‘Bilik Lepaskan Marah’ Dapat Sambutan Ramai, 15 Ribu Botol Dipecahkan Setiap Bulan

Apa sahaja boleh dijadikan peluang perniagaan jika anda kreatif dan berfikir di luar kotak seperti ‘bilik marah’ yang disediakan untuk melepaskan kemarahan anda di tempat yang sepatutnya.

Menggunakan kayu pemukul besbol, pelanggan Smash, Qiu Siyu memukul sekuat hati sebuah tong yang diletakkan radio lama kereta, telefon bimbit, pembesar suara, periuk nasi eletrik dan juga patung.

Kos yang perlu dibayar olehnya setelah menggunakan bilik marah di Beijing selama tempoh 30 minit ini ialah sebanyak 158 yuan (RM95).

Namun, terlebih dahulu mereka perlu memakai pakaian perlindungan sebelum menggunakan penukul dan kayu besbol untuk meluahkan rasa kesal, geram dan marah ke atas objek tertentu. Tidak cukup dengan itu, pekerja akan memutarkan lagu yang menjadi pilihan pelanggan.

Qiu, pelajar perempuan berusia 16 tahun yang berkaca mata dan memakai pendakap gigi berkata, dia ke bilik itu untuk melepaskan geramnya mengenai sesuatu yang berlaku di sekolah.

“Saya rasa begitu lega apabila saya memusnahkan botol dan melihat objek itu pecah,” katanya sambil tersenyum.

Difahamkan, sejak ia dibuka September lalu, pelanggan telah memecahkan kira-kira 15,000 botol setiap bulan, kata Jin Meng, 25, yang mengasaskan Smash bersama rakannya itu.

Jelasnya, ‘bilik marah’ bukan bertujuan mempromosi keganasan, tetapi Smash mensasarkan untuk membantu golongan yang mengalami tekanan hidup di bandaraya besar seperti Beijing. Tambahnya, pelanggan berusia di antara 20 dan 35 tahun menjadi kumpulan sasar mereka.

Seorang lagi pelanggan, Liu Chao, 32, kelihatan tenang selepas selesai sesi dalam ‘bilik marah’ itu.

“Jika kamu ada wang, tentu sekali kamu dapat memukul apa saja- televisyen, komputer, botol, perabot, patung tetapi hanya satu yang kamu tak boleh pukul iaitu individu lain,” katanya.

Perkhidmatan seumpama itu juga wujud di negara lain termasuk Amerika Syarikat. Menurut Jin, setakat ini kira-kira 600 pelanggan telah mengunjungi Smash ssetiap bulan.

“Seorang pelanggan wanita yang datang, membawa semua foto perkahwinannya dan memukulnya. Kami memang mengalu-alukan pelanggan untuk membawa barangan sendiri.

“Setiap kali kami menghadapi kes seperti ini, mereka percaya bahawa kami telah menyediakan tempat selamat untuk melepaskan perasaan negatif, dan kami gembira dengannya.” kata Jin.

Di Beijing, kata Jin, langkah seterusnya adalah untuk membuka bilik marah baharu di pusat beli-belah  di mana orang ramai boleh meluangkan masa sebentar untuk melepaskan amarah mereka dengan memecahkan satu atau dua botol.

Sumber : The Jakarta Post

Sumber : SiakapKeli