Double Burden Malnutrition: Impak Bebanan Berganda

Satu resolusi yang dinamakan sebagai United
Nations Decade of Action on Nutrition
yang bermula dari tahun 2016 hingga
2025 telah dilancarkan sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu pada 1 April 2016. Resolusi ini mempunyai beberapa agenda dan objektif
utama dalam melaksanakan pelbagai tindakan proaktif bagi memerangi masalah
kebuluran serta menghapuskan segala jenis masalah nutrisi (malnutrition)
di seluruh dunia. Polisi ini secara asasnya telah menerangkan mengenai
kewujudan masalah double burden malnutrition serta impak yang berlaku
akibat daripadanya.

Apa itu double burden malnutrition? Masalah
ini secara umumnya boleh dihuraikan sebagai kehadiran masalah kekurangan zat
makanan (undernutrition) yang wujud bersama-sama dengan masalah obesiti
dan berlebihan berat badan (overweight) dalam sesuatu populasi masyarakat
sesebuah negara yang merentasi pelbagai taraf sosioekonomi. Dalam hal ini, ia
bermaksud, kedua-dua keadaan malnutrisi ini iaitu kekurangan nutrien atau
kekurangan zat makanan serta obesiti atau berlebihan berat badan yang wujud
serentak dalam sebuah populasi yang sama.

Pada masa kini, masalah double burden
malnutrition
ini telah dianggap sebagai suatu cabaran dunia, di mana ia
sebenarnya boleh berlaku dalam tiga peringkat utama. Pertamanya, keadaan ini
boleh berlaku dalam individu, di mana individu tersebut boleh mengalami beberapa
keadaan malnutrisi sepanjang hidupnya, sebagai contoh, pada usia kanak-kanak,
individu ini menghadapi masalah kekurangan zat makanan, namun, setelah dewasa,
dia mengalami masalah berlebihan berat badan. Keadaan ini adalah tidak mustahil
kerana perubahan yang berlaku dalam keadaan sekeliling memungkinkan terjadinya
dua keadaan malnutrisi yang berbeza sepanjang fasa kehidupan.

Keduanya, masalah double burden
malnutrition
juga boleh berlaku pada dalam sesebuah isi rumah (household).
Ini menerangkan keadaan di mana beberapa orang ahli dalam sesebuah isi rumah
yang sama, yang mengalami pelbagai masalah malnutrisi, contohnya obesiti dalam
kalangan ibu bapa, dan anak-anak yang mengalami keadaan kekurangan zat makanan.
Peringkat yang ketiga ialah masalah double burden manutrition yang berlaku
dalam sesebuah komuniti, daerah atau populasi yang sama dalam sesebuah negara. Situasi
yang berlaku pada peringkat komuniti dan populasi ini sebenarnya adalah lebih
serius kerana ia melibatkan jumlah individu yang ramai dan memerlukan kepada
suatu tindakan yang lebih menyeluruh.  

Penyebab kepada keadaan double burden
malnutrition

Persoalannya, apakah penyebab dan faktor yang
membawa kepada masalah double burden malnutrition ini? Para penyelidik
dalam bidang pemakanan telah sependapat bahawa masalah ini sebenarnya berkait
rapat dengan turutan perubahan epidemiologi, di mana ia terdiri daripada peralihan
pemakanan, peralihan epidemiologi dan peralihan demografi.

  1. Peralihan pemakanan (nutrition transition)

Peralihan pemakanan ini meliputi perubahan yang berlaku dalam corak
pemakanan, pengambilan makanan serta penggunaan tenaga daripada makanan yang berkaitan
dengan perkembangan ekonomi semasa, iaitu berkisar dalam konteks globalisasi
dan urbanisasi. Apa yang dimaksudkan di sini, ialah bagaimana berlakunya
peralihan dalam aspek pemakanan (yang merangkumi corak dan gaya pemakanan)
hasil daripada peningkatan atau penurunan dalam bidang ekonomi dalam sesebuah
populasi.

  • Peralihan epidemiologi (epidemiological transition)

Peralihan dalam epidemiologi ini melibatkan perubahan yang berlaku dalam
aspek epidemiologi, iaitu perubahan penyakit-penyakit yang berlaku dalam
sesebuah populasi akibat daripada kemakmuran dan peningkatan yang dicapai dalam
aspek ekonomi. Dalam keadaan double burden malnutrition ini, perubahan
penyakit yang berlaku ialah daripada penyakit-penyakit berjangkit yang
berkaitan dengan kekurangan zat makanan kepada penyakit tidak berjangkit (non
communicable diseases
) seperti diabetes dan penyakit jantung. 

  • Peralihan demografi (demographic transition)

Dalam aspek peralihan demografi ini, ia melibatkan perubahan yang berlaku
dalam struktur sesebuah populasi serta tempoh jangka hayat populasi yang
semakin bertambah. Keadaan ini menerangkan situasi di mana perubahan yang
berlaku dalam aspek kadar kelahiran serta kadar kematian sewaktu lahir yang
melibatkan populasi yang lebih muda serta peningkatan kadar penyakit-penyakit
tidak berjangkit (diabetes, hipertensi, kanser) dalam kalangan populasi yang
lebih tua.

Sejak dua dekad yang lalu, ketiga-tiga faktor
penyebab secara perlahan-lahan telah  membentuk suatu faktor risiko yang membawa
kepada masalah double burden malnutrition di seluruh dunia. Perubahan
ekonomi global, perkembangan dalam industri makanan dan pertanian, peningkatan
populasi dunia serta perubahan iklim dan cuaca merupakan antara komponen yang
terbentuk hasil daripada ketiga-tiga faktor penyebab berkenaan. Secara asasnya,
double burden malnutrition ini sebenarnya suatu keadaan yang banyak
dipengaruhi oleh gaya pemakanan akibat daripada perubahan-perubahan seperti yang
dinyatakan di atas.

Dalam situasi ini, bagi negara-negara yang
berpendapatan rendah dan sederhana, tiga faktor ini sebenarnya berkembang
dengan lebih cepat dan kesannya telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam
kuantiti serta kualiti diet yang diambil dalam kalangan individu dan populasi
di negara-negara tersebut. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pertindihan dalam
kes-kes yang melibatkan kekurangan zat makanan serta masalah obesiti akibat
daripada perubahan diet yang diambil oleh populasi. Contoh dalam kes ini ialah
seseorang individu yang mengalami masalah kekurangan zat makanan pada waktu
kanak-kanaknya akibat kesempitan hidup (kesukaran untuk mendapatkan bekalan
makanan yang berkualiti dan mencukupi). Perubahan ekonomi dan taraf hidup yang
dialaminya apabila dewasa telah memberikan individu berkenaan akses yang
secukupnya kepada bekalan makanan dan terdedah kepada gaya pemakanan yang tidak
sihat yang seterusnya membawa kepada masalah lain seperti penyakit diabetes,
dan obesiti.

Keadaan inilah yang banyak terjadi di
kebanyakan negara di Afrika di mana kadar kewujudan double burden
malnutrition
di negara-negara berkenaan berada pada tahap yang
membimbangkan. Keadaan jaminan makanan (food security) yang tidak stabil
di negara-negara tersebut menjadi punca utama yang memburukkan lagi situasi double
burden malnutrition
. Dalam kebanyakan hospital di Afrika, sebagai contoh di
Gambia, ia adalah suatu pemandangan biasa dengan melihat satu wad yang dipenuhi
dengan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan, manakala di
wad yang lainnya terdapat ramai individu dewasa yang mempunyai masalah obesiti
serta menghadapi pelbagai komplikasi akibat diabetes dan hipertensi.

Double burden
malnutrition
di Asia Tenggara

Meskipun kes-kes yang melibatkan keadaan double
burden malnutrition
ini banyak ditemui di negara-negara Afrika yang
mempunyai pendapatan yang rendah, namun kini ia juga merupakan suatu masalah
yang agak runcing dalam kalangan negara-negara membangun di Asia Tenggara. Berdasarkan
kajian-kajian yang telah dijalankan di seluruh negara di Asia Tenggara, hasil
telah menunjukkan bahawa peningkatan dalam banyak kes obesiti dan berlebihan
berat badan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya bagi kawasan bandar (urban)
di negara-negara berkenaan.

Namun begitu, WHO dan UNICEF juga turut
melaporkan bahawa sehingga tahun 2016, peratusan tertinggi bagi kanak-kanak
yang mengalami pertumbuhan terbantut (stunting) adalah di Asia Tenggara
berbanding negara-negara lain. Laporan juga menunjukkan bahawa prevalens
tertinggi bagi kes pertumbuhan kanak-kanak yang terbantut ini adalah di
Myanmar, Cambodia, Laos dan juga beberapa bahagian di Indonesia dan Filipina. Terbaru,
hasil kajian yang dijalankan oleh Rachmi, Li, & Baur (2018) telah menunjukkan bahawa prevalens bagi masalah double burden
malnutrition
ini adalah di antara 5% bagi Myanmar, dan mencapai prevalens
tertinggi, iaitu sebanyak 29.8% bagi kes yang berlaku di Indonesia.

Dalam kalangan orang dewasa pula, prevalens
adalah lebih tinggi bagi kes berlebihan berat badan dan obesiti dalam
kebanyakan negara di Asia Tenggara. Ini menerangkan keadaan di mana kombinasi double
burden malnutrition
yang paling banyak ditemui di Asia Tenggara ialah
kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan dengan pertumbuhan
terbantut, manakala ibu bapa mereka mengalami masalah obesiti dan berlebihan
berat badan. Malah, kajian di Malaysia sendiri turut menunjukkan prevalens
sebanyak 12.5% adalah bagi kombinasi kes double burden malnutrition yang
melibatkan kanak-kanak yang kekurangan berat badan dengan ibu mereka yang
mengalami masalah obesiti dan berlebihan berat badan.  

Penyelesaian bagi double burden
malnutrition

Persoalannya kini, apakah kaedah dan cara
terbaik dalam menangani masalah double burden malnutrition ini? Dalam
situasi kini, banyak polisi serta tindakan yang dilakukan sama ada di peringkat
antarabangsa mahupun di peringkat setiap negara adalah melibatkan kaedah bagi
mengatasi masalah kebuluran, kekurangan zat makanan serta pertumbuhan yang
terbantut terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Pihak WHO sendiri pada tahun
2017 telah meletakkan garis panduan dan kerangka strategi yang dinamakan
sebagai double-duty actions yang khusus bagi menangani masalah double
burden malnutrition
ini.

Double-duty actions ini merangkumi pelbagai program intervensi dan polisi yang mempunyai
potensi bagi mengurangkan risiko atau beban akibat kedua-dua keadaan, iaitu kekurangan
zat makanan (penyebab kepada pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan)
serta obesiti dan berlebihan berat badan (penyebab kepada diabetes, penyakit
kardiovaskular dan kanser). Perlaksanaan kepada double-duty actions ini
melibatkan negara-negara yang mempunyai risiko tinggi terhadap masalah double
burden malnutrition
. Antara tindakan dan polisi yang termasuk di dalam
kerangka strategi bagi double-duty actions ini ialah:

  1. Mempromosikan serta melindungi hak penyusuan susu ibu secara eksklusif
  2. Tindakan bagi  perlaksanaan pemakanan sihat pada awal usia
  3. Pemakanan bagi ibu (maternal
    nutrition
    )
  4. Program penjagaan
    kesihatan bagi ibu mengandung
  5. Polisi dan program
    pemakanan di sekolah
  6. Penguatkuasaan bagi
    pemasaran
  7. Kaunseling pemakanan
    untuk remaja
  8. Peningkatan subsidi bagi
    akses kepada makanan dan diet sihat
  9. Cukai bagi mengurangkan
    makanan yang tidak berkhasiat
  10. Promosi penghasilan sumber makanan berkhasiat dan organik melalui
    taman/kebun di rumah
  11. Penguatkuasaan kepada keselamatan makanan

Secara asasnya, bukan semua negara mempunyai
kemampuan dan akses bagi melaksanakan kesemua polisi dan tindakan seperti yang
dinyatakan di atas. Malah, ada sesetengah negara hanya mampu untuk mengemukakan
beberapa polisi yang bersesuaian dengan keadaan di negara mereka. Namun, apa
yang paling penting adalah bagaimana proses perlaksanaan yang dijalankan bagi
setiap polisi serta strategi berkenaan untuk menangani masalah double burden
malnutrition
.

Ramai penyelidik dalam bidang pemakanan
menyatakan bahawa masalah double burden malnutrition ini merupakan suatu
isu yang kompleks dan memerlukan kepada suatu integrasi polisi yang bukan
sahaja melibatkan pemakanan sihat, malah turut melibatkan kawalan terhadap
perkembangan ekonomi, perubahan iklim serta proses urbanisasi. Ini adalah
kerana kesemuanya boleh mencetuskan pengaruh dalam sistem makanan yang
seterusnya membawa kepada perubahan dalam jaminan dan keselamatan makanan. Apa
yang pastinya, para penyelidik kini lebih memberi keutamaan untuk melihat
masalah ini secara bersama, yang mana masalah kekurangan zat makanan (undernutrition)
dan berlebihan berat badan (overnutrition) tidak harus dipandang sebagai
dua masalah yang berbeza.

Bagi langkah penyelesaian yang efektif,
semuanya harus bermula daripada peringkat awal kelahiran seseorang individu
lagi. Disebabkan itulah, tiga strategi pertama yang digariskan dalam double-duty
actions
ialah dengan memberi fokus kepada aktiviti penyusuan susu ibu bagi
bayi, perlaksanaan pemakanan sihat di awal usia serta kesihatan ibu itu
sendiri. Kajian sendiri turut menunjukkan bahawa bayi yang tidak mendapat
pemakanan yang sebaiknya bermula dari tempoh kelahiran hingga seawal usia dua
tahun mempunyai risiko untuk menghadapi masalah berlebihan berat badan pada
peringkat umur yang lebih tua nanti.

Selain itu, fokus juga diberikan kepada penyelesaian
untuk akses bagi sumber makanan yang sihat dan berkhasiat. Dalam hal ini, ia
sebenarnya melibatkan banyak aspek seperti perubahan ekonomi serta keadaan
iklim bagi sesebuah kawasan. Penyelesaian kepada akses makanan sihat ini
memerlukan kepada tindakan proaktif serta kerjasama yang diberikan oleh pasaran
makanan bagi menawarkan produk dan bahan-bahan makanan yang lebih terjamin dari
segi khasiat, keselamatan serta kemampuan untuk dibeli oleh para pengguna.

Apa yang paling penting dalam mencari langkah
pencegahan dan penyelesaian bagi masalah double burden malnutrition ini
ialah bagi semua pihak memahami keadaan yang berlaku bermula dari peringkat isi
rumah (household) sehinggalah ke peringkat populasi yang lebih besar.
Pelan tindakan haruslah diintegrasikan agar bersesuaian dengan setiap peringkat
dan kerjasama antara semua pihak harus diambilkira bagi memastikan keberkesanan
setiap tindakan dan strategi yang bakal dilaksanakan.

Kesimpulan

Double burden malnutrition merupakan suatu masalah global yang melibatkan banyak peringkat. Dalam hal
ini, penyelesaian harus bermula dengan proses pengenalpastian kepada punca
masalah dan seterusnya kepada perancangan bagi polisi tindakan yang sewajarnya
bersesuaian dengan keadaan masalah yang berlaku bagi sesebuah populasi. Pendekatan
bijak yang melibatkan kerjasama semua pihak harus mampu untuk mengurangkan
risiko bagi masalah ini dan seterusnya secara perlahan-lahan menanganinya.

Rujukan

Delisle, H., &
Batal, M. (2016). The double burden of malnutrition associated with poverty. The
Lancet
, 387(10037), 2504–2505.
https://doi.org/10.1016/S0140-6736(16)30795-4

Dietz, W. H. (2017).
Double-duty solutions for the double burden of malnutrition. The Lancet,
390(10113), 2607–2608. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(17)32479-0

Haddad, L., Cameron,
L., & Barnett, I. (2014). The double burden of malnutrition in SE Asia and
the Pacific : priorities , policies and politics. Health Policy and Planning,
1–14. https://doi.org/10.1093/heapol/czu110

Prentice, A. . (2018).
The Double Burden of Malnutrition in Countries Passing through the Economic
Transition. Annals of Nutrition & Metabolism, 72(suppl 3),
47–54. https://doi.org/10.1159/000487383

Rachmi, C. N., Li, M.,
& Baur, L. A. (2018). The double burden of malnutrition in Association of
South East Asian Nations (ASEAN) countries: A comprehensive review of the
literature. Asia Pacific Journal of Clinical Nutrition, 27(4),
736–755. https://doi.org/10.6133/apjcn.062018.02

The post Double Burden Malnutrition: Impak Bebanan Berganda appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots