Takenaka Shigeharu: Strategis Terkemuka Jepun

Artikel kali ini
akan terarah kepada seorang figura penting Zaman Perang Antara Wilayah ataupun
Sengoku Jidai yang pernah menggegarkan Jepun dengan kebijaksanaannya suatu masa
dahulu. Seperti sebelum ini, penulis pernah menerangkan betapa dinamiknya
landskap politik dan peluasan kuasa di Jepun dalam zaman di mana pahlawan samurai
mempunyai darjat sosial yang sangat berpengaruh walaupun hanya terdiri daripada
lebih kurang 10% dari kesuluruhan populasi negara matahari terbit ketika itu.

Pemerintah
wilayah ataupun Daimyō (Warlord) merupakan golongan yang paling dominan,
terletak di puncak piramid dalam kelas sosial pahlawan samurai. Hampir kesemua
warlord ini sememangnya gemar melancarkan peperangan ke atas satu sama lain
demi meluaskan wilayah jajahan dan pengaruh kekuasaan masing-masing di samping
menggunakan teknik diplomasi. Keshogunan Ashikaga di Muromachi Kyoto yang
sepatutnya mentadbir aspek ketenteraan negara pula tidak mampu membendung
kebangkitan kuasa baru para warlord ini kerana posisi pemerintahan mereka yang
semakin lemah bagaikan telur di hujung tanduk.

Puak-puak yang warlord ketuai pula berselerakan ke seluruh kepulauan Jepun, dari Selatan sehinggalah ke Utara, Barat sehingga ke Timur. Nama-nama puak seperti Oda, Uesugi, Date, Shimazu, Otomo, Ryuzoji, Mori, Takeda, Tokugawa, Toyotomi, Hojo, Satake, Chosokabe, Imagawa, Saito, dan banyak lagi mengungguli usaha peluasan kuasa ini. Ada puak yang naik dengan mendadak berbekalkan kepintaran Daimyō dan ketumbukan padu tentera tentera masing-masing seperti puak Toyotomi dan Tokugawa. Ada pula yang terus hilang dari bumi kerana khilaf dalam percaturan ataupun hanya bersikap sambil lewa dalam pentadbiran wilayah. Ada juga yang digulingkan dan dikhianati panglima samurai sendiri.

Baca: https://www.thepatriots.asia/akechi-mitsuhide-pengkhianat-atau-wira/

Ada juga yang
berfoya-foya sehingga lupa dengan tugas sendiri sehinggakan hancur puak sendiri
seperti yang berlaku kepada warlord Ichijo Kanesada dan ada pula yang memandang
jauh terkedepan dengan mengaplikasikan teknologi Barat dalam peperangan seperti
Oda Nobunaga. Namun, ini tidak sesekali bermakna kemahiran tradisional samurai
Jepun inferior berbanding teknik yang dibawa Barat, cumanya ada kelebihan
ketara bagi unit istinggar dalam pertempuran terutamanya menentang pasukan
tentera berkuda.

Sebagai contoh,
puak Date berjaya menyatukan kawasan Oshu di utara Jepun yang belum pernah
disatukan selama beratus-ratus tahun di bawah kepimpinan melalui teladan yang
ditunjukkan ketuanya, Date Masamune. Dalam artikel lepas, penulis pernah
menerangkan dengan panjang lebar tentang insan bernama Masamune ini yang bukan
sahaja gemar menggunakan teknologi senjata istinggar dalam pertempurannya malah
menjadi orang Jepun yang pertama yang pernah menulis surat kepada Pius Paul V.

Baca: https://www.thepatriots.asia/date-manasume-naga-jepun-bermata-satu/

Dalam
keghairahan puak-puak yang diketuai Daimyō ini menggunakan segala kad kelebihan
yang ada untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing, mekarlah segala
kuntum bunga yang menjadi tonggak kejayaan setiap Daimyo. Bunga-bunga ini ialah
para pegawai puak ataupun panglima samurai yang berkhidmat kepada Daimyō
masing-masing. Dalam bahasa Inggeris digelar juga sebagai retainer. Serupa
dengan era perebutan kuasa Romance of Three Kingdoms di China, macam-macam
karakter baru mengabadikan nama masing-masing dalam rekod sejarah. Tanpa
mereka, para Daimyō ini sudah tentu tidak mampu merealisasikan impian mereka.

