Perayau Opportunity Disahkan Mati Oleh NASA Selepas Misi 15 Tahun Di Marikh

Sebelum ke sesebuah planet, kapal angkasa dan proba akan dihantar bagi mengkaji permukaannya. Perayau Opportunity dan Spirit dihantar oleh NASA di bawah program Mars Exploration Rover untuk melakukan kajian di atas planet Marikh sebelum misi manusia dilakukan. Pagi ini pihak NASA mengesahkan perayau Opportunity akhirnya “mati” selepas 15 tahun melakukan misi.

Opportunity mendarat di Marikh pada tahun 2004 untuk meninjau kawasan Meridiani Planum. Pada bulan Jun 2018, NASA putus hubungan dengan perayau ini kerana ribut debu yang melanda planet. Ribut debu ini menghalang cahaya matahari dari sampai ke permukaan planet. Memandangkan Opportunity menggunakan kuasa solar sepenuhnya, ia memaksa perayau memasuki mod rehat bagi menyimpan bateri.

Pada bulan September selepas ribut pasir akhirnya berhenti, NASA cuba menghubungi semula Opportunity tetapi tiada isyarat diterima. Besar kemungkinan panel solar perayau dilitupi debu dan bateri tidak dapat dicaj. Marikh kini sedang mengalami musim sejuk melampau. Dengan bateri yang mungkin sudah kehabisan sepenuhnya, peralatan elektronik Opportunity juga turut telah mengalami kerosakan kekal kerana suhu yang terlalu sejuk.

Sejak dua minggu yang lalu NASA menggandakan usia untuk cuba menghidupkan semula Opportunity dengan mengarahkannya untuk melakukan tetapan semula dan menghantar isyarat radio. NASA optimistik debu pada panel solar mungkin dapat dibersihkan oleh tiupan angin permukaan Marikh yang kuat. Namun begitu kesemua usaha yang dilakukan gagal mendapatkan sebarang maklum balas dari Opportunity dan NASA mengumumkan perayau ini telah mati.

Sungguhpun begitu NASA merasakan ia telah melakukan misi dengan jayanya sepanjang 15 tahun ia di permukaan Marikh. Pencapaian Opportunity adalah amat membanggakan kerana ia pada asalnya hanya direka untuk melakukan misi selama 90 Sol sahaja. Malahan ia beroperasi lebih lama berbanding kembarnya Spirit yang berhenti beroperasi pada tahun 2011 selepas terperangkap di kawasan berpasir.

Sumber : Amanz