Livermorium Akan Hadir Dengan Peranti LineageOS Dengan Papan Kekunci QWERTY

Livermorium. Kali terakhir kita dengar nama ini adalah pada Januari tahun lepas. Di mana mereka adalah syarikat yang sepatutnya melancarkan Livermorium Slider Keyboard, iaitu Moto Mods papan kekunci QWERTY untuk telefon pintar Moto siri Z. Kemudian pada bulan September tahun yang sama, pembangunan Moto Mods ini dihentikan.

Hari ini, Livermorium mengumumkan yang mereka akan hadir dengan telefon pintar Android tersendiri dengan papan kekunci fizikal QWERTY. Peranti Android Livermorium ini akan menggunakan skrin AMOLED 6-inci bernisbah 18:9 dan melengkung pada kedua sisi. Tiada takuk yang akan digunakan, tetapi akan kekal dengan rekaan bingkai nipis untuk pengalaman penggunaan mod melintang yang lebih baik serta meningkatkan pengalaman menaip.

Livermorium yang kini dikenali sebagai F(x) Technology telah mereka papan kekunci mereka dengan 5 baris kunci dengan barisan kunci nombor. Rekaan papan kekunci ini direka untuk memudahkan kedua-dua ibu jari mencapai setiap kunci. Kemudian, papan kekuncinya juga mempunyai backlit untuk kemudahan menaip dalam suasana yang gelap. Peranti Livermorium ini turut akan menggunakan rekaan boleh luncur secara melintang dan apabila diluncurkan, skrin peranti akan berada dalam satu sudut bukannya secara menegak.

Menariknya, F(x) Technology turut telah bekerjasama dengan Lineage OS untuk sistem operasi pilihan buat peranti mereka. Mereka turut dilaporkan sedang merancang untuk bekerjasama dengan Sailfish OS. Bagi yang tidak hirau akan sistem operasi Lineage OS dan Sailfish OS, peranti berpapan kekunci QWERTY ini akan menjalankan sistem operasi Android asli dengan pelancar khas serta beberapa aplikasi khas yang mesra digunakan dalam mod melintang. Peranti ini dikatakan akan dilancarkan pada suku pertama 2019, jadi kita mungkin akan ketahui maklumat lebih lanjut tidak lama lagi.

Sumber : Amanz