Neofobia Makanan (Food Neophobia): Kisah Si Pemilih Makanan

Pernahkah anda mendengar mengenai neofobia
makanan (food neophobia) ini? Istilah ini mungkin kedengaran agak asing
dalam kalangan masyarakat kita, namun hakikatnya neofobia makanan ini
sebenarnya bukanlah perkara yang asing dalam kehidupan seharian kita. Anda
memiliki makanan tertentu yang tidak anda gemari? Atau, anda mempunyai
anak-anak atau ahli keluarga yang begitu cerewet dalam memilih makanan? Sebenarnya,
sikap dan ketakutan untuk mencuba pelbagai jenis makanan serta cerewet yang
keterlaluan inilah yang dinamakan sebagai keadaan neofobia makanan.

Definisi neofobia makanan

Secara asasnya, neofobia makanan ini
didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana seseorang individu itu enggan untuk
mencuba makanan yang baru. Istilah ‘neo’ itu bermaksud baru, manakala ‘fobia’
ialah ketakutan, maka secara dasarnya, ia adalah perasaan takut untuk mencuba
makanan baru. Fenomena atau keadaan ini juga dikenali sebagai cerewet
keterlaluan atau terlalu memilih makanan.

Apakah punca yang menyebabkan berlakunya
neofobia makanan ini? Pakar pemakanan dan psikologi menyifatkan bahawa rasa
takut untuk mencuba sesetengah jenis makanan ini berpunca daripada mekanisme
yang terbina dalam diri seseorang yang ingin mengelak daripada makanan tersebut
mengikut nalurinya, kerana pada anggapannya makanan tersebut adalah beracun
atau boleh memudaratkan dirinya. Keadaan kepercayaan terhadap naluri ini
mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang membawa kepada ketakutannya
terhadap makanan tersebut seperti pengalaman masa kecil atau peristiwa yang
tidak dapat dilupakan.

Siapa yang cenderung mengalami neofobia makanan?

Dalam banyak kajian yang dijalankan berkaitan
dengan neofobia makanan ini, kanak-kanak adalah kumpulan individu yang sering
dikaitkan dengan masalah ini. Fenomena neofobia makanan dalam kalangan
kanak-kanak ini biasanya berlaku berlaku
dalam kalangan kanak-kanak yang berumur dua hingga tujuh tahun, atau adakalanya
pada kanak-kanak yang lebih tua namun ia akan berkurangan secara beransur-ansur
apabila kanak-kanak itu membesar.

Bagi
kanak-kanak, penjelasan bagi neofobia makanan ini boleh dikaitkan dengan
peningkatan umur mereka, iaitu pada lazimnya, apabila apabila kanak-kanak ini
mencapai umur dua tahun, dia sudah mengenali bagaimanakah sepatutnya rupa dan
bau sesuatu makanan. Oleh itu, apabila ibu bapa memperkenalkan makanan baru
yang tidak bersesuaian dengan persepsinya, dia akan terus menolaknya.

Walaupun
masalah neofobia makanan ini begitu ketara dalam kalangan kanak-kanak, namun
masalah ini sebenarnya turut dialami oleh orang dewasa. Berdasarkan satu kajian
yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2015 dalam kalangan pakar kulinari muda,
didapati bahawa terdapat kecenderungan bagi para tukang masak dan pakar
kulinari ini untuk turut mengalami masalah neofobia makanan. Meskipun, pada
asasnya, seseorang individu yang mempunyai profesion berkaitan dengan bidang
masakan ini tidak seharusnya mempunyai sikap yang cerewet atau memilih makanan,
namun, ia sebenarnya suatu situasi yang boleh berlaku kepada sesiapa jua.

Bagi
masalah neofobia makanan dalam kalangan orang dewasa, antara faktor utama yang
mempengaruhi mereka ialah faktor motivasi atau kebiasaan mereka terhadap
sesuatu jenis makanan serta kepercayaan sensori mereka terhadap sesuatu jenis
makanan. Bagi faktor motivasi ini, kebanyakan individu yang mengalami neofobia
makanan lebih mempercayai makanan yang biasa mereka temui dalam hidup mereka,
contohnya seperti makanan yang biasa dimasak oleh ibu atau makanan yang biasa
dimakan sejak kecil.

Manakala
bagi kepercayaan sensori pula, mereka yang mengalami neofobia makanan ini
mempunyai persepsi tertentu terhadap warna, bau, rasa serta cara sesuatu
makanan itu disediakan sehingga membuatkan mereka enggan untuk memakannya. Selain
itu, sejarah kesihatan lampau, seperti alahan yang pernah dialami akibat
memakan makanan tertentu juga adalah antara punca yang boleh mengakibatkan
berlakunya neofobia makanan.

