Final Piala Fa 2006 Hampir Diganggu Oleh Siaran Doctor Who?!

Musim
bola sepak England 2005/2006 menyaksikan kecemerlangan Chelsea sebagai juara
liga, Manchester United menjulang Piala Liga dan Liverpool menjadi juara Piala
FA selepas mengalahkan West Ham United menerusi sepakan penalti. Tetapi tidak
ramai tahu saat pengurus Glasgow Rangers merangkap kapten The Reds Steven
Gerrard menjulang trofi berkenaan hampir-hampir musnah kerana keinginan BBC
hendak menyiarkan drama bersiri sains terkenal Doctor Who.

Sesiapa
yang menonton perlawanan berkenaan pasti menyangka perlawanan ini akan memihak
kepada Liverpool. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku dengan babak pertama
menyaksikan pasukan bimbingan Alan Pardew ketika itu mendahului 2-1 hasil
jaringan gol sendiri Jamie Carragher dan Dean Ashton dengan Djibril Cisse
merapatkan jurang untuk Liverpool. Babak kedua dilihat sengit dengan Gerrard
menjaringkan gol penyamaan pada minit 54 sebelum West Ham kembali di hadapan
hasil jaringan bek kiri Paul Konchesky. Tetapi pada masa kecederaan, Gerrard
menghancurkan harapan Hammers dengan menjaringkan gol ketiga Liverpool.

Tatkala
kedua-dua pasukan terus bertarung sengit semasa masa tambahan, lain pula cerita
di BBC. Seorang eksekutif BBC tidak sabar mahu menyiarkan bahagian pertama
episod Doctor Who yang bertajuk ‘Rise of the Cybermen’ sehingga mengugut mahu
menarik keluar siaran final itu. Namun, tindakan itu dapat dicium hos Match of
the Day (MotM) merangkap bekas penyerang England Gary Lineker yang merayu
kepada pengawal siaran BBC One agar siaran final diteruskan sehingga upacara
penyampaian trofi. Ini didedahkan sendiri editor MotM Paul Armstrong dalam buku
‘Why Are We Always On Last?’.

Beliau
bercerita, “Dengan masa tambahan berbaki beberapa minit dan dengan kedua-dua
pasukan masih tercari-cari sentuhan penyudah untuk memecah kebuntuan, ada
panggilan (dari rangkaian pengawal BBC1 di Pusat Televisyen).  

‘Nampaknya
ini bakal menuju ke sepakan penalti, ya?’ (nada menuduh)

‘Ya,
nampaknya begitulah.’

‘Lepas
tamat permainan, hentikan siaran.’

‘Er…
bagaimana pula dengan upacara penyampaian trofi?’

‘Tak
payah, tiada masa untuk semua itu.’

“Saya
terpaku sekejap sehingga hampir hilang kata-kata. Kemudian saya menjawab, ‘Jika
saya berada di tempat kamu, saya takkan lakukannya. Jika kamu lakukan juga,
kamu akan dibuang kerja.”

Bagaimanapun,
si eksekutif tetap berkeras dan meletakkan gagang telefon. Bagi produksi MotM,
apa yang berlaku merupakan sesuatu yang tidak munasabah dan jika tindakan itu
diteruskan hanya untuk memenuhi siaran Doctor Who, maka ini kali pertama bagi
BBC terlepas upacara menjulang trofi berkenaan sejak ia disiarkan di BBC sejak
tahun 1930-an. Perbualan produksi dengan si eksekutif berkenaan didengari
Lineker dan beliau dengan segera menghantar mesej kepada pengawal BBC One,
Peter Fincham.

Tatkala
Hammers dan Reds bersedia mengambil sepakan penalti dengan produksi MotM bersedia
memberontak dengan menolak permintaan eksekutif berkenaan, Armstrong
menceritakan seorang eksekutif menghubungi mereka dan memberitahu dengan jelas
siaran final akan tetap diteruskan sehinggalah produksi selesai menemubual
pemain dan pengurus kedua-dua pasukan. Tindakan tersebut memberi kelegaan
kepada produksi dan memberi peluang kepada peminat menonton saat Gerrard dan
Reds meraikan kejuaraan Piala FA sejak kali terakhir memenanginya pada final
2001. Sementara West Ham pula terus melepas selepas kali terakhir memenangi
piala berkenaan pada final 1980. Dan pada akhirnya, rating penonton BBC untuk
final dan ‘Rise of the Cybermen’ amat memuaskan stesen televisyen berkenaan,
sekaligus menjustifikasikan keputusan meneruskan siaran final.

Kita tidak tahu apa nasib eksekutif yang mencadangkan idea mengarut itu tetapi yang pasti jika ia tetap diteruskan, sudah pasti BBC akan dikecam habis-habisan seperti mana Sky Sports dan BT Sports beberapa minggu lepas. Mengapa saya kata sedemikian?

Beberapa minggu lepas, perlawanan Manchester City-Everton menjadi tumpuan kerana ia akan mempengaruhi perebutan gelaran liga musim ini. Tetapi bagi penonton di UK, mereka tidak dapat menontonnya kerana dua stesen di atas memilih untuk tidak menyiarkan perlawanan tersebut. Bagi mereka yang terpaksa membayar beratus-ratus paun untuk pakej perlawanan bola sepak, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

SUMBER

1.
Walters, Mike. (2019). Daily Mirror. The day Liverpool lifting the FA Cup was
almost knocked off TV – by Doctor Who. https://www.mirror.co.uk/sport/football/news/day-liverpool-lifting-fa-cup-13957208

2.
Salt, Nathan. (2019). Daily Mail. You pay your Sky and BT subscriptions and
still can’t get to watch’: Football fans left seething at not being able to
watch Manchester City’s trip to Everton on television. https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-6675755/Football-fans-angry-not-able-watch-Manchester-Citys-trip-Everton-television.html

The post Final Piala Fa 2006 Hampir Diganggu Oleh Siaran Doctor Who?! appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots