OnePlus Sertai Arena E-Sukan Dengan Kerjasama Bersama Fnatic

E-sukan adalah kategori ‘sukan’ bermain permainan video, baik dari konsol, PC atau juga telefon pintar (permua). Ia kini adalah satu segmen penting dalam industri permainan video. Terkini, OnePlus dilihat turut sertai arena e-sukan ini.

Beberapa hari lepas, OnePlus mengicau di Twitter yang mereka sudah bersedia dengan musim e-sukan terkini. Hari ini, OnePlus mengumumkan pasukan e-sukan yang bekerjasama dengan mereka. Pasukan ini adalah Fnatic. Fnatic adalah pasukan e-sukan yang ditubuhkan pada tahun 2004 dan sehingga kini telah terlibat dengan banyak permainan video seperti League of Legends, Dota 2 atau Battlefield 4.

Menurut Carl Pei, kerjasama ini dilakukan kerana gaming sentiasa merupakan fokus utama OnePlus. Kemudian, pengasas dan pengerusi Fnatic – Sam Mathews mengatakan beliau dan OnePlus sentiasa berkongsi nilai yang sama dalam prestasi dan menjadi yang terbaik. Untuk kerjasama ini, OnePlus telah menaja pakaian untuk pasukan Fnatic dan secara tidak langsung menjadikan tajaan pertama OnePlus secara global dalam industri e-sukan.

Bagi yang berminat untuk saksikan pasukan Fnatic dalam acara e-sukan, boleh saksikan melalui laman Twitch rasmi mereka di sini dan pada 19 Januari kelak – turut terdapat pralihat untuk acara League of Legends  Eropah 2019.

Sumber : Amanz