Tun Razak – Perisik Yang Menjadi Pemimpin

1-Umum sudah mengetahui bahawa Vladimir putin merupakan
bekas perisik KGB yang kemudiannya diangkat sebagai Presiden Russia. Disebabkan
kerjaya beliau didalam pasukan risikan, beliau memang amat memahami keadaan
politik dunia dan memberikan kelebihan kepada beliau menguasai pentakbiran
negara dan selok belok percaturan politik dalaman amnya.

2-Tapi tahukah anda Malaysia juga mempunyai seorang perisik
yang kemudiannya menjadi seorang pemimpin iaitu sebagai  Perdana Menteri. Beliau adalah bekas perisik
yang dilatih secara mendalam dan efektif 
oleh Yeop Mahidin. Siapa pula Yeop Mahidin? Beliau yang digelar “Singa
Melayu” merupakan seorang Hakim yang amat patriotik terhadap negaranya dan
merupakan pengasas kepada Tentera Wataniah. Sila baca sumber untuk mengetahui
secara mendalam mengenai Yeop Mahidin.

3-Berbalik kepada Pemimpin Malaysia yang pernah menjadi
perisik. Beliau yang dimaksudkan adalah Allayarham Tun Abdul Razak, juga
digelar bapa Pembangunan Malaysia. Disebabkan pernah menjadi perisik, amat
mudah bagi beliau untuk menghidu komplot golongan kiri yang tersiratnya ada
campur tangan Komunis untuk menguasai pemerintahan negara.

4-Risikan itu benar dan
berasas kerana, berikutan daripada penolakan Perlembagaan Rakyat dan selepas  peristiwa All Malayan Hartal (1947) yang
dianjurkan oleh Gabungan PUTERA-AMCJA, Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) telah
melancarkan pemberontakan bersenjata kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
(dipendekkan kepada Malaya) yang tetap ditubuhkan oleh Pihak British, Majlis
Raja-raja Melayu dan UMNO.

Perjalanan Tun Abdul Razak
Sebagai Perisik

1-Perang
Dunia Kedua berlaku ketika Tun Abdul Razak sedang belajar di Kolej Stamford Raffles
di Singapura. Disebabkan perang meletus beliau dipanggil balik ke Kuantan. Pada
masa yang sama tentera Jepun mula mengambil golongan “buruh Paksa” untuk
dihantar ke Siam. Buruh paksa dari Malaysia selalunya akan dihantar di tempat
yang ekstrim untuk membina laluan landasan keretapi.

2-Tun Abdul
Razak bertemu Yeop Mahidin yang masih menjadi Hakim sewaktu berkhidmat didalam
Perkhidmatan Awam Malaya. Kerana perasaan cinta akan Negara yang tinggi, Tun
Abdul Razak berasa perlu untuk beliau menyertai Rejimen Melayu tetapi dihalang
oleh pihak atasan diatas sebab mungkin kedudukan Abdul Razak yang merupakan
waris kepada Ketua Bangsawan Bugis dan ketua bagi suku di Pahang yang perlu
diberi pelindungan.

3-Apabila
Askar Wataniah Pahang ditubuhkan dengan perkenan Sultan akibat perang mula
tercetus, Yeop Mahidin dengan segera mengambil Tun Abdul Razak untuk berada
dibawah tunjuk ajarnya dalam bidang ketenteraan berikutan betapa bersungguhnya
Tun Abdul Razak ingin berkhidmat kepada negara.

4-Yeop
Mahidin mempunyai rancangan yang rapi terhadap Tun Abdul Razak. Disebabkan
taraf intelektual yang tinggi dan berkebolehan mempelajari sesuatu dengan
cepat. Beliau tidak melatih Tun Abdul Razak untuk berperang dihutan sahaja,
tetapi turut dilatih secara mendalam berkenaan ilmu risikan di bawah tunjuk
ajarnya dan menberi arahan supaya beliau kembali menyertai Perkhidmatan Awam
Malaya untuk menjadi pemberi maklumat kepada Askar Wataniah Pahang.

5-Bukan
mudah untuk meletakan perisik dikalangan Askar Jepun. Umum sudah mengetahui
bahawa betapa cekap Agensi perisikan Jepun memainkan peranan penting
dalam proses Jepun untuk  muncul sebagai
kuasa penting pada abad ke-20. Malah, aspek perisikan menjadi satu keutamaan
dalam dasar luar Jepun untuk mendapatkan maklumat tentang kekuatan dan
kelemahan pihak musuh. Masih ingatkah lagi dengan Insan Jepun bernama Yutaka
Tani?

6-Disebabkan
taraf kedudukan keluarga beliau, menyenangkan lagi operasi ini dijalankan .
Dengan perancangan yang disusun kemas, beliau kemudiannya dihantar kembali ke
Pahang oleh pentadbiran Jepun. Dengan pengalaman sebelum ini dan watak yang
sempurna membuat mereka melantiknya sebagai pembantu di pejabat Pegawai Daerah.

