XOX Kini Turut Menawarkan eSIM Untuk iPhone Dan iPad

Arena e-SIM kini sudah mula menerima perhatian syarikat telekomunikasi tempatan. Selain Maxis, hari ini XOX turut telah mula menawarkan e-SIM untuk para pengguna talian telekomunikasi mereka, sekaligus memudahkan lagi proses pengguna untuk melanggan sesuatu talian telekomunikasi tanpa perlu menggunakan kad SIM fizikal.

Melalui XOX eSIM, ia ditawarkan untuk beberapa model peranti, iaitu iPhone XR, iPhone XS dan juga iPhone XS Max. Ini sekaligus membolehkan pengguna menggunakan sokongan dwi-SIM pada peranti-peranti berkaitan.

Selain itu, XOX eSIM turut menawarkan sokongan untuk iPad Pro 2018, dan sejumlah peranti import seperti Google Pixel 3 dan juga Google Pixel 2.

Dibawah penawaran eSIM ini, ia disediakan secara percuma dan pelanggan perlu melanggan pakej OneXOX Black – bermula daripada RM39 untuk 8GB data, 50 minit panggilan dan 50 SMS.

XOX eSIM

Buat masa ini, e-SIM disediakan secara langganan berasingan, dan tiada sokongan MNP yang disediakan untuknya.

Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman XOX hari ini.

Sumber : Amanz