Tsunami Toffee-Apple: “Ombak” Molases Membasahi Boston Amerika

Molases merupakan sebuah sirap hitam yang
terhasil daripada tebu ataupun ubi manis. Amerika Syarikat telah menghasilkan
molases secara berterusan kerana molases mempunyai aroma yang wangi dan rasanya
yang enak. Molases digunakan secara meluas di Amerika Syarikat untuk dijadikan
pemanis dan perasa tambahan kepada makanan. Molases masuk ke Amerika Syarikat
pada awal tahun 1700-an dan sejak itu penghasilan molases berkembang di Amerika
Syarikat terutamanya Boston.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1919, satu tragedi hitam telah melanda Boston apabila tsunami molases melimpah ke seluruh bandar Boston. Limpahan molases yang dipanggil juga sebagai Tsunami Toffee-Apple telah meragut nyawa 21 orang dan mencederakan lebih 150 mangsa.

Peristiwa yang berlaku pada 15 Januari 1919 ini terjadi apabila tangki yang dipenuhi dengan molases meletup dan menghasilkan ombak molases yang melanda Boston. Ombak molases itu mencapai tinggi sehingga 15 kaki dan merentasi jalanan kota Boston pada kelajuan 35 mph. Selain itu, limpahan itu juga telah memusnahkan harta benda dan bangunan di Boston serta mengotorkan persekitaran bandar Boston dengan molases yang melekit.

Bandar Boston selepas tragedi, sumber: https://i.imgur.com/0Tlokpt.jpg?fb

Bagaimana
tangki molases boleh meletup?

Molases pada ketika itu telah disediakan dalam tangki besi seluas 90 kaki yang mengandungi 2 setengah juta galen molases. Molases itu dibawa daripada pembekal mereka di Caribbean untuk kegunaan Syarikat Perindustrian Alkohol Amerika Syarikat. Tangki tersebut berada dalam ukuran 50 kaki di atas tanah untuk perlindungan manakala prosedur pemanasan molases adalah biasa agar molases tersebut mudah untuk diproses. Namun begitu, pada malam sebelum kejadian, suhu di Boston menurun dengan drastik menyebabkan molases di dalam tangka tersebut mengembang lalu meletup sehingga menyebabkan berlakunya limpahan tersebut.

Tangki penyimpanan molases, sumber: https://i2.wp.com/csengineermag.com/wp-content/uploads/2014/08/tank.jpg?fit=750%2C500&ssl=1

Bagaimana
sirap boleh membunuh?

Seperti yang direkodkan, kebanyakan mangsa ialah pekerja di sekitar tangki itu kerana limpahan itu berlaku dengan cepat tanpa sebarang amaran menyebabkan para pekerja di sekitarnya tidak dapat bertindak menyelamatkan diri. Molases yang melimpah ke jalanan kota Boston dengan cepat dan ganas sehingga memusnahkan bangunan di sekeliling kota Boston. Ramai yang terkorban oleh limpahan ini disebabkan oleh tekstur molases yang melekit dan tebal menyebabkan mereka terperangkap dalam molases tersebut dan mereka maut kerana lemas. Kejadian ini menyebabkan bandar Boston dipenuhi dengan molases dan mengambil beberapa minggu agar Boston bersih dan pulih seperti sediakala.

Rujukan:

1. History 101: Boston Catasthropic Toffee-Apple Tsunami of 1919.

2. Daily Mail: Mysteries of the deadly 1919
Boston molasess tsunami solved.

Sumber : ThePatriots