Russell Williams: Kolonel Pembunuh

Apabila berbicara tentang pembunuh bersiri, pasti kita akan
menyangka bahawa pembunuh itu merupakan seorang yang suka menyendiri dan
seorang yang terganggu fikirannya.

Namun artikel kali ini, adalah tentang seorang pembunuh yang
merupakan seorang pegawai kanan yang terkenal di dalam angkatan tentera dan
dipandang tinggi oleh masyarakat.

Latar Belakang

Russell Williams menurut rakan dan anggota bawahan dia di dalam
angkatan tentera, merupakan seorang anggota tentera contoh dan pemimpin yang
baik buat mereka semua.

Williams berkahwin dengan Mary Elizabeth Harriman pada tahun
1991. Ketika ini, dia berpangkat kapten di dalam angkatan tentera.

Lama kelamaan, Williams telah dinaikkan pangkat ke pangkat
kolonel, iaitu pada tahun 2009. Ketika ini, dia telah mula menjalankan tugas
sebagai ketua pangkalan tentera udara terbesar dan tersibuk di Kanada, iaitu
pengkalan udara CFB Trenton.

Dia yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang, turut
pernah berkhidmat dan menjadi juruterbang yang bertanggungjawab membawa VIP dan
orang ternama, salah seorang daripadanya adalah Ratu Elizabeth II.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan dan pencapaian cemerlang dia
di dalam bidang ketenteraan, Williams turut menyembunyikan sisi gelap dia dari
pengetahuan umum. Tiada sesiapa, termasuk keluarga dia sendiri menyedari
perubahan serta kelakuan sumbang yang telah dilakukan oleh Williams.

Seorang Pervert

Di antara tahun 2007 sehingga 2009, Williams dikatakan telah
memecah masuk ke dalam 82 buah rumah yang terletak di dalam lingkungan bandar
Ontario, Ottawa, Tweed dan Belleville.

Koleksi pakaian dalam yang dicuri.

Di sebalik aktiviti pecah rumah itu, dia telah bertindak
mencuri pakaian dalam dan “bikini” milik ramai gadis. Dilaporkan
bahawa, mangsa kecurian pakaian dalam oleh Williams ini, paling muda berumur 9
tahun.

Selain itu, Williams juga dilaporkan pernah meninggalkan
ucapan ‘terima kasih’ atau “Merci” di dalam bahasa perancis, di dalam
komputer milik salah seorang daripada mangsa kecurian, iaitu seorang gadis
berumur 12 tahun. Perkara ini membuktikan bahawa dia mempunyai kecenderungan
terhadap kanak-kanak (pedofil)

Williams yang menjadi model kepada pakaian dalam dan bikini yang dicuri

Setelah memecah masuk ke dalam rumah, Williams bertindak
memakai pakaian dalam gadis-gadis tersebut, seterusnya beronani di atas katil
‘mangsanya’. Dia turut menjadi ‘model’ dan mengambil gambar dia sendiri memakai
pakaian dalam yang dicuri, untuk dijadikan koleksi.

Penghujung tahun 2009 pula menyaksikan ‘fetish’ “home
invasion” atau pecah masuk rumah oleh Williams ini, menjadi semakin teruk
lagi. Ini akhirnya menjurus dia kepada perlakuan lebih ganas, iaitu dia mula
bertindak merogol dan membunuh mangsanya.

Pada mulanya, Williams hanya menyerang, mengikat dan
mengambil gambar mangsa dalam keadaan berbogel. Bagaimanapun, mereka tidak
‘diapa-apakan’, dan hanya meninggalkan mangsanya begitu sahaja dalam keadaan
malu.

Namun pada November 2009, seorang juruteknik penerbangan
ketenteraan berumur 37 tahun iaitu Korporal Marie-France Comeau, ditemui mati
di dalam rumahnya. Kes ini telah dikaitkan dengan Williams.

Kemudian pada tahun 2010, Williams memecah masuk ke rumah
gadis bernama Jessica Lloyd yang berumur 27 tahun. Williams telah meletakkan
pita pelekat pada mata Jessica untuk menutupnya, kemudian merakam video dia
sedang merogol gadis malang itu.

Selepas itu, Williams telah membawa Jessica ke kediaman dia
yang berlainan, dan memaksa Jessica untuk mandi serta membersihkan diri
terlebih dahulu, sebelum merogol gadis itu sekali lagi dengan kejam.

Mangsa bunuh.

Kiri Jessica Lloyd
Kanan Marie-France Comeau

Jessica berulang-kali merayu dan meminta supaya jangan
dibunuh. Membuat permohonan kali terakhir kepada Williams, Jessica berkata:

“Kalau saya mati, boleh tak awak pastikan yang mak saya
tahu bahawa saya sayangkan dia?”

Selepas itu, Williams bertindak memukul kepala Jessica
dengan menggunakan lampu suluh, gadis yang sudah lemah longlai akibat dirogol
berulang kali itu rebah ke dan tidak sedarkan diri. Williams seterusnya
menjerut leher gadis malang itu sehingga mati menggunakan seutas tali. Williams
kemudian menanam mayat gadis itu.

Terbongkar

Kehilangan Jessica hanya disedari pada 28 Januari. Selepas
itu, pihak berkuasa yang sedang menyiasat kehilangan gadis tersebut, menyedari
kehadiran bekas tayar yang aneh pada salji di perkarangan kediaman Jessica.

Seterusnya, pada tarikh 4 Februari 2010, pihak polis Ontario
bertindak melakukan pemeriksaan kesan tayar secara menyeluruh bagi pengguna
lebuhraya berhampiran kediaman Jessica. Kesan tayar yang agak sama ditemukan
oleh salah seorang pegawai polis, menunjukkan kesan tayar tersebut milik kereta
dipandu oleh Williams.

Dia pada ketika itu memandu kenderaan jenis “Nissan
Pathfinder” dan bukan BMW seperti yang biasanya digunakan.

Berdasarkan maklumat kesan tayar tersebut, pada 7 Februari
2010, pihak polis memanggil Williams untuk hadir ke balai bagi membantu
siasatan. Soal siasat yang berlangsung selama 10 jam itu, akhirnya membuatkan
Williams mengaku salah ke atas semua jenayah yang telah dia lakukan.

Russell Williams semasa soal siasat

Apabila pihak polis memeriksa kesemua kediaman dia termasuk
kediaman keluarga di bandar Ottawa, mereka menjumpai pelbagai jenis pakaian
dalam, dan koleksi ratusan gambar-gambar mangsa dan pakaian dalam yang diambil.
Pada masa ini juga, Williams telah menunjukkan serta membawa pihak berkuasa ke
lokasi dia menanam mayat Jessica Lloyd, iaitu tidak jauh dari kediaman dia.

Russell Williams telah dijatuhkan hukuman penjara seumur
hidup, dan hanya layak mendapat parol selepas 25 tahun penjara sahaja.

Selain itu, dia telah dilucutkan jawatan dan segala pingat
yang telah diberikan ditarik balik. Baju seragam tentera dia dibakar, kereta
“Nissan Pathfinder” itu juga telah dimusnahkan. Bagaimanapun, dia
masih layak menerima bayaran pencen.

Sumber : ThePatriots