Islam Menyeru Perpaduan Rakyat & Kaum

Firman Allah
S.W.T:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran
dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa
jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Sejarah Islam dimartabatkan di Tanah Melayu dibuktikan melalui perlembagaan dan dasar perundangannya yang tertinggi. Namun pencerobohan demi pencerobohan yang berlaku oleh golongan imperialis, semuanya membawa doktrin dan ideologi yang akhirnya memisahkan masyarakat daripada Islam. Bermula sejak zaman penjajahan Portugis, seterusnya Belanda, Britain dan Jepun, masing-masing ada kepentingan yang tersendiri.

Seiring dengan perkembangan zaman, rakyat pula semakin bertambah banyak, dan pelbagai, sehinggalah terbentuk tiga kaum utama ketika itu iaitu Melayu, Cina dan India. Kesemua mereka ini memainkan peranan bersama dalam pembinaan sebuah negara Malaysia yang merdeka, kekal sejahtera sehingga sekarang. Malah tidak dilupakan juga para alim ulama cendekiawan Islam yang turut sama berjasa dan berperanan besar dalam membangkitkan semangat mempertahan agama dan tanah air daripada terus dipijak penjajah.

“Akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa”

Demikianlah mantera merdeka untuk semua anak bangsa yang disampaikan Bapa Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dalam sebuah majlis bersejarah yang dikenang sepanjang zaman. Kata-kata yang hampir sama juga diungkapkan ketika penubuhan Malaysia pada 1963 dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Malaysia yang kini mencecah usianya hampir 60 tahun telah berpengalaman menghadapi situasi getir melalui konflik perkauman seperti peristiwa penyingkiran Singapura daripada Malaysia 1965 dan insiden rusuhan kaum 1969 yang sangat mendukacitakan. Permainan politik antara pihak tertentu dan usaha tangan-tangan belakang musuh pada awal pembinaan negara bangsa kita telah hampir mencacatkan kestabilan dan kemakmuran negara, namun Malaysia masih berjaya teguh berdiri mengibarkan panjinya hasil perjuangan anak watan yang bermati-matian mempertahankannya demi agama, bangsa dan negara.

Tidak mungkin bagi manusia hidup secara bersendirian tanpa melibatkan sebarang hubungan dengan masyarakat dan komuniti dalam sesebuah negara. Uniknya di Malaysia, kita dapat hidup bersama serta meraikan kepelbagaian bangsa dan agama antara satu sama lain tanpa sebarang diskriminasi. Syukurlah Malaysia tidak seperti negara lain yang saban hari berperang antara kaum walaupun masih dalam negara sendiri.

Manusia dijadikan dengan rencam bangsa, kefahaman dan kemampuan, kerana kepelbagaian itu ada peranan tertentu bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kebolehan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bersatu sebagai sebuah masyarakat madani.

Islam sentiasa menegaskan bahawa wujudnya perbezaan, perselisihan dan pertembungan dalam kalangan manusia adalah fitrah. Semuanya mengandungi hikmah yang diberikan oleh Allah Tuhan Pencipta Alam kepada seluruh umat manusia.

Firman Allah:

يأَيُّهَا
ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا
وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ
إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِير
ٞ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada
lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang
lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih
takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan
keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

PEMBINAAN
NEGARA ISLAM PERTAMA DI DUNIA

Mari bersama kita telusuri sirah Rasulullah S.A.W dalam membawa perjuangan dakwah di sebuah kota Yathrib sebelum ditukar namanya kepada Madinah al-Munawwarah iaitu bandar yang bercahaya dengan sinaran Islam. Usaha mendirikan sebuah kerajaan Islam bukannya usaha yang kecil dan remeh, sebaliknya sebagai kemuncak kepada perjuangan agama yang Rasulullah S.A.W bawa sejak mula menerima wahyu di Gua Hira’ pada awal kerasulan. Ini membuktikan bahawa syariat Islam menekankan segenap aspek kehidupan manusia termasuk usaha penguasaan politik kenegaraan, bukan hanya setakat ibadah, kewangan, ekonomi, dan aspek-aspek lain.