7-Sebagai
Pembantu Pegawai Daerah, Tun Abdul Razak perlu menyelaraskan banyak aktiviti
dengan pasukan Imperial Jepun. Beliau berjaya membina rangkaian persahabatan
ketika itu bersama Jepun dan dengan ini mudah bagi Tun Abdul Razak mendapat
maklumat pengerakan tentera Jepun dari segi logistik dan sebagainya untuk
diberikan kepada Pasukan Wataniah.

8-Tiada
dicatatkan, bagaimana Tun Abdul Razak menyalurkan maklumat risikan kepada pihak
atasan beliau, bayangkan bekerja dalam suasana sentiasa diperhatikan segala tindak
tanduk dalam pengerakan. Walaupun hanya ingin ke pantry membuat kopi. Siapa
yang pernah bekerja di kilang Jepun, boleh lah serba sedikit merasai betapa
banyaknya peraturan tertentu dibuat untuk mengawal pengerakan pekerja dan pada
waktu itu tiada dokumen salinan lembut yang boleh dipindahkan ke pemacu pena
untuk diselinap keluar seperti filem perisikan moden.

8-Disebabkan  pada
masa yang sama Tentera Jepun mengambil pengkhianat dikalangan rakyat tempatan, tidak
ramai dari Pasukan Wataniah mengetahui Tun Abdul Razak memihak kepada mereka
dan justeru itu melihat Tun Abdul Razak sebagai pengkhianat disebabkan beliau
bekerja dengan orang Jepun waktu itu. Kerahsiaan dalam risikan amatlah perlu
dijaga rapi supaya niat Tun Abdul Razak tidak dihidu dan boleh menyebabkan
beliau kehilangan nyawa.

9-Wataniah
akhirnya menjadi sebahagian daripada pasukan Force 136 apabila British mula
mempercayai orang Melayu untuk melawan orang Jepun.Ini mungkin kerana kenyataan
British menyedari bahawa sama ada mereka suka atau tidak, lebih separuh
daripada penduduk Malaya adalah Melayu.

10-Aktiviti
pasukan Wataniah mula memberikan kesan kepada tentera Jepun, Tentera Jepun mula
mengesyaki barisan Perkhidmatan Awam Malaya yang ditugaskan menangani pergerakan
Angkatan Tentera Jepun melakukan kebocoran maklumat. Ini kerana dalam satu
serangan, Pasukan Wataniah dengan kekuatan 20 anggota mampu membuat serangan
hendap dan membunuh 30 orang tentera Jepun. Rentetan kekalahan seperti ini
membuatkan Tentera Jepun mengesyaki sesuatu.

10-Salah
seorang daripada askar Jepun adalah rakan kepada Yeop Mahidin yang merupakan
Hakim ketika itu. Tidak mahu Yeop Mahidin tertangkap, dia memberi amaran supaya
berhati-hati dengan Tun Abdul Razak. Askar Jepun itu tidak menyedari bahawa
Yeop Mahidin adalah Pemimpin bagi Askar Wataniah. Yeop Mahidin dengan cepat
membuat satu pelan yang melibatkan “penculikan” Tun Abdul Razak,
seolah-olah seperti beliau hendak dibunuh. Yeop Mahidin juga risau terhadap
keselamatan Tun Abdul Razak yang seperti telah dihidu aktiviti risikannya.

11-“Penculikan”
tersebut berjaya, kerana askar Wataniah tidak tahu Tun Abdul Razak adalah agen
mereka dan misi mereka sebenarnya adalah misi menyelamat. Mereka mulai sedar
kedudukan Abdul Razak ketika keluar dari kem Komandan dan barulah mereka
menyedari bahawa beliau adalah salah seorang daripada mereka.

12-Ketika
khabar angin mengatakan Jepun menyerah kalah, Wataniah mendapat tahu khabar angin
lain bahawa Sultan Abu Bakar telah diculik. Dan ketika Tun Abdul Razak dan
pasukannya tiba untuk menjemput Sultan, anggotanya menemukan risalah yang
ditinggalkan Jepun mendakwa bahawa orang Cina telah membunuh Sultan. Dengan
marahnya, Tun Abdul Razak mengarahkan anggotanya untuk mengutip dan
menghapuskan risalah tersebut.

13-Tindakannya
itu mungkin telah menyelamatkan orang Cina di Kuantan daripada diserang oleh
orang Melayu yang berang kerana Sultan mereka dibunuh. Akhirnya Sultan Abu
Bakar ditemui selamat. Tun Abdul Razak bukan sahaja menjadi perisik kepada
Askar Wataniah Pahang, tetapi juga menyelamatkan Sultan dan menghentikan orang
Melayu daripada terpedaya dengan helah Jepun untuk memecah belahkan negara.

Masih menanti  sisi
lain Tun Abdul Razak sebagai perisik dapat difilemkan.

Beliau bukan sahaja “Bapa pembangunan Malaysia” tetapi
boleh dikatakan “Bapa Perisik Malaysia”.

Al-Fatihah

Sumber : ThePatriots