Ini Ialah Energizer Power Max P18K Pop – Telefon Pintar Dengan Bateri 18,000 mAh

Seperti kami laporkan sebelum ini, Energizer akan melancarkan telefon pintar Android dengan bateri sebesar 18,000 mAh. Ini menjadikannya peranti dengan saiz bateri terbesar pernah digunakan. Pihak Energizer telah berkongsi spesifikasi dan rekaan peranti ini sebentar tadi.

Energizer Power Max P18K Pop dilengkapi skrin sebesar 6.2″ FHD+, dijana pemproses MediaTek P70, memori sebesar 6GB RAM, storan sebesar 128GB, kamera utama 12+5+2 Megapixel dan kamera hadapan 16+2 Megapixel. Kamera hadapan ini diletakkan di dalam mekanisme periskop bagi membolehkan rekaan penggunaan skrin nirtakuk.

Dengan bateri sebesar 18,000 mAh, telefon pintar ini boleh bertahan selama 50 hari dengan sekali caj. Pengguna juga boleh melakukan panggilan telefon selama 90 jam, mendengar muzik selama 100 jam atau menonton video berterusan selama 2 hari.

Pihak Energizer mengatakan sistem pengecasan pantas disokong menerusi port USB-C. Namun begitu format pengecasan belum diketahui. Peranti ini akan diumumkan secara rasmi di MWC Barcelona pada penghujung bulan ini.

Sumber : Amanz