Jangan Main Dengan Habuk, Takut Anda Dijangkiti Resdung Kulat Yang Berbahaya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Apabila sebut pasal habuk ini, cerita juga tentang resdung, maka ia memang saling berkait rapat. Ibarat aur dengan tebing, umpama pasir dan pantai. Susah nak terpisah. Apabila habuk masuk dan melekat pada mata, kena pada hidung, bukan sahaja mata jadi tak selesa, bahkan hidung dan tekak pun akan rasa sama.

Bayangkan orang yang malas untuk mengemas rumah atau menyapu sampah di rumah, apa yang akan terjadi pada ahli keluarganya yang berpenyakit? Takkanlah bergantung pada ubat sahaja tetapi usahanya tak ada.

Ini adalah cerita ringkas daripada Dr Ezairy yang ditulis di laman facebooknya baru-baru ini. Semoga ia memberi manfaat dan sedikit kefahaman kepada anda yang mengalami masalah resdung dan penyakit pada hidung ini. Tidak lekang pula, Dr Ezairy membuat ‘pick-up line’ untuk pembacanya iaitu;

“Apa beza awak dengan habuk? Tak tahu!
Habuk melekat di mata saya. Awak melekat di hati saya!”

Alahan kulat pada sinus. Pernah anda dengar mereka yang pernah alami masalah ini?

▪️Sinusitis alahan kulat atau ‘allergic fungal sinusitis’ adalah sejenis jangkitan kulat yang boleh berlaku di dalam rongga sinus.

▪️Kulat yang menjangkiti boleh diperoleh di alam sekitar dan menyebabkan reaksi alergi yang mengakibatkan pengumpulan kulat yang tebal, lendir melekit dan penyumbatan rongga-rongga sinus.

▪️Pesakit dengan AFS mungkin mempunyai alahan, polip hidung dan mungkin mempunyai asma. Akibatnya, kebanyakan pesakit akan mengalami masalah sinusitis kronik yang boleh menjejaskan deria rasa dan bau mereka.

▪️Bagi kes yang lebih serius dan jika masalah ini tidak dirawat, keadaan ini boleh mengakibatkan kehilangan mata dan kehilangan penglihatan pesakit!

Siapa berisiko untuk alami masalah dan jangkitan ini?

ℹ️ Walaupun masalah ini boleh berlaku pada sebarang peringkat umur, sinusitis kulat alergi lebih kerap berlaku di kalangan remaja dan usia dewasa.

ℹ️ Selepas pesakit terdedah kepada jangkitan melalui pernafasan biasa pada hidung, tindak balas keradangan akan berlaku dan menyebabkan edema pada tisu. Ini seterusnya mengakibatkan halangan pada ruang sinus dan mengganggu saliran sinus yang normal.

ℹ️ Akibatnya, ini akan mewujudkan persekitaran yang ideal untuk kulat berkembang. Pesakit kebiasaannya sering mempunyai sejarah alahan dan polip hidung dan kebanyakan mereka juga mempunyai masalah asma dan sinusitis kronik.

Bagaimana doktor dan pengamal perubatan mengenalpasti masalah ini?

💉 Kehadiran mucin alahan (sekumpulan mukoprotein yang terdapat dalam rembesan dan tisu) adalah diagnosis klinikal awal yang boleh dikenal pasti terhadap pesakit sinusitis kulat.

💉 Sampel lendir ini akan dihantar ke makmal di mana ia diperiksa untuk tanda-tanda kulat.

💉 Pesakit juga boleh diuji untuk sinusitis kulat invasif, pertumbuhan kulat saprophytic, mycetoma, aspergilloma, bola cendawan sinus dan sinus sinus miosinophilic untuk membantu mengesahkan diagnosis positif atau negatif AFS.

Apakah rawatan terbaik untuk mengatasi masalah ini?

1. Pembedahan dengan membuang kulat tebal dan mukus dalam sinus yang dijangkiti adalah cara yang paling berkesan untuk merawat AFS.

2. Steroid boleh diberikan sebelum dan selepas pembedahan. Pengulangan masalah AFS bukanlah jarang ditemui. Ya, ia masih boleh berulang dan pesakit mungkin memerlukan pembedahan tambahan. Nasihat dan pemeriksaan bersama doktor adalah perlu.

3. Terapi imunoterapi dan anti-radang juga boleh digunakan untuk menghilangkan koloni kulat.

Akhir kata, jika anda rasa masalah sinusitis dan resdung anda lewat untuk sembuh dan ditangani, bawalah periksa doktor. Anda akan dibantu.

Gambar : gambar carian google ini menunjukkan imej CT scan pesakit ‘Allergic fungal sinusitis’. Anda boleh lihat bagaimana jangkitan kulat pada rongga hidung dan sinus di bahagian pipi telah merebak ke kawasan mata.

Sumber : Dr. Ezairy M.Sallih

Sumber : SiakapKeli