Mozilla Menamatkan Program Firefox Test Pilot – Tiada Lagi Eksperimen Untuk Ciri Atau Fungsi Baru

Pada tahun 2016, Mozilla memperkenalkan Firefox Test Pilot. Ia adalah program yang membenarkan semua pengguna pelayar web Firefox mencuba pelbagai ciri dan fungsi baru. Kini untuk tahun 2019, iaitu sudah hampir 3 tahun program ini berlangsung – Mozilla akan tamatkan program ini.

Bermula 22 Januari 2019, program Firefox Test Pilot akan ditamatkan secara rasmi. Bermula dari tarikh ini, tiada lagi eksperimen baru akan dihasilkan dan sesiapa yang melayari web Firefox Test Pilot pada tarikh 22 Januari kelak – pemalam ‘Test Pilot’ akan dibuang secara automatik. Tetapi jangan, risau pemalam ‘Test Pilot’ ini turut boleh dibuang secara manual tanpa menjejaskan pemalam, perkhidmatan atau lain-lain eksperimen sedia ada.

Menurut Mozilla, kesemua eksperimen yang telah dihasilkan – pembangunannya akan diteruskan sepanjang tahun 2019. Pengguna masih boleh menggunakannya dan sokongan turut akan diberi melalui blog Mozilla. Eksperimen Test Pilot berbentuk pemalam akan dipindahkan dalam laman addons.mozilla.org. Manakala, eksperimen yang bukan pemalam seperti Firefox Lockbox, Notes, Email Tabs dan 15 eksperimen lain akan dijadikan sebagai produk mandiri (standalone) dan boleh diakses melalui pautan-pautan khas yang akan dikongsikan bermula minggu hadapan.

Antara sebab kenapa Mozilla tamatkan Firefox Test Pilot adalah kerana, program ini sudah dikira berjaya dan sudah sampai masa untuk pasukan pembangun mereka rehat. Kelak dalam tahun ini juga, mereka akan hadir dengan eksperimen baru – tetapi tiada butiran yang dikongsikan lagi.

Sumber : Amanz