Bila Presiden Filipina Mengaku Melayu

2 hari yang lepas, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah membuat kenyataan yang mengejutkan dengan mencadangkan supaya nama Filipina ditukar kepada Maharlika.

Rasionalnya, nama “Filipina” (Philippines) ialah nama yang diberi oleh penjajah. Sebelum kedatangan Sepanyol pada abad ke-16, Filipina bukan sebuah entiti politik yang bersatu seperti hari ini. Di Luzon ada kerajaan-kerajaan kecil, di Kepulauan Visaya ada kerajaan-kerajaan kecil; di Sulu dan Mindanao pun ada kerajaan-kerajaan kecil.

Hanya selepas kedatangan Sepanyol, pulau-pulau ini disatukan sebagai satu jajahan Sepanyol. Jajahan ini diberi nama Las Islas Felipinas, mengambil sempena nama Felipe II (Bahasa Inggeris: Philip II), Raja Sepanyol dari 1556-1598. Nama Felipe ini kekal walaupun penjajahan Sepanyol tamat pada 1898. 

Penjajah baru iaitu Amerika meneruskan penggunaan nama Las Islas Felipinas dalam Bahasa Inggeris iaitu “the Philippine Islands”. Cuma selepas tahun 1935, Amerika memberi taraf pemerintahan diri dan membuang perkataan “Islands” daripada namanya, maka jadilah “the Philippines”. 

Maharlika menurut Duterte lebih sesuai kerana ia sebuah perkataan Melayu (“merdeka”). Tapi “merdeka” pun bukanlah beka Melayu (perkataan Melayu yang asli) tapi kata pinjaman yang berasal daripada Bahasa Sanskrit (“maharddhika”). 

Dalam sejarah Luzon sebelum kedatangan Sepanyol juga wujud kelas pahlawan yang dinamakan sebagai “maharlika”. Di zaman feudal, hamba tak boleh jadi pahlawan, jadi pahlawan ni kira “manusia merdeka” (freeman). Presiden Ferdinand Marcos pun pernah mencadangkan supaya nama Filipina ditukar kepada Maharlika pada tahun 1978, tapi tak jadi.

Pertukaran nama negara atas sentimen anti-penjajah bukanlah benda yang pelik. Hindia Timur Belanda diganti dengan Indonesia. Rhodesia (dinamakan sempena Cecil Rhodes) diganti dengan Zimbabwe. Gold Coast diganti dengan Ghana. New Spain diganti dengan Mexico. New Granada diganti dengan Colombia.

Ini namanya “indigenization”. Bagi golongan nasionalis, amat awkward sekiranya orang Filipina masih identify diri dengan Raja Felipe, kepala penjajah yang membunuh dan menyeksa nenek moyang mereka sendiri. Kalau nak merdeka, merdeka habis.

Kejutan kedua ialah kenyataan Duterte tentang “kita ialah Melayu” (we are Malays), so kenalah pakai nama Melayu seperti Maharlika. 

Orang Filipina tak terkezut, tapi aku nampak ramai warganet Malaysia terkezut. Mungkin sebab selama ini orang kita menganggap Melayu hanya ada di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Inferior Malays yang malu mengaku Melayu lagilah tak dapat hadam kenapa orang Filipina nak klaim diri Melayu. 

Ini bukan kali pertama Duterte kata “we are Malays”. Dalam satu kenyataan pada Julai 2018 yang lepas, Duterte juga berkata kepada Abu Sayyaf, “We’re not Arabs. Let’s not follow them. We are Malays”. 

Dalam permohonan borang visa Singapura, ada satu kolum untuk “Race, e.g. Malay, Indian, Chinese, Caucasian, etc”. Orang Filipina mesti akan mengisi “Malay”. Amalan orang Filipina ini kadang membuat orang Singapura konfius. Sebab bagi mereka, Malay = beragama Islam, berbahasa Melayu, pakai baju Melayu. Tak ada satu pun ciri-ciri ni ada kat orang Filipina. 

So on what basis orang Filipina klaim diri sebagai “Malay”? 

Untuk tujuan pemahaman, kita kena ingat beberapa istilah sains sosial dalam mengkategorikan manusia: ras (race), etnik (ethnicity), bangsa (nation). 

Apa yang kita sebut sebagai “orang Melayu” boleh jadi ras Melayu, etnik Melayu atau bangsa Melayu. Setiap kategori ini tak sama. 

Melayu seperti dalam fahaman orang Filipina ialah “ras Melayu” (Malay race), ia ada kaitan tapi tak 100% sama dengan fahaman kita tentang Melayu iaitu “etnik/bangsa Melayu” (Malay ethnicity/nation).

Konsep ras Melayu ialah satu konsep yang dibangunkan oleh antropologis (pengkaji manusia) Eropah. Orang pertama yang mengemukakan idea ras Melayu ialah saintis Jerman bernama Johann Blumenbach (1752-1840). Blumenbach membahagikan manusia kepada 5 jenis berdasarkan warna kulit dan ciri-ciri fizikal lain: white race, yellow race, black race, red race dan brown race. Nama lain bagi white race ialah Caucasian, yellow ialah Mongolian, black ialah Ethiopian, red ialah American. 

Untuk brown race, dia namakan sebagai Malay race (Malaiische Rasse). Blumenbach melihat orang Melayu sebagai “archetype” kepada manusia berkulit sawo matang (brown) yang lain, jadi dia memperluaskan definisi Melayu kepada semua manusia di Nusantara, Filipina dan juga pulau-pulau Pasifik seperti Tahiti, Fiji dan Hawaii. Kalau dalam geo-linguistik kita panggil kawasan ini sebagai Austronesia atau Malayo-Polynesia. 

