Mesin Pencetak Format Besar Epson SureColor T-Series Diperkenalkan – Hadir Dengan Sokongan Untuk Mencetak Pemetaan CAD

Epson ialah sebuah jenama teknologi dari Jepun yang terkenal untuk peranti-peranti seperti mesin pencetak dan projektor. Peranti-peranti mereka digunakan bukan sahaja oleh para pengguna di rumah, tetapi juga oleh syarikat-syarikat di dalam industri pencetakan dan pengurusan acara.

Hari ini, Epson Malaysia memperkenalkan beberapa buah mesin pencetak format besar melalui Epson Siri SureColor T, dimana Epson mengatakan bahawa ia adalah siri mesin pencetak format besar terkecil di pasaran sekarang.

Model-model yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia termasuklah Epson SureColor SC-T3130Epson SureColor SC-T3430Epson SureColor SC-T5130 dan Epson SureColor SC-T5430. Kesemua model-model mesin pencetak ini hadir di dalam saiz pencetak 21 inci dan 36 inci.

Dari segi rekaan, mesin pencetak SureColor T ini hadir dengan dua jenis model, iaitu model tetapan desktop dan juga tetapan di atas lantai, bergantung kepada keperluan mana-mana syarikat. Apa yang lebih menarik lagi ialah model-model SureColor T ini adalah mesin pencetak nirwayar yang boleh menyambung ke rangkaian internet melalui WiFi.

Dari segi kebolehan pencetakan, mesin-mesin pencetak Epson SureColor T mampu mencetak dokumen-dokumen bersaiz besar seperti pelan, peta, helaian penanda dan juga poster untuk bilik darjah. Dari segi sokongan jenis pelan yang boleh dicetak, peranti ini mampu mencetak pelan-pelan seperti CAD, GIS dan pelbagai jenis lagi pelan kejuruteraan di dalam ruang yang kecil.

Mesin pencetak Epson SureColor T ini menggunakan printhead PrecisionCore MicroTFP yang digabungkan dengan Teknologi Pengesahan Nozel dan juga dakwat pigmen UltraChrome XD2 yang membolehkan mesin-mesin pencetak ini bukan sahaja menghasilkan cetakan yang tajam dan berkualiti, tetapi juga memastikan bahawa pencetak-pencetak ini berfungsi dengan cekap sepanjang masa.

Dari segi prestasi, mesin-mesin pencetak ini mampu mengeluarkan cetakan berwarna bersaiz A1 di dalam masa 22, 25, 31 dan 34 saat bergantung kepada model yang digunakan. Dalam pada itu, model siri SC-Tx130 hadir dengan ciri penukaran format automatik, dimana pengguna tidak perlu menukar apa-apa tetapan apabila mereka sedang mencetak dokumen dengan saiz yang berbeza.

Epson Malaysia turut menyatakan bahawa mesin-mesin pencetak ini sudahpun hadir di pasaran sejak bulan Disember 2018, manakala tanda harga untuk mesin-mesin pencetak ini adalah seperti berikut:

  • Epson SureColor SC-T3130 – RM6165
  • Epson SureColor SC-T3430  RM10170
  • Epson SureColor SC-T5130 – RM12020
  • Epson SureColor SC-T5430 – RM14180

Sumber : Amanz