”Tok Ni ‘Quran Buruk’ Anak Menantu Semua Tak Suka,” Sebak, Kisah Sayu Emak Dibuang Anak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ibu adalah segalanya. Jasa mereka melahirkan dan mendidik anak-anak tidak terbalas hingga ke akhir hayat. Kerana itulah darjat seorang ibu itu diangkat ke tahap paling tinggi hingga syurga berada di bawah tapak kakinya.

Disebabkan itu, kita sebagai anak seharusnya memuliakan mereka. Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘Ha’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka.

Perkongsian daripada Natipah Abu ini ternyata menjentik emosi yang membaca. Pertemuannya secara tidak sengaja dengan seorang ibu yang sudah uzur membawa kepada pengajaran dalam hidup agar kita lebih menghormati ibu bapa. Moga menjadi renungan buat semua.

QUR’AN BURUK

”Tok nak pi rumah orang tua Bedong. Sat lagi Tok jalan la
pelan- pelan pi ..”

Tok yang duduk di meja sebelah kami itu bercakap sendirian sambil menyuap cendol di dalam mulut. Di sisinya ada sebuah beg .. yang mungkin diisi dengan kain-baju.

”Tok mai dari mana ni?” Soal seorang pelanggan di meja sebelah. Ingin tahu.. kerana dari keadaannya yang sudah setua itu.. biasanya jarang lagi berjalan seorang diri.

”Tok mai dari Kulim. Anak Tok tak suka Tok. Menantu pun meluat. Tok ni menyusahkan depa. Lagu nilah qur’an buruk ! Agaknya kalau Tok mati esok pun, depa lempaq Tok dalam hutan saja.”

Kak Pah yang ada di meja sebelah terkedu dengan jawapannya. Pelanggan lain yang ada di dalam warung di Pekan Bedong itu semua memandang ke arah dia dengan bermacam riak di wajah.

”Tak kan laa anak Tok nak buat macam tu! Tok yang tak mau duduk dengan depa kot…” Sampuk seorang lelaki di meja hadapan. Kak Pah pandang wajah Tok .. kesiannya. Dalam usia setua itu, dia kena melalui ini semua tak kira walau apa pun alasannya.

Dari wajahnya yang dicelakkan mata, penampilan yang kemas dan bergaya ditambah dengan seutas jam di tangan.. rasanya Tok ini seorang yang bekerjaya di zaman mudanya mungkin.

Dia bukanlah orang kampung biasa. Dia datang dengan bas dari Kulim. Dia tahu di Bedong ini ada rumah orang tua-tua. Itu sudah cukup membuktikan dia seorang yang ada pengetahuan.

Katanya.. dia berumur 86 tahun. Orang lain dalam usia dia sudah ada yang terlantar di katil. Tapi dia masih sihat dan mampu berjalan sendirian sejauh itu.

”Jom.. saya nak pi hantaq Tok pi rumah orang tua-tua tu. Saya nak lalu kot tu..” Salah seorang pelanggan yang bersimpati menawarkan untuk menghantar Tok ke sana. Tok bangun dan bersalaman mesra dengan semua pelanggan termasuk Kak Pah. Dia kelihatan gembira sekali dan Kak Pah sempat mengambil gambar dia.

Membelek gambar wajahnya… tiba-tiba teringat sesuatu. Kak Pah buka balik wasap dengan salah seorang pegawai JKM. Kami ada berjanji hendak menziarahi seorang pesakit kanser Disember lalu.

Tapi pada hari itu, dia tiba- tiba membatalkan kerana perlu menguruskan penghantaran pulang seorang warga emas yang ditemui merayau dan telah dihantar ke Rumah Sri Kenangan Bedong.

Bila Kak Pah bandingkan gambar yang dia kirim kepada Kak Pah dengan gambar yang Kak Pah ambil sekejap tadi.. ternyata itulah Tok, orang yang sama.

Sudah dua kali Tok datang ke Bedong dan ini merupakan kali ke 3. Kemasukan ke RSK bukanlah sembarangan. Perlu ada perintah mahkamah atau dihantar oleh JKM di mana si pemohon tinggal.

”Kami call anak lelaki dia suruh mai ambik mak dia… dia kata hantar saja mak dia ke stesen bas. Pandai pi… pandailah dia balik,” Patutlah… Mungkin apa yang Tok luahkan tadi ada benarnya.

Kesian.. dalam usia Tok, adat dunia kata, mungkin ada berapa hari saja lagi masa utk dia. Bukannya dia hendak menongkat langit. Sepatutnya kita sebagai anak… kena bersabar melayan ibu atau pun ayah kita dalam keadaan mereka sudah lanjut usia.

Dalam keadaan ingatan dan kudrat yang sudah tidak seperti dulu lagi ini, memang sungguh mencabar. Tetapi… apalah sangat jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka selama berpuluh tahun membesarkan kita dulu.

Anak-anak Tok ini bertuah kerana… setidaknya dia masih boleh mengurus diri sedangkan di luar sana.. berapa ramai anak-anak yang terpaksa bekorban menjaga ibu-ayah yang sudah terlantar. Bermain dengan kencing- berak ibu ayah demi tanggung-jawab dan kasih sayang.

Sesungguhnya.. kita sendiri pun tak pernah tahu bagaimana hari tua kita kelak. Cuma yang pasti.. apa yang kita tanam.. itulah yang akan kita tuai, kan!

Sumber : SiakapKeli