Kos Tambahan Menghasilkan Telefon Pintar 5G Dari China Adalah Sekitar RM300 Sebuah

Tahun ini ialah tahun pertama telefon pintar 5G akan dihasilkan pada skala besar-besaran dengan Samsung dan Xiaomi antara yang telah mengesahkannya. Selain memberikan kelajuan Internet selular yang lebih pantas, ia turut akan meningkatkan harga jualan peranti kerana penggunaan komponen terkini.

Menurut laporan DigiTimes, pengeluar peranti di China dijangka meningkatkan harga peranti sebanyak RMB 500 (~RM 303) sebuah sekiranya ia menyokong rangkaian 5G. Kos untuk modem sahaja adalah sekitar $50 manakala antena baharu pula sekitar $30. Pada waktu awal pengeluar akan menanggung kerugian kerana kos komponen yang lebih mahal tetapi ia dijangka akan berkurangan dengan permintaan yang semakin meningkat.

Di Malaysia kita masih lagi sedang menjalankan ujian 5G di Putrajaya dan Cyberjaya sehingga 31 Oktober 2019. Besar kemungkinan rangkaian 5G hanya akan ditawarkan kepada umum pada tahun 2020. Oleh itu penawaran peranti 5G di negara kita hanya akan berlaku selepas 2020. Sebagai pengguna kita hanya boleh berharap kos penghasilan peranti 5G akan berkurangan setahun dari sekarang.

Sumber : Amanz