Leica M10-P ‘ASC 100 Edition’ Dilancarkan Khusus Untuk Merakam Video

Kamera Leica didamba oleh penggemar seni fotografi kerana ia adalah jenama berprestij dengan imej yang dikenali sebagai gaya Leica. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kepakaran Leica digunakan oleh Huawei untuk menghasilkan sistem kamera yang terbaik pada telefon pintar. Namun begitu satu perkara yang jarang dikaitkan dengan Leica ialah kemampuan merakam video.

Leica M10-P ‘ASC 100 Edition’ telah dilancarkan pagi ini khusus untuk penggemar sinematografi  dan video. Ia adalah sebuah Leica M10-P yang hadir dengan dua mod video eksklusif Cine Looks. Mod pertama memberikan tetapan seakan merakam video pada filem 35mm manakala tetapan kedua pula memberikan rakaman seperti filem digital moden.

Kedua-dua mod ini menggunakan tetapan yang dipilih oleh American Society of Cinematography. Oleh sebab itu kamera digital ini menggunakan nama ASC 100 Edition sempena ulang tahun pertubuhan ini yang ke-100. Kamera ini hadir dengan lensa Leica Summicron-M 35 f/2 ASPH berwarna emas dan penyesuai yang membolehkan lensa PL digunakan. Bagi yang berminat, Leica M10-P ‘ASC 100 Edition’  akan mula dijual pada musim luruh kelak dengan harga yang masih belum diumumkan.

Sumber : Amanz