Kota Madinah ketika itu terdiri daripada bangsa Arab dan bangsa Yahudi yang hidup bersama sebagai sebuah masyarakat. Puak Yahudi di Madinah terdiri daripada tiga buah kabilah iaitu: Bani Quraidzah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Malangnya, mereka ini selalu menghasut dan suka menyalakan api perpecahan dengan bangsa arab Madinah ketika itu yang terdiri daripada kabilah ‘Aus dan Khazraj.
Dominasi kaum Yahudi dalam bidang politik, ekonomi dan sosial seringkali menjadi penyebab perselisihan dengan bangsa ‘Aus dan Khazraj.  Sejarah membuktikan kedua-dua puak ini sering bertelagah dan berperang hampir bertahun-tahun lamanya sebelum tibanya seorang rasul utusan Allah yang hadir mendamaikan suasana.

Tindakan pertama yang Rasulullah S.A.W lakukan ialah dengan mendirikan masjid sebagai simbol kesatuan umat Islam, sebelum seterusnya mempersaudarakan sesama muslim Mekah dan Madinah serta menyatukan semula penduduk Madinah yang sebelumnya saling bermusuhan.

Sudah menjadi kemestian bagi mana-mana negara supaya memiliki perlembagaannya yang tersendiri. Selanjutnya Rasulullah S.A.W mengadakan perjanjian dengan seluruh penduduk Madinah termasuk kaum Yahudi yang turut serta bersama. Perjanjian tersebut dinamakan sebagai Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal, iaitu 23 fasal berkenaan hubungan sesama umat Islam yang lain, dan selebihnya 24 fasal pula melibatkan hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi. Dengan terbentuknya Piagam Madinah ini, maka terbinalah sebuah negara bangsa baru berlandaskan syariat Islam yang dikepalai oleh Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan, sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat yang patut dirujuk, difahami dan dihafal oleh setiap umat Islam.

Langkah Rasulullah S.A.W mengadakan perjanjian berbaik-baik dengan bangsa Yahudi di samping mengakui hak mereka dalam agama dan harta, membuktikan bahawa dasar Islam yang mengadakan perbincangan secara terbuka bukannya semata-mata melalui kekerasan dan pertumpahan darah. Nilai-nilai Islam yang ditonjolkan oleh peribadi mulia Rasulullah S.A.W sememangnya menjadi tarikan kepada masyarakat Madinah, lantas mewujudkan suasana yang aman harmoni meskipun hidup dalam komuniti yang berbilang-bilang.

Firman Allah Taala:

إنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka
damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah
kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat: 10)

Walau bagaimanapun, Madinah juga tidak terlepas daripada krisis perkauman yang akhirnya muncul mengeruhkan keadaan. Insiden tersebut berlaku disebabkan oleh tindakan kaum Yahudi sendiri yang memungkiri janji sebelum ini melalui Piagam Madinah, sehingga menyebabkan Rasulullah S.A.W bertindak tegas dengan menghukum semua mereka yang terlibat. Kita sendiri tahu bagaimana kaum Yahudi Bani Qainuqa’ yang mula-mula sekali mencabar kewibawaan agama Islam di Madinah dengan melakukan gangguan terhadap wanita muslimah di sebuah pasar sehingga menyebabkan ada nyawa yang terkorban ekoran peristiwa tersebut. Yahudi Bani Nadhir pula bertindak berani merencanakan percubaan untuk membunuh Baginda S.A.W. Tidak dilupakan juga Yahudi Bani Quraizah yang melakukan pengkhianatan terhadap negara apabila mereka bekerjasama dengan musuh iaitu tentera musyrikin Mekah untuk menyusup masuk semasa Perang Ahzab (Perang Khandak) sedang berkecamuk.

Sejarah menunjukkan kepada kita bahawa syariat Islam itu sendiri sebenarnya menjaga hak dan kebajikan kaum minoriti yang bukan Islam, namun disebabkan kebencian mereka yang mendalam terhadap Islam mengakibatkan pertumpahan darah yang tidak sepatutnya berlaku akhirnya terjadi dalam negara sendiri. Mereka yang memalu gendang permusuhan ini tidak patut dibiarkan bermaharajalela merosakkan negara daripada dalam. Maka, tindakan Rasulullah S.A.W mengusir mereka yang bermasalah ini adalah tindakan yang terbaik bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara.

