Sky Canvas Menawarkan Perkhidmatan Menghasilkan Tahi Bintang Buatan Manusia

Hujan meteor Persied yang berlaku setiap tahun di antara bulan Julai hingga Ogos amat dinantikan peminat astronomi. Ribuan tahi bintang akan jatuh dari langit dan dilihat dengan jelas di seluruh dunia. Tetapi untuk melihat dengan jelas tahi bintang, individu perlu menanti waktu yang tepat dan ini memerlukan kesabaran.

Astro Live Experiences (ALE), sebuah firma Jepun kini merancang memberikan perkhidmatan menghasilkan tahi bintang buatan manusia kepada mereka yang berminat. Menurut ALE, perkhidmatan Sky Canvas mereka akan memberikan pengalaman tahi bintang yang lebih terang dan lama berbanding yang berlaku secara semula jadi.

Sebanyak 5-20 tahi bintang akan dapat dilihat di dalam setiap sesi Sky Canvas dan boleh dilihat di angkasa sehingga 10 saat. Ini adalah tempoh yang lebih lama berbanding tahi bintang semula jadi. Tahi bintang buatan manusia ini terdiri daripada partikel kecil sebesar 1 cm yang akan dilepaskan oleh satelit mereka dari orbit bumi rendah dan terbakar pada ketinggian sekitar 60 kilometer dari permukaan bumi.

Pihak ALE telahpun melancarkan satelit ujian untuk sistem Sky Canvas mereka semalam menggunakan roket Epsilon #4 milik Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), Sekiranya ujian berjaya, perkhidmatan Sky Canvas akan mula beroperasi seawal 2020.

Nampaknya tahun ini melihat manusia cuba menghasilkan tahi bintang mereka sendiri. Tahun lalu China telah berjaya menghasilkan matahari buatan manusia yang enam kali lebih panas berbanding yang sebenar. Apa pula yang akan dilakukan oleh manusia di masa hadapan?

Sumber : Amanz