Jangan Cemar Kesucian Masjid Dengan Politik – Mukhriz

Alor Setar : Semua pihak termasuk imam diingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik yang dilihat boleh mencemarkan kesucian rumah ibadah itu, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata masjid adalah tempat untuk menyatukan ummah serta menyebarkan kebaikan sekaligus perlu dihormati dengan tidak menjadikannya sebagai medan memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

”Semua pihak perlu menghormati perbezaan pendapat termasuklah perbezaan politik dan perbezaan itu tidak seharusnya dibawa masuk ke dalam masjid. Saya harap masjid tidak disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri dan pihak tertentu serta tidak menjadikan alasan ingin berdakwah dengan menyelitkan cemuhan dan cercaan terhadap pihak tertentu.

”Kita semua faham perbezaan antara dakwah dan ceramah politik, jadi walaupun sesuatu ceramah disulami dengan sirah dan hadith ia tetap menjadi ceramah politik jika ia bertujuan untuk mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu ideologi atau pemikiran kepartian,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Ijtimak Bersama Imam-imam Negeri Kedah di sini, hari ini.

Mukhriz berkata peringatan tersebut juga selaras dengan pesanan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang telah beberapa kali bertitah melarang masjid dijadikan sebagai medan berpolitik melainkan berfungsi sebagai pusat ibadah.

”Jadi saya harap semua imam masjid mahupun ahli politik sama ada pihak kerajaan atau pembangkang supaya menghormati institusi masjid dengan tidak menjadikannya gelanggang politik seperti yang dimahukan Tuanku Sultan.

”Sebaliknya, sekiranya ada masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan, mereka boleh menggunakan cara dan saluran yang betul untuk menyampaikan aduan dan tidak perlu mengkritik kerajaan secara umum di dalam ceramah atau kuliah masjid,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berharap pihak pentadbiran atau pengurusan masjid dapat membantu menangani gejala sosial di kalangan generasi muda yang terdedah dengan pelbagai gejala negatif dengan mengajak golongan itu untuk bersama-sama mengimarahkan masjid.

”Usaha-usaha ini boleh digerakkan dengan kerjasama agensi kerajaan dan penguatkuasaan, ibu bapa, guru-guru, jawatankuasa komuniti dan badan-badan bukan kerajaan kerana semua pihak mempunyai peranan yang tersendiri dalam isu ini,” katanya.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli