Pengguna Alcatel Di Malaysia Terdedah Kepada Aplikasi Hasad Yang Terpasang Pada Peranti

Alcatel adalah jenama telefon pintar kelas pertengahan dan kelas permulaan yang agak popular. Kali terakhir telefon Alcatel dijual di Malaysia adalah Alcatel 1, Alcatel 3L dan Alcatel 5V yang berharga bermula RM298.

Terkini, laporan dari satu firma sekuriti Upstream mengatakan terdapat aplikasi hasad yang terpasang pada beberapa model telefon pintar Alcatel. Aplikasi ini adalah aplikasi cuaca yang terpasang yang bernama, Weather Forecast-World Weather Accurate Radar. Apa yang aplikasi ini lakukan adalah, secara senyap ia akan melanggan kepada perkhidmatan berbayar tanpa pengguna sedar.

Menurut Upstream, perkara ini berlaku pada Alcatel Pixi 4 dan Alcatel A3 Max kepada pengguna Brazil dan Malaysia. Platform sekuriti Upstream tersendiri, Secure-D berjaya menghalang sebanyak 27 juta langganan yang dijana oleh aplikasi cuaca tadi. Jika platform sekuriti ini tidak menghalang aplikasi cuaca ini membuat transaksi, pengguna-pengguna akan rugi sejumlah $1.5 Juta iaitu sekitar RM6.14 Juta. Selain daripada itu, aplikasi ini turut mengumpul nombor IMEI, emel dan lokasi pengguna dan dihantar terus ke pelayan di China.

Lebih mengejutkan, aplikasi cuaca ini dibangunkan oleh TCL – iaitu syarikat yang menghasilkan Alcatel, Palm dan Blackberry. Tiada bukti jika TCL yang bertanggungjawab, tetapi aplikasi ini sudah dibuang dari Google Play Store dan sudah tidak terpasang pada peranti Alcatel.

Sumber : Amanz