Nissan Memperlihatkan Konsep Kenderaan Swapandu Elektrik IMs EV

Kenderaan elektrik dengan kemampuan swapandu sebenar masih lagi belum wujud di dunia sebenar. Tesla misalnya masih memerlukan pemandu memegang stereng ketika sistem “swapandu” diaktifkan. Nissan turut mempunyai aspirasi untuk menghasilkan kenderaan elektrik dengan kemampuan swapandu mereka sendiri. Rekaan kenderaan konsep Nissan IMs EV telah diperlihatkan bagi memberikan bayangan kenderaan masa depan mereka.

IMs ialah singkatan untuk Intelligent Mobility Sedan dengan konfigurasi penumpang 2+1+2. Kerusi belakang boleh menempatkan tiga penumpang tetapi boleh berubah untuk dua orang penumpang dengan tempat meletak tangan jika diperlukan. Stereng kenderaan berbentuk kotak dengan sistem kawalan sesentuh untuk menukar gear dan sistem hiburan. Keseluruhan bahagian kokpit hadapan menggunakan skrin gergasi LCD untuk memaparkan maklumat pemanduan atau menjadi sistem hiburan.

Ia dilengkapi dua motor elektrik yang memberikan pemanduan empat roda dengan output 483 kuasa kuda. Bateri sebesar 115-kW memberikan jarak operasi sehingga 611 kilometer. Pintu kenderaan terbuka seperti sayap dengan rekaan pintu belakang bunuh diri yang klasik. Sistem lampu pada tubuh akan memaparkan warna biru ketika di dalam mod swapandu.

Nissan IMs EV akan menjadi rekaan asas kepada tujuh kenderaan elektrik yang akan dilancarkan Nissan menjelang 2022. Model sebenar kenderaan konsep ini akan dipamerkan ketika acara North American International Auto Show 2019 yang berlangsung dari 19-27 Januari hadapan di Detroit.

Sumber : Amanz