‘Gaming House’ Adalah Rumah Sewa Yang Dilengkapi Dengan Set PC Gaming

Di Jepun pasti banyak perkara yang berkait dengan teknologi yang unik, pelik dan menarik. Antaranya adalah robot membuat lawak jenaka atau juga mesin membeli ayam goreng layan diri. Terkini, di Tokyo – sebuah rumah sewa yang pasti menarik perhatian ramai lelaki telah hadir ke pasaran.

Di Jepun, kebanyakan rumah sewa atau bilik sewa akan mempunyai nama-nama unik tersendiri. Rumah sewa terkini digelar sebagai ‘Gaming House‘ dan ia bukan hanya pada sekadar nama, tetapi rumah sewa ini benar-benar untuk mereka yang ingin menjadi seorang pemain permainan video profesional. Rumah sewa ini dihasilkan oleh e’sPro dan ia terletak di Tamagawa Gakuen.

Rumah sewa yang terletak di Tokyo ini dilengkapi dengan set PC gaming termasuk paparan dan juga kerusi gaming. Disebabkan rumah sewa disasarkan untuk dikongsi bersama dan bukan seorang diri, ia dilengkapi dengan beberapa ketuhar gelombang mikro, periuk nasi, perkakasan dapur lain, mesin basuh, ruang makan dan banyak lagi. Rumah sewa ini turut mempunyai bilik tidur peribadi dengan katil tersendiri, rak, almari, senang cerita ia mempunyai kelengkapan yang cukup untuk kegunaan harian.

Apa yang menarik lagi adalah, ‘Gaming House’ ini dilengkapi dengan perkhidmatan Internet daripada Nuro Hikari Internet yang menawarkan kelajuan sehingga 2Gbps. Harga sewa bulanan ‘Gaming House’ pula hanya 100,000 yen sahaja, iaitu sekitar RM3692.

Sumber : Amanz