Razer Phone 2 Kini Rasmi Di Malaysia – Berharga RM3449

Razer hari ini telah pun melancarkan telefon pintar terbaru untuk pasaran tempatan, iaitu Razer Phone 2. Telefon pintar ini hadir memfokuskan kepada sokongan permua, dan ditawarkan pada harga RM3449 di Malaysia. Ia juga akan ditawarkan melalui pakej telekomunikasi daripada Maxis dan juga UMobile.

Razer Phone 2 hadir dengan rekaan berkotak, selain dilengkapi pembesar suara stereo di bahagian hadapan. Ia menggunakan skrin nirtakuk bersaiz 5.7-inci IPS LCD QHD HDR dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Melengkapkannya adalah cip Snapdragon 845, memori 8GB RAM dan storan sebesar 64GB.

Telefon pintar ini turut hadir dengan sokongan dwi-kamera 12-megapixel dibelakang, selain kamera swafoto 8-megapixel.

Dengan fokus terhadap permua, ia turut hadir dengan sokongan audio Dolby 5.1 dengan kelantangan melangkaui 100dB, selain bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 4+. Pengguna turut boleh mengawal pencahayaan logo Razer dibelakang melalui aplikasi khusus.

Ciri lain yang turut disertakan adalah sokongan pengecasan nirwayar, dan kalis air IP67.

Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkannya pada harga RM3449 di Malaysia – atau mendapatkan ia pada harga sedikit diskaun melalui syarikat telekomunikasi UMobile dan Maxis.

Sumber : Amanz