KHABAR DUKA DARIPADA SUBANG JAYA

Sebelum ini, kita telah dikejutkan dengan isu ratifikasi “International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination” atau nama ringkasnya ICERD yang hangat dibincangkan dalam masyarakat kita sehingga sekarang kononnya keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan adalah satu bentuk diskriminasi terhadap kaum lain. Keputusan kerajaan yang menangguhkan ICERD pula seolah-olah memberi jalan sekali lagi untuk dilaksanakannya pada masa akan datang berbanding mengeluarkan kenyataan tegas bagi menolaknya.

PERUBATAN telah mengikuti perkembangan insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, USJ Subang Jaya yang berlaku baru-baru ini sehingga mengakibatkan kemalangan kepada salah seorang anggota bomba yang berada di tempat kejadian. Masing-masing berkeras menyalahkan antara satu sama lain, asyik menunding jari siapa salah siapa betul dalam insiden ini.

Tegasnya, kerajaan telah berulang kali menjelaskan insiden ini tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya merupakan isu jenayah. Namun amat malang sekali, masih ada sebilangan daripada kita yang cuba meniup api permusuhan di sebalik insiden yang tidak diingini ini sehingga mencetuskan sentimen agama dan perkauman yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Belum pun habis reda dengan isu ICERD, kini datang pula insiden kuil yang menyemarakkan lagi suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk. Umpama menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak, perpecahan kaum nampaknya semakin jelas dan kritikal ekoran provokasi demi provokasi yang dilemparkan saban hari.

Kita mengharapkan semoga semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor dapat segera mengambil tindakan undang-undang dan bersemuka dengan mereka yang terbabit bagi menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

PERPECAHAN UMAT MENGUNDANG KEMARAAN MUSUH

Musuh luar sentiasa memerhatikan iklim politik tanah air kita sejak dahulu lagi. Mereka sangat bijak merencanakan pelbagai strategi bagi mengaut peluang mengucar-kacirkan keamanan negara sama ada secara langsung mahupun melalui orang tertentu yang menjadi bidak catur, bergerak mengikut telunjuk mereka.

Kita menentang sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba melakukan kacau-bilau di tanah air kita dengan menjadi agen dan tali barut penjajah sehingga boleh mengancam kedaulatan agama dan negara. Ketahuilah bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menjadikan Islam sebagai sasaran tanpa rasa gerun dan takut seperti sabda Rasulullah S.A.W dalam sepotong hadis:

“Akan tiba suatu masa di mana umat-umat lain akan mengerumuni kamu seperti orang yang makan mengerumuni hidangannya. Salah seorang sahabat bertanya: Apakah kerana sedikitnya kami ketika itu? Baginda menjawab: “Bahkan kamu pada waktu itu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di lautan. Sesungguhnya Allah akan mencabut dari dada musuh-musuh kamu perasaan gerun, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn”. Salah seorang sahabat bertanya:
Apakah al-wahn itu? Baginda menjawab: “Cintakan dunia dan takutkan mati”

Tindakan melibatkan campur tangan asing dalam penyelesaian dalaman negara bakal memburukkan lagi keadaan. Lihatlah bagaimana tindakan Amerika Syarikat dalam menyelesaikan krisis di Iraq, Libya, Afghanistan dan Syria demi kepentingan politik dan ekonominya. Kita juga menyaksikan bagaimana langkah Britain dalam mengatur rancangannya secara senyap-senyap bersama Perancis dalam membahagi-bahagikan tanah di benua Arab melalui Perjanjian Sykes-Picot sedang umat Islam asyik bercakaran sesama sendiri.

Malah ketika negara kita suatu masa dahulu kononnya merasa bangga setelah berjaya dibebaskan oleh Jepun, masing-masing akhirnya sedar bahawa tindakan Jepun tersebut hanya untuk kepentingannya sahaja bukannya benar-benar membebaskan. Semasa zaman inilah, pemisahan antara kaum dilakukan dengan lebih drastik. Orang Melayu yang memberi kerjasama dilayan dengan baik dan diberi peluang pekerjaan. Orang India pula diasingkan di kawasan estet dan ladang-ladang. Namun yang paling menyedihkan ialah orang Cina yang mendapat layanan buruk ekoran sejarah kebencian Jepun yang melampau dalam Perang China-Jepun sebelum ini. Ternyata kemaraan mereka kononnya untuk memberi bantuan hanya sekadar propaganda murahan bagi menarik minat rakyat kita ketika itu yang mudah terpedaya dengan janji musuh luar.

