Aiguillette – Aksesori Bertauliah Diraja Untuk Khidmat Jelata

Kali pertama mendengar perkataan di atas? Jangan risau, anda tidak keseorangan. Seorang anggota tentera yang menyarungkannya acapkali perbarisan juga tidak tahu ejaan sebenarnya (termasuk penulis juga). Kami hanya menyebutnya sebagai ‘agulet’ sahaja. (ketawa)

Aiguillette
adalah aksesori bertali yang wajib dipasang pada uniform nombor satu (number 1
dress) bagi anggota Tentera Darat Malaysia. Aksesori berwarna kuning keemasan
ini dipasang pada bahagian bahu kanan uniform, segak terletak sebagai aksesori
rasmi. Aiguillette juga terpakai untuk kebanyakan uniform rasmi pegawai Tentera
Darat, TLDM, TUDM mahupun PDRM.

Jangan dikelirukan pula dengan aksesori ‘lanyard’. Juga terletak pada tempat yang sama, di uniform yang berbeza pada lain acara atau kerja. Istimewanya, aiguillette ini hanya dipakai untuk acara rasmi ketenteraan seperti perbarisan diraja, perbarisan kawalan kehormat, kawalan suku dan acara-acara rejimental lain. Walaupun berbeza acara, fungsinya tetap sama sebagai aksesori wajib.

Seperti ejaan perkataannya, fungsi aiguillette ini juga sama asalnya dari Perancis. Berasal dari perkataan lama yang bermaksud jarum (yang merujuk pada besi di hujung tali), aksesori ini digunakan untuk mengikat kain, kasut dan zirah besi pada zaman medieval dahulu kala. Dihimpun benang emas dan perak sebagai lambang kemewahan, juga berfungsi sebagai alat pengikat kecemasan.

Abad ke-17 di Eropah sana, pemakaian satria bangsawan yang sarat dengan zirah dan kain tebal dari kulit haiwan menyebabkan butang kehilangan fungsinya. Maka, pada ketika itulah aiguillette ini digunakan untuk mengemaskan lagi pakaian satria – agar kemas terletak pada pemakainya.

Fungsinya juga digunakan sebaiknya oleh aide-decamp (ADC) satria tersebut sebagai ‘spare’, ataupun pengganti untuk mengikat pakaian bosnya jika terdapat kecacatan, agar bosnya kekal tampan ketika menghunus pedang ke arah musuhnya di hadapan.

Terdapat juga beberapa teori lain mengatakan, tali keemasan ini adalah lambang amaran kepada tentera Fleming di bawah penguasaan Duke Alva si Jeneral Spaniard. Dikatakan beliau mengarahkan tali itu perlu dipakai bagi ingatan kepada barisan gempur tersebut, jika sekali arahan diingkar, tali tersebut terus menjadi tali gantung mereka sebagai hukuman medan. tetapi tentera Fleming itu telah mencapai kejayaan di setiap kempennya, maka aiguillette itu terus dipakai sebagai lambang kebanggaan dan kejayaan mereka.

Selepas beberapa abad, aksesori ini diwarisi seluruh dunia, termasuk badan beruniform Malaysia melalui pengaruh British pada awal kemerdekaan sehinggalah sekarang.

Segak dipakai sang perwira,
Tali emas diikat di bahu
Hanya layak untuk mereka
Bukan kepada yang merapu.

Malangnya bagi
yang tidak tahu apa-apa, aksesori kebanggaan seantero dunia ini
sewenang-wenangnya dipakai sampah di luar sana. Ya, penulis sedang menuding
seluruh jari kepada Farid Kamil, Zizan, dan beberapa personaliti popular di
luar sana yang kosong dalam otaknya tapi hendak juga berlagak memakai uniform
dan aksesori rasmi tentera pada pakaian tak senonohnya.

 Ingatan pada kalian di luar sana, tiap apa yang dipakai sang wira di Malaysia ini, punya sejarahnya. Punya fungsinya. Bukan semberono semata-mata. Semoga aksesori keramat ini kekal terhormat oleh sejagat, tersemat hebat hingga hujung hayat.

Rujukan:

  1. “How Did it Start?” Bureau of
    Naval Personnel Information Bulletin
    . 322 (January 1944): 48.
  2. Moss, James A. Officer’s Manual.
    8th ed. [origin of the aiguillette] (Menasha, WI: George Banta Publishing Co.,
    1941): 112.
  3. “Origin of Aiguillettes.” All
    Hands
    . 615 (April 1968): 34-35.

Sumber : ThePatriots