Jadikan Hari Ini Hari Leftenan Adnan!

Daripada bergaduh pasal Valentine, baik kita menjadikan 14 Februari sebagai hari peringatan kepada wira bangsa yang bernama Leftenan Adnan bin Saidi. Pada tarikh keramat ini, 75 tahun yang lalu (14 Februari 1942), Leftenan Adnan yang berusia 27 tahun gugur dalam pertempuran melawan askar Jepun di Bukit Candu, Singapura yang merupakan benteng pertahanan terakhir Tanah Melayu.

Di USA ada Martin Luther King Day, di Filipina ada Hari Jose Rizal, di Indonesia ada Hari Kartini, kita pun patut mewujudkan Hari Leftenan Adnan. Mungkin ada yang rasa tak perlu sebab dah ada Hari Pahlawan. Namun Leftenan Adnan mempunyai nilai peringatan diri tersendiri. Beliau adalah lambang perwiraan atau “heroism”.

Leftenan Adnan adalah Leonidas kita. Leonidas bersama 300 pahlawan Sparta melawan ratusan ribu tentera Parsi, Leftenan Adnan dengan 42 anggota Platun 7, Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu pula menghadapi 13,000 askar Jepun dari Divisyen ke-18 pimpinan Mutaguchi Renya.

Ketika itu, isteri Leftenan Adnan, Sophia sedang mengandungkan anak ketiga Leftenan Adnan dan menunggu kepulangan suaminya. Mungkin, mungkin Leftenan Adnan dapat pulang ke rumahnya jika menyerah kalah. Namun Leftenan Adnan memilih untuk tidak menyerah diri tetapi bertahan sehingga titisan darah terakhir. Beliau sedar beliau sedang membawa nama Rejimen Askar MELAYU. Beliau tidak boleh membiarkan nama Askar Melayu tercalar kerana kebahagiaan peribadi. Tak boleh!

Berbekalkan sumpah “biar putih tulang, jangan putih mata”, Platun 7 sempat membunuh 800 askar Jepun sebelum mereka tewas sepenuhnya dan gugur kesemuanya (hanya seorang yang hidup). Askar Jepun menikam mayat mereka bertubi-tubi menggunakan bayonet untuk melepaskan geram. Tak pernah mereka dimalukan sebegini. Tak pernah mereka menjumpai musuh yang begitu tinggi kehendak untuk melawan. Tak pernah!

Pengorbanan Platun 7 adalah sebuah tragedi, namun pada masa yang sama ia juga merupakan sebuah epik yang mengabadikan keberanian Askar Melayu yang menjadi inspirasi sepanjang zaman. Di Bukit Candu, anak Melayu menjulang nama mereka sebagai pahlawan yang gagah dan bermaruah. British gagal mempertahankan Tanah Melayu sepertimana anak-anak tanah air ini mempertahankannya, kerana dalam hati mereka tiada rasa cinta terhadapnya.

Hari ini, mari kita meraikan makna romantisme yang sebenar iaitu kesanggupan mengorbankan kebahagiaan diri demi yang dicinta. Mari kita menjunjung arti cinta yang begitu ikhlas iaitu cinta terhadap pertiwi. Dan mari kita menghayati bunga yang paling harum dan mekar iaitu bunga-bunga bangsa.

– Ayman Rashdan Wong

The post Jadikan Hari Ini Hari Leftenan Adnan! appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots