Orchidelirium: Kegilaan Bangsawan, Bawahan Mangsanya

Pada era Victoria dahulu, wujud satu kegilaan dalam kalangan bangsawan Britain. Penyakit ini akan menyebabkan mereka menjadi obses kepada bunga orkid dan mereka akan berusaha mendapat bunga orkid ini tanpa mengira bahaya mahupun wang ringgit. Untuk pengetahuan sebelum terjadinya orchidelirium, orkid tidak dikenali di England.

Demam orkid telah melanda England pada awal 1800-an selepas pengkaji alam British, William John Swainson menggunakan orkid yang belum mekar sebagai bahan untuk membungkus kerana mengira ianya hanya sekadar rumput-rumput yang tiada nilai langsung lalu menghantar beberapa bunga eksotik ke Britain yang diambil olehnya di Brazil.

Setibanya di Britain, beberapa jenis orkid antaranya spesies cypripedium calceous telah berkembang mekar menjadi sekuntum bunga yang terlihat mewah dan eksotik. Hal ini telah menarik perhatian para bangsawan disebabkan keindahan bunganya. Bermula disinilah, semua kegilaan terhadap bunga orkid tercetus.

Orkid cypripedium calceous, sumber: https://mcuoneclipse.files.wordpress.com/2016/05/ladys-slipper-orchid.jpg

Para pengumpul bunga dengan segera diarahkan oleh golongan bangsawan dan para peniaga untuk belayar merentas samudera untuk ke hutan-hutan di Amerika Selatan, Pasifik Selatan dan banyak lagi. Namun begitu, ekspedisi tersebut sangatlah berbahaya kerana berdepan risiko binatang buas, ditangkap oleh orang asli dan dilanda penyakit-penyakit tropikal seperti malaria.

Kebanyakan pengembaraan berakhir dengan maut. Sebagai contoh, pada tahun 1901, ekspedisi 8 orang lelaki ke hutan di Filipina untuk mencari bunga orkid berakhir dengan tragis apabila seorang maut dibaham harimau, seorang lagi rentung dibakar penduduk tempatan dan 5 yang lain hilang tanpa jejak. Hanya seorang yang selamat pulang ke Britain dan bernasib baik kerana berhasil membawa pulang bunga orkid yang mengubah hidupnya 180 darjah menjadi jutawan.

Pulangan yang lumayan menjadikan para pengumpul tidak kisah akan bahaya yang menunggu kerana mereka lebih dahagakan duit. Walau bagaimanapun, senarai pengumpul yang terbunuh dan hilang bertambah setiap detik. Ada yang lemas di sungai, ada yang maut disebabkan penyakit malaria dan juga ada yang dibunuh oleh orang asli.

Jika ditanya pihak mana yang begitu beruntung? Sudah pasti jawapannya ialah peniaga bunga orkid kerana beliau hanya menunggu pengumpul menghantarkan bunga kepada mereka dan mereka hanya perlu menjual bunga tersebut kepada golongan bangsawan Britain.

Ketika itu, peniaga orkid merupakan yang terkaya di Britain hasil daripada jualan orkid mereka. Hal ini disebabkan golongan bangsawan ketika itu berebut-rebut untuk memiliki orkid yang terbaik kerana ingin mengatasi golongan bangsawan yang lain.

Sebagai bukti, Frederick Sander pada mulanya hanya peniaga telah dikenali sebagai “Raja Orkid” dan pada awal 1886, beliau dilantik menjadi penjaga bunga orkid diraja kepada Ratu Viktoria. Kejayaannya membolehkan beliau membuka cawangan di seluruh Britain dan Eropah.

Setelah hampir seratus tahun bergelut dengan orchidelirium, akhirnya kegilaan itu berakhir secara mendadak sama seperti bagaimana ianya bermula. Orchidelirium juga membawa impak positif kepada bidang botanical di Britain apabila ramai yang berpengetahun tentang ilmu botanical.

Selain itu, banyak pembangunan rumah hijau untuk pembiakan bunga orkid supaya mudah didapati tanpa perlu diimport lagi. Lumrah perniagaan apabila orkid mudah didapati, maka harga dan pasarannya juga akan jatuh merudum.

Sumber : ThePatriots