Tetapan Adaptive Brightness Kini Boleh Ditetap Semula Tanpa Membuang Data-Data Penggunaan Bateri

Adaptive Brightness adalah ciri mencerahkan atau memalapkan skrin peranti. Ia adalah kecerahan automatik yang lebih pintar. Ia diperkenalkan dalam Android 9.0 Pie. Kebiasaannya, kecerahan automatik akan menggunakan sensor peranti untuk menetapkan kecerahan mengikut situasi. Tetapi, Adaptive Brightness turut boleh berfungsi ‘tanpa menggunakan’ sensor kerana ia menggunakan pembelajaran mesin – jadi bateri boleh lebih jimat. Fungsi ini dikawal oleh aplikasi sistem Device Health Service.

Adaptive Brightness ini belajar cara pengguna melaraskan kecerahan skrin peranti, seperti jika menonton Netflix pengguna akan tetapkan kecerahan skrin paling terang, jika membaca tetapan yang sedikit lebih malap atau jika berada di dalam pejabat/rumah tetapan adalah tidak begitu terang dan tidak begitu malap. Makin lama, Adaptive Brightness ini tahu tahap kecerahan pengguna dan ia akan terus jadi tetapan kecerahan automatik mengikut citarasa pengguna. Jadi pengguna tidak perlu lagi kerap melaraskan secara manual. Fungsi ini juga turut diselarikan dengan data penggunaan bateri peranti untuk fungsi Adaptive Battery kenalpasti statistik penggunaan peranti.

Kemaskini Device Health Service terkini (versi 1.6), kini membenarkan pengguna memadam data Adaptive Brightness tanpa membuang data-data berkaitan dengan bateri peranti. Jadi, jika pengguna rasa tetapan kecerahan tidak lagi konsisten – dengan memadam data Adaptive Brightness ini, mereka boleh mendidik semula sistem untuk melaras kembali tetapan kecerahan mengikut cita rasa pengguna. Kemudian, dengan data-data penggunaan bateri yang kekal – peranti tidak perlu belajar semula cara penggunaan peranti untuk memberi pengoptimasian bateri yang baik.

Device Health Service v1.6 Di APK Mirror

Sumber : Amanz