Walaupun teori ras Blumenach dikritik sebagai pseudosains, tapi tidak dinafikan bahawa manusia dalam kelompok ras Melayu mempunyai persamaan dari segi bahasa dan budaya. Jadi, persamaan ini boleh di-exploit oleh mereka yang ingin membina identiti bersama untuk tujuan politik. 

Jose Rizal ialah perintis dalam hal ini. Kebersamaan sebagai ras Melayu (raza Malaya) bukan saja boleh mewujudkan perpaduan di kalangan orang Filipina untuk mengusir penjajah Sepanyol dan mendirikan negara sendiri, malah ia juga boleh digunakan untuk menyatupadukan bangsa-bangsa lain yang tergolong dalam ras Melayu. Justeru Rizal dikenal sebagai bapa nasionalisme Filipina malah bapa nasionalisme Melayu. 

Rizal ialah cendekiawan yang menerima pendidikan Eropah, jadi dia mengambil ilham daripada gerakan nasionalisme di Eropah di mana pengwujudan identiti pan-Jerman dan pan-Itali telah berjaya membentuk Jerman pada 1871 dan Itali pada 1861. Jadi Rizal pun nak mewujudkan “pan-Malay/Malayan unity”. Lebih kurang macam Melayu Raya, tapi orang Filipina punya lebih besar kerana ia berdasarkan ras, sedangkan Melayu Raya orang Melayu dan Indonesia adalah berasaskan etnik dan tamadun. 

Para pendukung idea Rizal semua bercita-cita untuk menyatukan seluruh kawasan ras Melayu ini sebagai sebuah negara “Malaysia”. Pada 1930-an, Wenceslao Vinzons envision sebuah “Malaysia Irredenta” yang sempadannya bermula dari “Malaya hingga ke New Guinea, Madagascar hingga ke Filipina”. Manuel Quezon, Presiden Filipina dari 1935-1944 juga envision sebuah “Commonwealth of Malaysia” yang merangkumi Filipina, Tanah Melayu, Indonesia, Thailand, Vietnam dan utara Australia. Bapak luas. Eduardo Martelino menulis “Someday Malaysia” pada tahun 1959.

Huh, Malaysia? Bukan nama kita ke tu? 

Ye, “Malaysia” basically, very straightforward, bermaksud Malay-sia (kawasan Malay). Jadi penulis Eropah juga merujuk kawasan yang dihuni oleh ras Melayu ini sebagai Malaysia. 

Cita-cita orang Filipina untuk membina Malaysia berakhir apabila Tunku Abdul Rahman menamakan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai Malaysia pada 1963. Tu lah, tak kira idea kau bagus macam mana, kalau setakat sembang tak guna, yang penting siapa yang lebih cepat market-kan dan patent-kan. So Tunku berjaya memonopoli nama “Malaysia” untuk kita, dan pada masa yang sama, kecilkan definisi Malaysia.

Tapi idea pan-Malay ini dah terpahat dalam minda orang Filipina. Secara nation, orang Filipina melihat diri sebagai Filipino. Tapi secara ras, orang Filipina melihat diri sebagai Malay. Secara etnik, Filipina ada etnik Tagalog, Cebuano, Ilocano, Bisaya dan beratus-ratus etnik yang lain. 

Manakala konsep orang Melayu seperti yang difahami oleh orang kita adalah “Malay-as-an-ethnicity”. Identiti etnik ini bukan dibina atas ciri-ciri fizikal atau warna kulit tapi atas kebersamaan budaya, bahasa dan agama. Sebab itu Perlembagaan kita mendefinisikan orang Melayu sebagai beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Di bawah etnik boleh dipecahkan lagi kepada suku atau sub-etnik. 

Di Filipina tak ada etnik Melayu strictly speaking, tapi kumpulan etnik Moro di Selatan Filipina (Mindanao dan Sulu) ada banyak persamaan dengan etnik Melayu dari segi agama dan bahasa. Duterte sendiri pun ada susur galur dari etnik Moro dari mak dia yang merupakan seorang Kristian Maranao, salah satu suku Moro. Mungkin sebab itu dia mempunyai kesedaran “Melayu” yang lebih tinggi berbanding elit-elit lain di Manila.

Elit-elit Manila yang mendominasi politik Filipina ini kebanyakan ialah “mestizo” (kacukan Sepanyol) yang masih “proud to be Hispanic”. Ekonomi pun masih didominasi oleh mestizo. Nak jadi pelakon atau model kena ada darah mestizo. Jadi sentimen nasionalisme ala Duterte tak akan mampu untuk mengubah Filipina dalam sekelip mata, tapi boleh jadi langkah pertama bagi orang Filipina untuk re-dis-cover asal usul pra-Sepanyol mereka dan membina identiti yang lebih authentic. 

Tapi orang Filipina selama ini dah sebati dengan nama Filipina. Mereka dah biasa membahasakan diri sebagai “pinoy”, “pinay”, “ninoy”, “ninay” – semuanya kata terbitan daripada “Pilipinas”. Kalau tukar nama “Maharlika” nanti takkan nak panggil “likoy” “likay”? 

Putang-ina. 

Rujukan:
1. Anthony Milner, The Malays (John Wiley & Sons, 2009). 
2. Anthony Reid, Imperial Alchemy: Nationalism and Political Identity in Southeast Asia (Cambridge University Press, 2010)
3. Rommel A. Curaming, Filipinos as Malay: Historicising an Identity, dalam Melayu: Politics, Poetics and Paradoxes of Race, pnyt. Maznah Mohamad & Syed Muhammad Khairudin Aljunied (Singapore University Press, 2011).

The post Bila Presiden Filipina Mengaku Melayu appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots