#Governmentshutdown – Mimpi Ngeri Ekonomi Negara Uncle Sam

Pada
Disember bulan lepas, warga Amerika menyaksikan berlakunya penutupan sesetengah
jabatan kerajaan oleh pentadbiran Rumah Putih berikutan pertelagahan belanjawan
antara Presiden Donald Trump dengan Kongres untuk membina tembok sempadan di
sempadan Amerika Syarikat-Mexico. Penutupan agensi-agensi kerajaan ini sudah
memasuki hari ke-22, lebih lama berbanding tempoh penutupan sama yang berlaku
semasa era Bill Clinton antara 1995 hingga 1996. Dan impak dari pertelagahan
ini perlahan-lahan dirasai di seluruh negara.

Impak ekonomi

Dari
segi ekonomi, buat masa ini ia tidaklah memberi kesan teruk berbanding tempoh
penutupan sama pada tahun 2013. Ini kerana pada tahun 2013, kerajaan mengalami
kerugian sebanyak $20 bilion akibat penutupan selama 16 hari. Menurut Joel
Prakken, ketua pakar ekonomi Amerika di IHS Markit, selagi mana penutupan ini
bersifat sementara, impak ke atas ekonomi negara Uncle Sam itu bersifat kecil
sahaja.

Namun,
pertelingkahan ini mengakibatkan banyak jabatan kerajaan ditutup termasuk Jabatan
Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Dan akibat penutupan ini, 800,000
pekerja persekutuan tidak akan mendapat gaji pertama mereka minggu ini. Selain
pekerja persekutuan, kontraktor-kontraktor yang ada kontrak dengan kerajaan
persekutuan juga akan terjejas. Ada yang sudah terkesan sehingga tidak dapat
membayar bil-bil bulanan mereka. Ada juga yang langsung tidak terkesan
berikutan pendapatan yang diterima sebelum ini dapat menampung kehidupan mereka
dengan syarat penutupan ini bersifat sementara. Buat masa ini, kebanyakan yang
terasa berada di kawasan tumpuan pekerja persekutuan seperti Washington DC di
mana berdasarkan analisis Moody’s memberi kesan kepada satu daripada enam
bentuk pekerjaan.

Tidak
seperti tempoh penutupan sebelum ini, ia tidak membabitkan sebahagian besar
jentera kerajaan dengan bil hanya mencecah 25% daripada belanjawan Kongres yang
disalurkan untuk perbelanjaan kerajaan. Dan dengan separuh daripada staf yang
bekerja tanpa gaji masih bekerja, ia sekurang-kurangnya mengurangkan gangguan
dari tersebar luas. Walaupun penutupan ini turut memberi kesan kepada
taman-taman negara di mana kebanyakan taman ditutup, pelancong-pelancong masih
boleh berbelanja di tempat lain sekaligus mengurangkan kesan gangguan ekonomi.

Tetapi
sekiranya ia dibiarkan berterusan, penangguhan bayaran gaji dan kehilangan cek
akan memberi kesan kepada kehidupan warga Amerika. Pada Jumaat lepas, agensi
penarafan S&P memberi amaran kos penutupan akan menyebabkan kerajaan
mengalami kerugian sebanyak $3.6 bilion dan jumlah tersebut akan bertambah
sebanyak dua kali ganda, melebihi kos pembinaan dinding sempadan yang berjumlah
$4.5 bilion. Sektor perniagaan pula memberi amaran mereka akan kehilangan
data-data ekonomi tertentu terutama data jualan runcit yang pasti akan
menyukarkan mereka menentukan hala tuju ekonomi Amerika untuk bulan-bulan
seterusnya. Ini diakui sendiri Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell yang
melihat tempoh penutupan yang berpanjangan akan memberi kesan buruk kepada
pertumbuhan ekonomi negara.

Impak penutupan agensi-agensi
kerajaan

1.
Laman-laman sesawang kerajaan tidak dilindungi kerana sijil-sijil keselamatan
yang berperanan sebagai pelindung laman-laman ini sudah luput tarikhnya.
Menurut laman sesawang perkhidmatan internet Netcraft, lebih 80 laman sesawang
yang menggunakan .gov sudah luput tarikh sijil keselamatannya. Antara laman
sesawang yang terjejas ialah Jabatan Keadilan, Mahkamah Rayuan dan Agensi
Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

2.
Pekerja-pekerja persekutuan yang terjejas mula menjual aset mereka di
laman-laman sesawang jualan atau bekerja sambilan bagi membolehkan mereka
mendapat wang segera untuk melunaskan bil-bil bulanan.

3.
Terima kasih kepada penutupan agensi-agensi kerajaan, ia memberi kesan kepada
keupayaan Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) untuk memeriksa kualiti makanan
terutama makanan berisiko seperti keju dan makanan laut.

4.
Bilangan pegawai keselamatan dan pengawal trafik udara menurun selepas tempoh
penutupan berlaku dengan pengawal trafik bergelut untuk mengawal trafik 43,000
penerbangan setiap hari.

5.
Renjer-renjer taman bergelut mengawal situasi di taman-taman negara terutama
membabitkan situasi kecemasan. Perkara sama turut menimpa staf-staf yang
bergelut menyelenggara taman-taman untuk terus beroperasi.

6.
Gangguan kepada persiapan Pentadbiran Atmosfera dan Laut Kebangsaan (NOAA)
untuk musim ribut taufan.

7.
Negeri-negeri terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyelenggara monumen
dan mercu tanda negeri yang seharusnya dibiayai kerajaan persekutuan.
Contohnya, negeri New York terpaksa berbelanja $65,000 setiap hari untuk
memastikan Statue of Liberty kekal bersih dan dibuka kepada pelancong.

8.
Bandar-bandar kecil yang menjadi tumpuan kakitangan persekutuan terpaksa
memendekkan waktu operasi atau menutup terus perniagaan mereka.

9.
Gangguan pada kerja-kerja saintifik terutama yang memerlukan dana seperti kerja
penyelenggaraan teleskop Hubble.

10.
Penutupan kebanyakan cawangan Muzium Smithsonian kecuali Bangunan Capitol.

11.
Gangguan kepada program-program penting orang asli Amerika termasuk kesihatan
dan makanan.

12.
Gangguan kepada program pembiayaan dan pinjaman golongan tani yang terkesan
dengan perang dagang Washington dengan China.

Ketika
ini, Kongres dan Senat meluluskan satu undang-undang bagi memastikan semua
kakitangan kerajaan persekutuan yang terkesan mendapat bayaran segera selepas
tempoh penutupan ini berakhir. Dan Trump bersedia menandatangani undang-undang
itu bagi membolehkan dana disalurkan secepat mungkin. Bagaimanapun, ia hanyalah
sedikit saguhati jika dibandingkan tekanan yang dihadapi kakitangan kerajaan
yang tidak tahu berapa lama tempoh penutupan ini akan berterusan. Jika Trump
merasakan tekanan ini akan mendorong Kongres mengubah pendirian berkenaan idea
dindingnya, maka beliau salah kerana Speaker Kongres Nancy Pelosi sudah
menyatakan pendirian menolak idea berkenaan. Justeru, tidak mustahil bagi
presiden Amerika itu menggunakan kuasa kecemasan untuk meluluskan belanjawan
dinding tetapi ia sudah pasti akan menimbulkan reaksi tidak popular dalam
kalangan penyokongnya sendiri termasuk menantunya Jared Kushner.

Mengapa idea tembok Trump satu
cadangan mengarut

1.
Halangan muka bumi terutama gunung-ganang, gurun dan haluan sungai. Jika idea
tersebut diteruskan, ia akan mencetuskan perbalahan undang-undang membabitkan
perjanjian Amerika-Mexico berkenaan Rio Grande yang dimeterai pada tahun 1889
dan gangguan terhadap penduduk yang menetap di kawasan sempadan kedua-dua belah
negara.

2.
Gangguan kepada kelestarian ekosistem yang wujud di kawasan sempadan terutama
membabitkan hidupan liar. Selain itu, ia akan menjejaskan usaha pemeliharaan
dan pemuliharaan alam yang dijalankan membabitkan kedua-dua negara dan
menjejaskan bilangan pelancong yang bertumpu ke kawasan berkenaan terutama
Taman Negara Big Bend.

3.
Bil pembinaan dan penyelenggaraan yang melampau antara $12-15 bilion (Mitch
McConnell), $21.6-25 bilion (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) dan $70 bilion
untuk kos pembinaan dengan $150 juta untuk kos selenggara (Demokrat).

4.
Gangguan logistik yang perlu dihadapi mana-mana pembina yang ‘bertuah’
sekiranya dianugerahkan kontrak membina tembok pada skala yang besar. Dan
selepas siap, ia akan menjadi satu cabaran logistik bagi pihak berkuasa untuk
meronda dan menyelenggara tembok berkenaan.

5.
Isu tanah membabitkan pemilik-pemilik ladang dan puak-puak orang asli Amerika.

6.
Gangguan kepada kegiatan ekonomi bandar-bandar sempadan kedua-dua negara
terutama dari segi pengangkutan dan perindustrian. Jika wujud gangguan pada
kawasan-kawasan ini, lebih empat juta warga Amerika akan menganggur. Kos
operasi juga pasti akan bertambah memandangkan kos operasi di Mexico jauh lebih
murah berbanding di Amerika.

SUMBER

1.
BBC. (2018). US partial government shutdown becomes longest on record. https://www.bbc.com/news/world-us-canada-46848435

2. BBC. (2018). #ShutdownStories: The impact of
the government shutdown. https://www.bbc.com/news/world-us-canada-46739180

3. BBC. (2018). US government
shutdown leaves websites insecure. https://www.bbc.com/news/technology-46836905

4. Rodgers, Lucy dan Stylianou,
Nassos. (2017). BBC. 6 things that could topple Donald Trump’s border wall. https://www.bbc.co.uk/news/resources/idt-d60acebe-2076-4bab-90b4-0e9a5f62ab12

5. Sherman, Natalia. (2018). BBC.
How much has the shutdown hit the US economy? https://www.bbc.com/news/business-46815847

 

Sumber : ThePatriots