Dua Pelancong China Antara 48 Ditahan, Denda Buang Sampah Di Semporna

Semporna : Dua wanita warga China antara 48 individu yang didenda kerana membuang sampah merata-rata di pekan Semporna.

Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong berkata pelancong China itu antara 32 individu lain, memilih untuk membayar kompaun RM100 selepas didapati melakukan perbuatan itu dalam Ops Payung Bersepadu yang dilaksana sejak awal bulan ini.

“Mereka yang dikenakan kompaun ini perlu membayar denda serta-merta manakala 16 individu lagi memilih untuk melakukan kerja amal selama sejam dengan mengutip sampah sambil memakai vest di belakangnya bertulis ‘Monyet’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan anggota perkhidmatan awam dan pemegang adat daerah Semporna bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.

Masalah sampah di Semporna berlaku sejak sekian lama dan puncanya didakwa akibat sikap penduduk khususnya warga asing yang membuang sampah merata-rata, termasuk di kawasan rumah, atas air dan pekan.

Bianus berkata masalah sampah di Semporna agak kronik dan ‘ubat’ mengawalnya adalah dengan pelaksanaan kaedah yang agresif dan tegas terhadap kutu sampah.

“Selepas pelaksanaan Ops Payung Bersepadu melibatkan agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan, banyak yang memberi komen positif dan negatif,” katanya yang menerima baik semua pandangan.

“Kita di Semporna lebih tahu dengan keadaan kawasan ini dan pasukan saya tubuh untuk membasmi masalah sampah,” katanya.

Mengenai denda memakai vest tertera perkataan ‘monyet’ sambil mengutip sampah sehingga menjadi perdebatan di media sosial itu, Bianus berkata perkara tersebut tidak akan menjejaskan pelaksanaannya yang disifatkan kreatif dan tegas. Malah​​​​​​​ menurutnya denda itu akan ditambah baik bagi memastikan timbul kesedaran untuk menjaga kebersihan Semporna.

“Masa denda kutip sampah itu mungkin kita boleh naikkan dari sejam kepada dua jam,” katanya.

Beliau berkata Pemegang Adat di kampung-kampung di setiap Dewan Undangan Negeri di Semporna yang gagal menangani masalah sampah di kawasan masing-masing, berkemungkinan jawatan mereka akan ditarik.

Sebelum itu, Bianus bersama Mohd Shafie meninjau keadaan kebersihan sekitar pekan Semporna, yang ke arah daerah bebas sampah menjelang April ini.

Sementara itu, Shafie mahu penglibatan semua masyarakat memastikan kebersihan Semporna berterusan di samping budaya membuang sampah ke dalam tong sampah diterap dalam kalangan kanak-kanak.

Membudayakan sikap tersebut akan mengambil masa dan contoh baik perlu selari ditunjukkan dari peringkat atas, katanya dan menambah pelancong akan tertarik datang kembali ke Sabah bukan hanya kerana cantik tetapi juga bersih.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli