Pulau Pinang Akan Jadikan Seluruh Negeri Kawasan Larangan Merokok – Exco Kesihatan

Pulau Pinang merancang untuk mewartakan kawasan larangan merokok di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha untuk menjadi negeri bebas asap rokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata usaha ini akan dilaksanakan menerusi Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) yang bertujuan melindungi penduduk negeri ini daripada bahaya asap rokok.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi memastikan perancangan ini berjaya dilaksanakan dan kami akan menggiatkan lagi pelaksanaan program kesedaran awam tentang larangan merokok di kawasan awam dan taman rekreasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di Butterworth.

Sidang akhbar itu dibuat bersama-sama pihak pengurusan rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita yang mengumumkan pemberhentian jualan rokok di semua premis mereka mulai semalam.

Menurutnya inisiatif ke arah Penbar ini telah pun bermula melalui pewartaan enam taman rekreasi awam di negeri ini sebagai kawasan larangan merokok sejak 2012 iaitu di Empangan Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.

Dr Afif berkata usaha ini telah diteruskan dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia Georgetown sebagai kawasan larangan merokok bermula 4 Julai 2015.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kekangan dalam usaha untuk melaksanakan larangan secara menyeluruh ini dan jawatankuasa yang dipengerusikannya sedang mencari penyelesaian yang sesuai bagi merealisasikan Penbar ini.

“Larangan merokok di seluruh Pulau Pinang ini perlu mengambil kira beberapa faktor terlebih dahulu yang antaranya mengambil kira kawasan khas untuk merokok dan kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Menurutnya, pertimbangan berhubung penyediaan kawasan khas untuk merokok ini dibuat selepas terdapat beberapa premis tumpuan awam yang sudah melaksanakannya di negeri ini.

“Kini, ia (larangan merokok) sudah dilaksanakan contohnya di masjid-masjid dan rumah-rumah ibadat lain. Kami bukan hendak sekat terus sesiapa untuk merokok, sebaliknya mereka boleh menghisap rokok di kawasan dibenarkan sahaja,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Dr Afif berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sudah mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan jangkitan rabies atau penyakit anjing gila di Taiping dan Bukit Gantang di Perak.

Katanya setakat ini tiada laporan atau kes berkaitan jangkitan rabies dilaporkan di Pulau Pinang namun situasi semasa berhubung kesihatan awam yang berlaku di negeri-negeri yang berjiran dengannya akan terus dipantau rapi.

“Selain itu PBT bersama JPV juga masih meneruskan program pemberian vaksin kepada haiwan berkenaan malah PBT turut menangkap anjing liar dan kembirikannya,” katanya.

– Bernama

Sumber : SiakapKeli