Lelaki Maut Selepas Cuba Samun Enam Warga Pakistan

Seorang lelaki maut susulan pergelutan dengan sekumpulan warga Pakistan setelah mangsa bersama dua lagi rakannya bertindak memecah masuk ke rumah warga asing itu di Sungkai, dipercayai untuk menyamun, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, mangsa yang berusia 31 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk bedah siasat.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan terdengar pertengkaran di sebuah rumah di Taman Orkid, Sungkai kira-kira pukul 2.45 pagi tadi.

“Anggota polis Sungkai yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi  mendapati seorang lelaki berada di ruang tamu rumah tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam di bibir dan mata, bengkak di belakang badan serta kanan kepala,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada itu, enam lelaki warga Pakistan berumur antara 27 hingga 38 tahun yang baru mendiami rumah berkenaan kira-kira dua bulan lepas, ditahan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, seorang daripada yang ditahan menyatakan ketika kejadian, dia bersama lima orang rakan yang lain sedang berbual-bual di ruang tamu sebelum didatangi tiga lelaki dengan memegang sebilah parang dan terus mahu menetak mereka,” katanya.

Beliau berkata seorang daripada warga Pakistan itu luka di tangan kiri ketika cuba menahan parang lalu berlaku bergelutan.

Wan Azharuddin berkata polis percaya motif kejadian berpunca daripada mangsa bersama dua rakannya yang masih bebas cuba melakukan samun dengan menggunakan sebilah parang.

“Dua rakan mangsa yang mati masih belum dikenal pasti manakala enam lelaki warga Pakistan itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan,” katanya. – BERNAMA

Sumber : SiakapKeli