Takenaka Shigeharu (Hanbei)

Mon ataupun lambang keluarga Takenaka yang diinspirasikan oleh pohon buluh berdaun lebar dari spesies Sasa.

Takenaka
Shigeharu (竹中 重治) dari keluarga
Takenaka dilahirkan di provinsi Mino (hari ini, Gifu) pada 27 September 1544
dan meninggal dunia pada 6 Julai 1579. Shigeharu yang juga dikenali sebagai
Takenaka Hanbei merupakan seorang panglima samurai dan ahli strategi berwibawa
yang berkhidmat untuk puak Saitō di Mino. Puak Saitō inilah yang pernah
mengahwinkan puterinya, Lady Kicho dengan warlord Oda Nobunaga dari Owari, individu
yang hampir-hampir sekali menyatukan seluruh Jepun. Ironinya, puak Saitō jugalah
yang pernah menggembleng khidmat panglima samurai bernama Akechi Mitsuhide,
watak yang sama yang mengkhianati Oda Nobunaga sehingga menyebabkannya jatuh.

Anak kedua
kepada Takenaka Shigetomo ini adalah menantu kepada Ando Morinari, salah
seorang daripada tiga orang ketua keluarga paling berpengaruh di Mino yang
digelar Nishimino Sannin-shu ataupun Trio of Mino. Ketika itu, puak Saitō
dipimpin Saitō Tatsuoki, anak saudara kepada Lady Kicho dan cucu kepada Saitō
Dosan. Ibunya bernama Myōkai Taishi, salah seorang anak kepada Sugiyama
Kyuzaemon. Selepas kematian bapanya, Shigeharu menjadi ketua keluarga Takenaka.

Banyak pihak
yang mendakwa Shigeharu sebagai seorang genius perang yang tidak pernah
teragak-agak untuk menyediakan pelan strategi yang terperinci dalam setiap
pertempuran yang disertainya. Dalam catatan Bukōyawa,
beliau dikatakan sebagai seorang yang lemah gemalai (graceful) namun
kebolehannya dalam mengatur strategi tidak boleh disangkal lagi. Kemahiran dan
inteleknya pernah dibandingkan dengan Chen Ping iaitu seorang strategis dan
ahli politik terulung Dinasti Qin di China.

Menakluk Istana Dengan 15 Orang

Gambar watak Shigeharu dalam permainan berisiri Nobunaga Oda’s Ambition

Tatsuoki bukanlah seorang yang ketua yang bertanggungjawab. Kerapkali mabuk dan suka berseronok dengan perempuan simpanan, Tatsuoki tidak langsung mahu ambil tahu menahu tentang hal ehwal pentadbiran Mino padahal puak Saitō semakin hari semakin terasa bahang ancaman dari puak Oda di selatan.

Oda Nobunaga sememangnya telah banyak kali menyerang Mino tetapi berjaya dipatahkan oleh Daimyō sebelumnya. Perbezaan tampuk kepimpinan yang lemah ini telah mengundang kempen perang habis-habisan oleh Oda. Bukan itu sahaja, malah ada penduduk dan tentera Saitō sendiri yang berpaling tadah kepada Oda kerana hilang kepercayaan kepada ketua mereka.

Dalam masa yang
sama, Oda telah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas wilayah Mino.
Shigeharu pula mengetuai satu serangan mengejut ke atas tentera Oda yang
berakhir dengan pengunduran musuh. Sekali lagi dalam serangan kali kedua,
Shigeharu mengetuai pasukan Saitō mempertahankan kawasan dari terus dicerobohi
tentera Oda menggunakan strateginya sendiri. Tatsuoki pula tidak menunjukkan
apa-apa perubahan positif sebaliknya terus setia sebagai seorang kaki botol.

Berang dengan
perbuatan Tatsuoki, satu insiden yang sangat menarik telah berlaku walaupun
kesahihan insiden ini masih diperdebatkan tetapi tidak mustahil kisahnya benar.
Bersama-sama bapa mertuanya, Morinari dan adiknya Shigenori, Shigeharu telah
melancarkan kudeta dengan hanya 16 orang (17 orang dalam Takenaka Heiki) dalam bulan Februari 1564. Shigeharu berjaya
menguasai Istana Inabayama yang tersergam indah terpacak di atas gunung dalam
masa sehari saja! Gila sungguh.

