Aku Seniman Ketuhanan – P Ramlee

Allahyarham Tan Sri
P.Ramlee sering mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah seniman ketuhanan
kepada kebanyakkan wartawan yang menemuramahnya.

Menurut P.Ramlee,
segala kerja seninya selama 20 tahun (pada ketika itu) berkecimpung di dalam
bidang itu ada kaitan hubungannya dengan Tuhan. P.Ramlee dengan tegas
mengatakan apa sahaja yang beliau ingin lakukan yang bersangkut paut dengan
kerjayanya, beliau tidak akan lupa memohon restu kepada Allah SWT.

Ini tidaklah
menghairankan kerana P.Ramlee mula mencari erti “ketuhanan” itu sebelum beliau
bergelar anak seni lagi. Sewaktu di Pulau Pinang, P.Ramlee pernah berguru
dengan Syeikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun
Abdullah Ahmad Badawi. Malah, sewaktu di Singapura, P.Ramlee menyambung
pengajian agamanya dengan seorang kiai yang agak terkenal di sana. Di Jalan
Ampas pula, P.Ramlee sering merujuk kepada Seniman Haji Mahadi yang begitu arif
di dalam selok-belok agama. Seniman Haji Mahadi merupakan anak kepada ulama
Nusantara yang terkenal, iaitu Syeikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi.

P.Ramlee juga sering
mengeluarkan ungkapan, “seni saya bukan kerana wang, tetapi seni saya adalah
kerana Allah semata-mata”. Satu baris madah yang cukup tinggi dan mendalam
maknanya jika dapat ditafsirkan. Menurut P.Ramlee lagi, apabila kita mengenal
dan mendekati Tuhan, maka segala cita-cita kita ingin mengangkat martabat agama
dan budaya bangsa lebih mudah untuk diterjemahkan dan ianya akan kekal
selama-lamanya.

Pesan P.Ramlee ;
“Sesungguhnya saya sedar, beberapa ketika ini filem-filem Melayu agak
sedikit mundur, tetapi pada pemerhatian saya ianya hanya seketika sahaja. Saya
bukan Tuhan yang boleh menentukan atau memastikan sesuatu. Namun saya tetap
berkeyakinan, bahawa filem Melayu akan lebih maju lagi di masa akan datang,
percayalah. Rahasianya terletak ditangan bangsa Melayu itu sendiri. Yang paling
utama masyarakat Melayu itu sendiri harus memberi sokongan kepada perkembangan
filem Melayu. Kalau bukan masyarakat Melayu sendiri yang menghargai budaya seni
Melayu, siapa lagi?”.

Jika kita memerhatikan
di dalam beberapa filem arahannya, kita dapat lihat P.Ramlee memasukkan
elemen-elemen agama di dalam filem beliau. Di dalam filem Sumpah Orang Minyak
misalnya, terdapat satu fakta yang menarik yang dapat diketengahkan di dalam
filem ini. Jika dilihat semasa credit
title
filem ini dipaparkan, terdapat satu nama yang munculdi bawah Cerita
Asal, iaitu Teuku Djaafar. Siapa
Teuku Djaafar ini? Di dalam salasilah keluarga P.Ramlee, memang benar beliau
ialah keturunan Teuku, tetapi tiada nama Teuku Djaafar yang ada. Jika kita
kaitkan dengan babak apabila Si Bongkok bertemu Puteri Bunian, kita akan dapati
bahawa ianya sungguh realistik dan seolah-olah memang berada di alam bunian
sendiri. Ini menyimpulkan bahawa P.Ramlee mempunyai satu keeistimewaan. Beliau
mampu untuk berkomunikasi dengan makhluk Allah yang berada di alam lain.

Selain itu, di dalam
filem Pendekar Bujang Lapok misalnya, semasa babak tentera Jepun yang mana
askar-askar Jepun bangkit dengan tulang-belulang mereka selepas trumpet
ditiup., bukankah ianya mencerminkan keadaan diri kita ketika Hari Kebangkitan
Kelak? Trumpet itu dimanifestasikan sebagai tiupan sangkakala. Selepas
sangkakala ditiupkan, maka kita akan dibangkitkan dengan tulang-belulang kita.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud Setelah seluruh manusia mati pada
tiupan sangkakala yang pertama, maka ditiuplah sangkakala kedua untuk
membangkitkan seluruh manusia dari kuburnya. Waktu itu bangkitlah seluruh
manusia dan hidup kembali, mereka bangun dan bergegas-gegas menemui Allah Yang
Maha Kuasa untuk menerima hisab mereka” Yaasin 51.

Selain filem, P.Ramlee juga turut mengeketengahkan
elemen agama di dalam lagu-lagu ciptaan beliau. Sebagai contoh, lagu Ini Kisah
Gembala Kambing di dalam filem Ahmad Albab, jika kita mendalami maksud lagu
itu, lagu itu bertepatan dengan kehidupan Rasulullah SAW. Antara bait liriknya
ialah

 Ini kisah gembala kambing
Hal dunia tak ambil pusing
Walau kocek selalu kering
Hatinya tak pernah runsing
Kerna yakin serta beriman
Jodohnya gadis rupawan
Kahwin free anak hartawan
Secantik putri kayangan

Melalui bait-bait lirik tersebut,
ternyata P.Ramlee mengeketengahkan kehidupan Rasulullah SAW. Di dalam sirah
Baginda, bukankah pekerjaan Nabi ialah sebagai penggembala kambing kemudian
beliau berkahwin dengan Sayyadatina Khadijah Binti Khuwailid Radhiallahuanha
yang merupakan seorang hartawan dan memiliki wajah yang rupawan?

Kesimpulannya, benarlah P.Ramlee ini
mempunyai keiistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Menurut sesetengah
orang, P.Ramlee boleh dikatakan sebagai pendakwah tetapi beliau menyampaikan
mesej dakwah itu bukan melalui kaedah tradisional, tetapi beliau menyampaikan
dakwah itu melalui lagu dan filem beliau. Oleh itu, tidak hairan mengapa
filem-filem P.Ramlee masih relevan hingga ke hari ini.

Sumber:

  1. Temuramah
    bersama P.Ramlee oleh Purnama Filem, bilangan 27, Mei 1969.
  2. Elmu
    P.Ramlee, Abuya Kamal, Sena Janjar Enterprise, 2017.
  3. Temubual
    bersama Nasir P.Ramlee
  4. Kelab
    Filem & Muzik Melayu Klasik

The post Aku Seniman Ketuhanan – P Ramlee appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots