Asam Rong – Masakan Tradisional Pahang Daripada Biji Getah

Getah, satu tumbuhan yang dekat di hati rakyat Malaysia kerana jasa yang dicurahkan dalam pembangunan negara. Selain susu getah yang banyak digunakan dalam pelbagai industri seperti perkilangan dan permotoran, daunnya juga dimanfaatkan sebagai kraftangan indah, manakala pokoknya pula dijadikan perabot yang tahan lasak.

Namun masih ramai yang belum mengetahui bahawa biji getah juga boleh menghasilkan juadah yang enak. Asam Rong, merupakan masakan tradisional yang menggunakan biji getah sebagai salah satu ramuannya. Perkataan asam adalah kaedah penyimpanan makanan yang diperam dalam tempoh waktu tertentu. Manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah yang juga dipanggil isi rong.

Masakan yang dikenali dengan pelbagai variasi nama
seperti asam rum atau asam rom, berasal dari daerah Jerantut di negeri Pahang. Pada
mulanya, penduduk dari kampung sekitar kawasan Hulu Tembeling, membuat asam
rong menggunakan buah perah. Namun disebabkan kesukaran untuk mencari pokok perah
yang hanya boleh dijumpai di dalam hutan tebal, mereka beralih kepada biji
getah. Ladang getah yang banyak dibuka di seluruh Jerantut memudahkan penduduk
kampung menjadikan biji getah sebagai ganti kepada buah perah.

Biji getah muda berwarna hijau dan bertukar kepada rona coklat gelap, hitam atau kemerahan dengan tompokan coklat muda apabila sudah matang. Biji getah yang gugur dikutip, dibasuh bersih dan kulitnya dipecahkan untuk mendapatkan isi atau rong. Bagi mempercepatkan proses mengeluarkan isi rong, lesung batu akan digunakan untuk mengetuk kulit biji getah yang keras. Isinya yang berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama beberapa hari sehingga kering dan kecut sepenuhnya.

Ia perlu dijemur bagi menanggalkan selaput kulit daripada isi rong. Setelah cukup kering, ia akan ditumbuk atau dikisar bersama garam dan cili menurut citarasa individu sehingga sederhana hancur. Kemudian ia disimpan di dalam bekas bertutup seperti tempayan atau balang di tempat yang kering bagi mengelakkan berkulat dan rosak. Proses penapaian selama beberapa minggu sehingga sebulan akan menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak.

Selepas rong sempurna diperam, ia sedia digunakan sebagai pati tumisan dalam masakan. Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera masing-masing. Gulai asam rong paling enak dimasak dengan ikan sungai seperti ikan patin, kenerak dan baung.

Namun ia juga sesuai dimasak bersama daging dan sayur-sayuran seperti labu atau pucuk paku. Ia juga boleh dibuat sambal dengan mencampurkan cili, ikan bilis dan dimakan bersama ulam-ulaman atau ikan kering. Asam rong kini menjadi salah satu masakan warisan yang semakin dikenali di seluruh negeri Pahang dan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat.  

Penggunaan biji getah sebagai bahan masakan menunjukkan kreativiti penduduk tempatan dari kawasan luar bandar bagi memaksimakan penggunaan sumber alam yang terdapat di sekeliling mereka. Teknologi penapaian yang diwarisi sejak zaman berzaman juga membuktikan kebijaksanaan orang Melayu dalam membuat persediaan menyimpan bekalan makanan untuk tempoh masa panjang.

Bagi masyarakat Melayu khususnya di Jerantut dan Hulu Tembeling, asam rong adalah makanan yang wajib ada di dalam dapur mereka. Jika masyarakat Korea berbangga dengan kimchi, rakyat Pahang juga boleh berbangga dengan makanan tradisionalnya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sekiranya anda teringin untuk mencuba asam rong yang asli, bolehlah mula merancang perjalanan ke negeri Tok Gajah.

The post Asam Rong – Masakan Tradisional Pahang Daripada Biji Getah appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots