Bersama iflix Di AWS Reinvent – Lebih Banyak Penawaran Untuk Tahun 2019

Di acara AWS, selain dari pengumuman berkenaan kemaskini terbaru perkhidmatan mereka, terdapat beberapa sesi yang diadakan bersama pembangun. Kami berkesempatan menemuramah salah satu platform penstriman tempatan yang popular iaitu iflix.

Kini pada tahun 2019, iflix telahpun berusia 3 tahun dan mengalami pelbagai perubahan. Jika dahulu mungkin penawaran video yang boleh distrim adalah agak terhad, kini mereka turut menyiarkan berita-berita terkini dalam bentuk video, malah mempunyai berita berkenaan bolasepak setiap kali selepas perlawanan tamat.

Menurut Emmanuel Frenehard iaitu CTO yang hadir di acara AWS Reinvent ini, mereka telah melakukan banyak perkara bagi menambah baik perkhidmatan iflix, dan ia tidak hanya terhad kepada penambahbaikan pada aplikasi mereka. Kini pengguna iflix juga boleh menstrim video terus pada pelayar, tanpa memerlukan mereka memuat-turun aplikasi iflix.

Sekiranya pengguna terus melayari m.iflix.com dari peranti telefon pintar, mereka dapat menonton video-video yang tersedia, malah tidak perlu mendaftar masuk untuknya. Pengalaman mengakses video-video ini adalah berkonsepkan Progressive Web Apps. Dengan solusi sebegini juga, ia membolehkan tiada fail disimpan pada peranti, membolehkan telefon pintar Android pada kelas asas dapat menstrim kandungan iflix.

 

 

Bercakap mengenai profail pengguna, sebanyak 89% pengguna iflix menggunakan Android namun pembahagian kandungan adalah tertakluk kepada tahap pengkelasan pelanggan tersebut. Pelanggan berbayar dapat menikmati 90% kandungan manakala hanya 10% kandungan percuma yang tersedia yang dapat dimainkan secara terus.

Dalam berkongsi mengenai tindanan teknologi (tech stack) iflix yang dikuasakan oleh AWS, ia menggunakan perkhidmatan seperti Amazon S3, AWS EC2, Amazon Dynamo DB dan juga AWS Elemental serta platform pembayaran yang dikuasakan oleh AWS Lambda. Malah menerusi S3 sahaja mereka memiliki kandungan video sehingga 3.2 Petabyte atau bersamaan dengan 3,200 TB.

Selain dari itu mereka juga memiliki kebolehan Transcoding yang membantu dalam menghasilkan sarikata. Buat masa ini, kecerdasan buatan yang membantu sarikata ini mempunyai ketepatan sehingga 80% bagi menerjemah sarikata dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia.

Menjelang bulan Februari 2019, iflix akan menggunakan AWS Elemental yang terbaru yang sekaligus dapat mempercepat keseluruhan proses mereka dalam membawakan lebih banyak kandungan kepada pengguna. Dan pada tahun ini juga mereka berhasrat untuk membawakan lebih banyak kandungan tempatan serta memberikan ganjaran untuk penonton setia, selain memfokuskan lebih banyak lagi kandungan untuk pelanggan tahap percuma.

Sumber : Amanz