Rasmi : Tencent Membuat Pelaburan Strategik Pada Laman Komuniti Popular, Reddit

Lanjutan daripada desas-desus sebelum ini, kini ia disahkan yang mana Tencent bersama-sama beberapa pelabur lain telah membuat pelaburan strategik pada laman komuniti internet terkemuka, iaitu Reddit.

Menurut CNBC, Tencent membuat suntikan pelaburan sebanyak $150 juta. Secara keseluruhan, Reddit menerima suntikan dana termasuk daripada beberapa pihak lain berjumlah $300 juta.

Suntikan pelaburan ini turut menilaikan syarikat Reddit pada harga $3 bilion.

Dengan suntikan dana ini, Reddit berharap untuk terus memperluaskan komuniti mereka dengan menjadikan platform Reddit lebih global berbanding pada hari ini. Selain itu, Reddit juga ingin menambah pendapatan mereka dengan bersaing untuk mendapatkan pengiklan yang kini lebih memfokuskan platform Google dan Facebook.

Untuk Tencent pula, pelaburan ini mempelbagaikan lagi portfolio mereka. Tencent sedia mempunyai pelaburan pada sejumlah syarikat permainan video – dan Reddit merupakan salah satu platform dimana ramai pemain berbincang dan berkongsi pendapat.

Reddit buat masa ini dihalang di China, dan perkara berkenaan dijangka akan kekal sama selepas ini walaupun dengan pelaburan pihak Tencent ini.

Sumber : Amanz