Kesan neofobia makanan

Kanak-kanak
yang mengalami masalah neofobia makanan biasanya kurang mengambil buah-buahan,
sayur-sayuran dan makanan berprotein. Keadaan ini juga sebenarnya adalah sama
dengan jenis makanan yang dikaitkan dengan neofobia makanan dalam kalangan
orang dewasa.

Pada
dasarnya, berdasarkan apa yang disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia, setiap
individu harus mengambil hidangan yang seimbang yang terdiri daripada pelbagai
jenis makanan bagi menjamin kesihatan yang optimum. Namun, bagi golongan yang
mengalami neofobia makanan yang teruk, risiko untuk mereka mengalami masalah
kekurangan nutrien yang penting adalah sangat tinggi dan ini boleh membawa
kepada masalah kesihatan yang lain.

Kekurangan
mikronutrien penting seperti kalsium contohnya, yang mungkin berpunca akibat
daripada keengganan dan ketakutan terhadap susu serta produk tenusu yang lain
boleh menyebabkan berlakunya masalah gigi serta pertumbuhan tulang yang tidak
sempurna. Ketakutan terhadap sayur-sayuran hijau juga boleh menyebabkan
berlakunya kekurangan zinc, fiber serta folate yang diperlukan dalam
pembentukan sel-sel darah dan seterusnya boleh menyebabkan anemia.

Cara mengatasi neofobia makanan

Bagi
kanak-kanak, kaedah yang sering dijalankan bagi membantu ibu bapa mengatasi
neofobia makanan ini adalah dengan membantu mempelbagaikan jenis makanan untuk
anak-anak mereka. Malah, kaedah penyediaan makanan untuk kanak-kanak juga
haruslah lebih kreatif melalui gambaran yang cantik mengenai makanan tersebut
iaitu dengan pelbagai warna makanan yang menarik. Contoh yang paling mudah
ialah melalui penggunaan sayur-sayuran yang pelbagai seperti tomato ceri, lobak
merah, anggur, timun serta telur.

Pendekatan
bagi mengatasi neofobia makanan ini adalah lebih mudah untuk diaplikasikan bagi
kanak-kanak, namun bagi golongan dewasa, pendekatan yang dijalankan adalah
lebih kepada memberi kefahaman bagi mengubah persepsi mereka terhadap sesuatu
jenis makanan yang tidak disukai. Pendekatan ini lebih kepada psikologi makanan
yang menjurus kepada pengenalpastian jenis makanan yang tidak digemari, sebab
kenapa ia tidak digemari dan tahap ketidaksukaan terhadap sesuatu jenis makanan
tersebut. Mengubah persepsi serta tanggapan negatif dalam kalangan orang dewasa
ini adalah lebih sukar berbanding mempelbagaikan jenis makanan baru kepada
kanak-kanak.

Kesimpulan

Neofobia
makanan boleh berlaku kepada sesiapa jua, dengan pelbagai tanggapan negatif
terhadap sesuatu jenis makanan. Apa yang paling penting adalah bagaimana untuk
mengubah tanggapan negatif ini dan menghilangkan rasa takut untuk merasa
makanan tersebut.

Rujukan

Alley, T. R., &
Potter, K. A. (2015). Food Neophobia and Sensation Seeking. In V. R. et al.
Preedy (Ed.), Handbook of Behavior, Food and Nutrition. Clemson, USA:
Spinger Science. https://doi.org/10.1007/978-0-387-92271-3

Dovey, T. M., Staples,
P. A., Gibson, E. L., & Halford, J. C. G. (2008). Food neophobia and ‘
picky / fussy ’ eating in children : A review. Appetite, 50,
181–193. https://doi.org/10.1016/j.appet.2007.09.009

Rosmaliza, M.,
Khairunnisa, M. A., Mohd Salehudin, M. Z., & Mohd Shazali, M. S. (2015).
Revealing the Scenario of Food Neophobia among Higher Learning Institution
Students from Klang Valley , Malaysia. Procedia – Social and Behavioral
Sciences
, 170(January), 292–299.
https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2015.01.039

Rosmaliza, M., Mohd
Aizuddin, I., Roslina, A., & Firdaus, H. (2016). Psychological Factors on
Food Neophobia among the Young Culinarian in Malaysia : Novel food preferences.
Procedia – Social and Behavioral Sciences, 222, 358–366.
https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2016.05.180

Zalilah, M. S., Khor,
G. ., Mirnalini, K., & Sarina, S. (2005). Food Neophobia and Nutritional
Outcomes in Primary School-Children. J Community Nutrition, 7,
121–129.

Sumber : ThePatriots