(Video) Tak ada cili dalam hidangan, bapa belasah anak dan isteri sebelum dibelasah netizen

Sabtu lalu, seorang bapa tergamak memukul anak dan isterinya hanya kerana makanan yang dipesannya tidak mengandungi cili seperti yang dipinta.

Dalam kejadian pada jam 7 malam 12 Januari lalu di Taiwan, lelaki terbabit meminta anak lelakinya keluar membeli ‘meatballs’ dengan cili. 
Si anak kemudian keluar dan memaklumkan kepada peniaga makanan itu untuk letak lebih banyak cili. Tetapi apabila tiba di rumah, si bapa mendapati tiada cili di dalam bungkusan makanannya. 
Berang dengan perkara itu, dia mula menyoal dan memarahi anaknya sebelum cuba diredakan oleh isteri.
Secara tiba-tiba, lelaki itu menampar muka mangsa dan menuduh remaja itu telah menipunya. Si ibu cuba menghalang, tetapi lehernya dicekik.
Meskipun ditampar, mangsa tidak menangis dan memohon maaf beberapa kali agar bapanya melepaskan leher ibunya. 
Seluruh kejadian itu sempat dirakam oleh ibu mangsa dan dimuat naik ke media sosial. 
Beberapa jam kemudian, tujuh netizen berjaya menjejaki alamat rumah keluarga itu dan terus datang serta masuk ke dalam rumah yang pintunya tidak berkunci, mencari suspek lalu dipukul menggunakan helmet. 
Mujur polis tiba di tempat kejadian untuk menghalang lelaki itu mati dibelasah. Suspek dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan di bahagian kepala.

Tidak habis di situ, orang ramai mula berkumpul di luar perkarangan hospital dan mahu menyuap suspek dengan cili. Malah ada yang membawa beberapa peralatan dapur untuk memasak cili supaya dapat disumbat dalam mulut suspek. 
Polis terpaksa mengambil tindakan mengawal keadaan dan menghalang sekumpulan orang awam itu dari menyerang suspek. 
Suspek bagaimanapun tidak pulang ke rumah atas sebab-sebab tertentu dan akan tinggal di rumah saudara maranya buat sementara waktu. 

Sumber : TheReporter