Betul, Shigeharu
adalah seorang panglima Saitō maka sudah tentunya beliau tahu selok-belok
istana dengan begitu jelas sekali tetapi kemampuannya untuk mengambil alih
seluruh istana tentunya bukan sesuatu yang boleh dilakukan orang lain. Bayangkan,
bagaimana istana yang lengkap dengan sistem pertahanan hebat, tembok-tembok batu
yang utuh, dengan tentera samurai dan pengawal yang beribu-ribu orang ramainya
ditambah pula dengan posisi istana yang tidak dapat mudah ditembusi dari luar,
mampu ditundukkan Shigeharu yang ketika itu berumur 20 tahun dan 16 orang
pengikutnya dalam masa yang sangat singkat.

Berkhidmat Untuk Oda Nobunaga

Tugu Shigeharu di Gifu

Shigeharu kemudiannya kekal menguruskan Istana Inaba selama setengah tahun sebelum dipulangkan semula kepada Tatsuoki. Apa yang berlaku selepas ini sedikit kabur tetapi pada tahun 1567, Oda mengepung Istana Inabayama dengan bala tentera yang ramai. Shigeharu dikatakan hadir dalam mengetuai pasukan pertahanan Saitō. Malangnya, musuh terlalu ramai dan Inabayama ditakluki Oda Nobunaga. Shigeharu yang kini seorang ronin ataupun samurai tidak bertuan, dipercayai pulang ke rumahnya di Omi dan hidup sebagai orang biasa.

Namun, Oda
Nobunaga dan panglimanya Hashiba Hideyoshi (akan dikenali sebagai Toyotomi
Hideyoshi) tidak lupa dengan kehebatan strategi yang ditunjukkan Shigeharu
ketika pengepungan yang berlaku dulu. Maka diutusnya Hideyoshi untuk merekrut
Shigeharu untuk berkhidmat kepada puak Oda. Satu episod yang menarik telah
direkodkan dalam Taikōki. Pelawaan Hideyoshi ditolak. Hideyoshi tidak
berputus asa dan melawatnya sebanyak tiga kali berturut-turut, barulah
persetujuan dicapai.

Kejadian ini
tidak ubah seperti yang berlaku dalam epik Romance of Three Kingdoms di mana
Liu Bei cuba merekrut ahli strategi agung bernama Zhuge Liang tetapi ditolaknya
sehinggalah pada cubaan yang ketiga. Shigeharu diletakkan sebagai strategis
dibawah kendalian Hideyoshi yang akan membantunya dalam kempen peperangan.

Persahabatan Dengan Kuroda Yoshitaka (Kanbei)

Dalam
pertempuran Anegawa menentang puak Asakura dan Azai, Shigeharu berjuang bersama-sama
pasukan Oda. Selepas selesai kempen di Anegawa, Shigeharu dan salah seorang
pegawai Hideyoshi bernama Kuroda Yoshitaka mula bersahabat. Hideyoshi dan bala
tenteranya termasuklah Shigeharu dan Yoshitaka telah mendapat perintah Nobunaga
untuk menghapuskan puak Mori di negeri Chugoku.

Watak Shigeharu (Hanbei) dan Yoshitaka (Kanbei) dalam permainan bersiri Samurai Warrios.

Dengan kerjasama
gandingan yang mantap, duo Shigeharu dan Yoshitaka dikatakan tidak dapat
dihentikan lagi memandangkan seorang mempunyai minda yang bergeliga manakala
yang satu lagi mempunyai bakat kepimpinan yang hebat. Kemenangan demi
kemenangan dicapai menentang puak Mori yang agak kuat lantas menaikkan reputasi
Hideyoshi dengan gilang-gemilang. Malangnya strategi yang digunakan mereka
tidak dicatatkan dengan terperinci.

Satu perangai
Shigeharu yang agak pelik adalah beliau suka menunggang kuda tua yang sudah
tidak ada stamina lagi, satu perangai yang ditegur Hideyoshi kerana tidak
padanlah dengan kehebatannya sebagai ahli strategi yang sudah masyhur.
Shigeharu juga gemar memakai baju perisai seperti sisik ikan.

Semasa
pemberontakan Araki Murashige, seorang panglima samurai Oda, Yoshitaka telah
ditahan di istana Orioka. Nobunaga melihat ini sebagai satu komplot yang direka
Yoshitaka dan Murashige untuk menentangnya. Ketika itu, Matsujumaru iaitu anak
Yoshitaka telah dijaga oleh Shigeharu. Nobunaga memerintahkannya untuk membunuh
Matsujumaru sebagai hukuman terhadap pembelotan Yoshitaka. Shigeharu dengan
bijaknya telah berjaya melengah-lengahkan perintah tersebut sehingga akhirnya
Yoshitaka dibebaskan.

Sebagai tanda
terima kasih yang teramat sangat, Yoshitaka telah menukarkan lambang puak
Kuroda kepada lambang yang lebih kurang sama dengan lambang Takenaka yang
kelihatan seperti daun buluh.

Pada tahun 1579,
kesihatan Shigeharu kian merosot dengan teruk semasa pengepungan di Istana
Miki. Hideyoshi mengarahkannya untuk berehat ke Kyoto namun beliau menolak atas
alasan mahu terus menyumbang. Ketika berusia hanya 36 tahun, beliau telah
menghembuskan nafas yang terakhir. Dikatakan bahawa kematian beliau disebabkan
sama ada oleh pneumonia ataupun tuberculosis.

Dalam rekod Taikōki
dan Jōzankidan, Shigeharu
digambarkan sebagai seorang yang mempunyai badan yang lemah, selalu sakit dan
sekali pandang, kelihatan seperti seorang wanita. Maka tidak
mengejutkan jika beliau meninggal dunia agak muda tetapi sayang sekali, jikalau
hidup lebih lama, pasti lebih banyak strategi genius yang dapat dihasilkan
dalam peperangan.

Kanbei dan
Hanbei

Nama gelaran Shigeharu yang dikatakan fiksyen ialah Hanbei yang mana berkait dengan nama gelaran Yoshitaka iaitu Kanbei. Dua nama ini memberi idea yang bakat kedua-dua Shigeharu dan Yoshitaka tidak lengkap tanpa satu sama yang lain.

Hal ini kerana Hanbei bermaksud separuh dan Kanbei bermaksud diri (official). Dalam rekod sejarah, tidak dapat dipastikan sama ada nama gelaran ini betul-betul wujud walaupun ada catatan yang menyokongnya. Walau bagaimanapun, satu nama untuk menggambarkan mereka ini benar-benar wujud yang berbunyi, Ryōbei (両兵衛) atau Nihyōe (二兵衛).

Ada juga gelaran lain seperti Ima Kusunoki
dan Ima Komei. Gelaran yang paling hebat bagi Hanbei pula ialah Shiranu kao no
Hanbē (secara literalnya, Hanbē of Feigning Ignorance)
ataupun “The All-Knowing Hanbei” yang mana membuktikan lagi
kebijaksanaan luar biasa yang dimiliki Hanbei.

Gelaran ini juga
menjadi satu pepatah di Jepun dimana orang itu menghayati dan memasuki keadaan
kecerdasannya serta memperoleh keupayaan untuk mengenal pasti apa-apa kesan
dengan serta-merta dan tanpa kegagalan. Kecerdasan ini begitu hebat sehinggakan
seolah-olah seseorang itu berupaya membuat setiap keinginan mereka menjadi satu
realiti walaupun nampak seperti sedang berpura-pura sebagai seorang yang tidak
peka.

Rujukan

Hanbei Takenaka. (n.d.). Retrieved January 13, 2019,
from http://koei.wikia.com/wiki/Hanbei_Takenaka

Ken. (2014, April 8). Takenaka Jinya -Place of
Hideyoshi’s legendary military staff-. Retrieved January 13, 2019, from
http://www.japancastle.jp/2014/04/Takenaka-jinya.html

Shigeharu Takenaka. (n.d.). Retrieved January 13, 2019,
from http://sengoku-period.wikia.com/wiki/Shigeharu_Takenaka

Takenaka Hanbei. (n.d.). Retrieved January 13, 2019,
from https://wiki.samurai-archives.com/index.php?title=Takenaka_Hanbei

Sumber : ThePatriots