Kajian Menyokong “Hipotesis Nenek” Adalah Antara Sebab Mengapa Manusia Mengalami Menopaus

Wanita biasanya melalui proses menopaus apabila mencecah usia awal 50an. Sains masih belum dapat mencari punca sebenar mengapa wanita melalui proses di mana mereka tidak dapat lagi menghasilkan zuriat. Manusia, cimpanzi, monyet rhesus, paus pembunuh dan narwhal adalah antara sebilangan haiwan di mana proses menopaus dilalui oleh spesis betina. Haiwan lain (seperti kucing dan anjing) mempunyai kemampuan untuk terus menghasilkan zuriat sehingga akhir hayat,.

Antara teori paling popular yang diutarakan ialah Hipotesis Nenek (grandmother hypothesis) di mana spesis betina melalui proses menopaus bagi membolehkan mereka membantu individu betina yang lebih muda membesarkan zuriat mereka. Dengan berhenti menghasilkan zuriat mereka sendiri, golongan “nenek” memastikan cucu mereka akan dapat meneruskan keturunan seterusnya.

Dua kajian telah dilakukan oleh penyelidik dari University of Turku Finland dan Bishop’s University Kanada. Kajian pertama melihat rekod kematian dari gereja Finland pada kurun ke-17 dan ke-18. Jumlah cucu dan kebarangkalian mereka hidup lebih lama meningkat apabila mereka dibesarkan dengan bantuan seorang nenek yang berusia di antara 50-75 tahun. Selepas usia 75 tahun. kehadiran nenek memberikan impak negatif kepada kebarangkalian cucu hidup lebih lama.

Dalam kajian kedua pula, rekod berusia 150 tahun dari gereja di Quebec digunakan sebagai data. Kajian ini menemui kaitan jarak seorang nenek dengan ibu terhadap jumlah cucu serta kebarangkalian ia hidup lebih lama. Secara purata kebarangkalian seorang cucu hidup ke umur-15 tahun meningkat di dalam isi rumah yang mempunyai seorang nenek yang tinggal berdekatan. Jumlah cucu di dalam isi rumah akan berkurangan semakin jauh nenek tinggal dari anak perempuan.

Kedua-dua kajian ini menguatkan teori manusia berevolusi untuk melalui menopaus bagi membolehkan mereka menjaga generasi yang lebih muda. Sebab sebenar ia berlaku masing sedang dikaji dan penemuan ini diharap akan membantu proses mencari sebab ia berlaku di masa hadapan.

Jadi bolehlah dikatakan jika ibu anda mahu anda mempunyai lebih banyak cucu dan hidup lebih lama, mereka perlu hidup lebih hampir dengan anda dan membantu menjaga cucu. Kertas kajian telah diterbitkan menerusi jurnal Cell Press dan boleh dilihat menerusi pautan di bawah.

Sumber Cell Press menerusi Science Daily.

Sumber : Amanz