SalamWeb Browser Dilancarkan Bersama Beberapa Perkhidmatan Web – Pelayar Web Patuh Syariah

SalamWeb merupakan salah satu pelayar web yang telah diuji sejak 2016 yang lepas. Kini, selepas diambil-alih pihak baru, SalamWeb hari ini melancarkannya semula secara rasminya – dimana kini pelayar web berkenaan hadir bersama-sama sejumlah perkhidmatan yang melengkapkannya.

SalamWeb Browser merupakan sebuah pelayar web berasaskan enjin Chromium, dan hadir dengan sedikit perubahan. Pada bahagian halaman tab baru, ia menyertakan beberapa kandungan tambahan – termasuk paparan waktu solat. Selain daripada itu, SalamWeb juga adalah pelayar web pertama di dunia yang disahkan syarikah dan diakui oleh pihak Lembaga Penasihat Syariah Amanie.

Salam Web Browser

Dengannya, ia menawarkan tapisan isi kandungan, dan ketepikan pelbagai kandungan yang tidak bersesuaian daripada dipaparkan kepada pengguna. Pengguna juga boleh membuat laporan berkenaan laman web yang tidak bersesuaian terus melalui perkhidmatan berkenaan – dan ia akan diambil kira oleh algoritma enjin SalamWeb.

Pelayar web ini hadir untuk Mac, PC, Android dan juga iOS. Seperti pelbagai pelayar web lain, ia turut ditawarkan secara percuma kepada pengguna.

Melengkapkan pelayar web ini juga adalah beberapa perkhidmatan berasaskan internet – termasuk Salam News (himpunan berita tempatan daripada beberapa sumber dihalaman setempat), Salam Chat (perkhidmatan sembang bersama komuniti) dan juga Salam Sadaqah.

Muat-Turun Salam Web Browser

Sumber : Amanz