Berakhirnya naungan Ratu Elizabeth II ke atas negara kita bukan bermakna kita telah merdeka sepenuhnya. Begitu juga ketika detik berundurnya Sir Donald Charles MacGillivray sebagai Pesuruhjaya Tinggi British terakhir, tidak bermakna sudah tiada lagi penjajahan. Sebaliknya kewibawaan pemimpin negaralah yang mencorakkan jalur masa negara seterusnya dengan baik bagi mengekalkan perpaduan kaum dan anak bangsa justeru memanifestasikan slogan kebersamaan yang dilaung-laungkan dalam mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan dasar pandang politik masing-masing.
Jika pemimpin tersebut bergerak mengikut percaturan musuh, tentulah ia bakal menjerat negara ke lembah kebinasaan yang jauh lebih besar.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ

“Berwaspadalah,
nanti kamu akan dipengaruhi mengikut jalan yang salah, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah kamu diajak masuk ke dalam lubang
biawak, kamu ikut juga (sehinggalah kamu sesat binasa)”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Sejarah telah membuktikan begitu. Adakah kita selaku rakyat Malaysia masih lagi
terleka menari mengikut gerak tari musuh?

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN

PERUBATAN  memandang serius hak umat Islam yang perlu dititikberatkan, selari dengan majoriti penduduk Malaysia daripada kalangan Melayu Islam. Malah, kita juga menentang sebarang usaha golongan tertentu yang cuba merobek perlembagaan persekutuan dan mereka yang berusaha mendesak supaya kedudukan Islam direndahkan sama ada melalui jalan belakang secara senyap-senyap ataupun zahir secara terang-terangan.

Kita sedar bahawa tanpa penyelesaian yang terbaik daripada Islam akan mengakibatkan natijah yang jauh lebih buruk. Ditambah pula dengan isu perkauman yang semakin membarah, ditakuti ia seperti bom jangka yang menunggu detiknya untuk meletup lalu habis meranapkan keamanan negara yang generasi dahulu bersusah-payah perjuangkan bagi anak cucu mereka yang mendatang. Tanpa disedari, anak cucu mereka pula yang bersusah-payah memusnahkannya.

Mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar akan mendapati pentadbiran yang berlandaskan syariat itu adalah lebih bersih, adil dan rahmat dalam erti kata yang sebenar. Hayatilah sirah bagaimana Rasulullah S.A.W berperanan sebagai ketua negara yang memimpin Madinah dalam keadaan berbilangnya kaum ketika itu. Perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di tanah air kita adalah cerminan kepada keindahan ajaran Islam, selaku agama rasmi negara.

Kita patut berpegang teguh dan yakin bersama penyelesaian Islam daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW walaupun banyak cabaran dan liku-likunya. Sebagai hamba Allah yang beriman, kita mestilah sentiasa melaksanakan perintah-Nya tanpa sebarang soal bicara dan alasan. Pilih Islam sebagai solusi, anda pasti selamat dan sejahtera!

Rujukan:

1. Al-Quran

2. Hadis-hadis
Rasulullah S.A.W

3. Sirah Nabi
Muhammad S.A.W: Pengajaran & Pedoman
(Dr. Mustafa as-Syibaie)

4. Sirah
Nabawiyah: Bab Hijrah
(Prof. Dr. Said Ramadhan al-Buti)

5. Yahudi
Ketika Zaman Rasulullah S.A.W
(Saudara Hafiz Al-Kalanji, The Patriots)
https://www.thepatriots.asia/yahudi-ketika-zaman-rasulullah-s-a-w/

6. Ramai-ramai
Mengeroyok Umat Islam
(Dr. Adian Husaini)
https://m.hidayatullah.com/kolom/catatan-akhir-pekan/read/2015/12/05/84716/ramai-ramai-mengeroyok-umat-islam-1.html

7. Kebijakan Nabi Muhammad Terhadap Kaum Yahudi Di Madinah (Fitri Azizah)

Artikel merupakan sumbangan daripada Persatuan Mahasiswa Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)

The post Islam Menyeru Perpaduan Rakyat & Kaum appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots