Remaja Kantoi Gunakan Robot Penulis Untuk Siapkan Kerja Sekolah Dengan Pantas Dan Kemas

Baru-baru ini tular mengenai seorang remaja perempuan di China yang kantoi menggunakan robot penulis bagi menyiapkan kerja sekolahnya dengan pantas dan kemas.

Remaja tersebut menggunakan sebuah mesin yang dikenali sebagai robot penulis untuk menyalin semula perkataan di atas sekeping kertas dengan masa yang pantas.

Ibunya, Zhang, mula mencurigai anak perempuannya apabila dia menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sempena cuti Tahun Baru Cina dengan masa yang singkat selain tulisannya juga lebih kemas dari kebiasaannya.

Sewaktu mengemas bilik anaknya, Zhang menjumpai mesin tersebut bersama kotak pembalutnya yang tertera penerangan tentang fungsi dan cara-cara penggunaannya.

Ketika ditanya, remaja tersebut mengaku menggunakan robot  yang dibeli dengan harga 800 yuan (RM484) bagi menyiapkan tugasan yang diberi guru.

Zhang yang berang segera memarahi anaknya di atas kelakuannya selain merosakkan mesin robot penulis itu.

“Mesin ini membantu kamu untuk menyiapkan kerja di rumah tetapi adakah ia akan membantu kamu semasa peperiksaan?” tulis Zhang di media sosialnya.

Cerita mengenai anaknya tular di laman sosial di China selepas Zhang memuat naik posting dan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang segelintirnya berharap dapat memiliki mesin tersebut sewaktu zaman persekolahan mereka dan majoritinya mengkritik sistem pelajaran di China yang sering meminta pelajar menyalin semula teks dari buku.

Di China, mesin robot penulis ini mudah didapati di laman sesawang jualan atas talian dengan harga yang rendah sehingga tinggi mengikut fungsi yang berbeza-beza.

Sumber: Oddity Central

Sumber : SiakapKeli