, VA, USA: Air Force Association. pp. 7–8.
  3. “P-38 Lightning’s shoot down Yamamoto”      https://www.youtube.com/watch?v=fKvJgFldgGA

Sumber : ThePatriots