Casio Baby-G Edisi Ulang Tahun Ke-25 Dilancarkan

Pejam celik jam tangan ranggi Casio Baby-G kini sudah berusia 25 tahun. Model yang lebih kecil dan comel ini dihasilkan untuk pengguna wanita yang inginkan ketahanan G-Shock tetapi tidak mahu sebuah jam tangan yang terlalu besar. Casio Baby-G BGD-525-7 ialah model kemas kini kepada DW-520 yang merupakan Baby-G pertama dilancarkan pada tahun 1994.

Rekaan luaran masih sama tetapi komponen dalamannya dimodenkan bagi memenuhi keperluan semasa. BGD-525-7 mempunyai ketahanan menyelam sehingga 200 meter, kemampuan tahan hentakan, lampu malam, waktu dunia untuk 48 bandaraya dan penggera automatik.

Keseluruhan tubuh jam berwarna putih dengan kemasan biru dan merah pada muka jam. Pada panel belakang pula terdapat ukiran ulang tahun ke-25 tahun Baby-G. Casio Baby-G BGD-525-7 mula dijual di Jepun 18 Januari lalu pada harga ¥11,500 (~RM 434) seutas. Bagi pengguna lelaki, jangan risau kerana lima model Casio G-Shock edisi ulang tahun ke-35 telah dilancarkan dua tahun lalu.

Sumber : Amanz