Dr Sheikh Muszaphar Shukor – Angkasawan Pertama Negara

Sebut
angkasawan saja, kita akan selalu menyebut nama Neil Armstrong dan Edwin
Aldrin. Yalah, mana tidaknya. Kedua-duanya merupakan orang pertama dan kedua
yang menjejakkan kaki di bulan pada tahun 1969. Bagi warga Rusia pula, siapa
tidak kenal Yuri Gagarin di mana beliau merupakan orang pertama di angkasa
lepas selepas kapal angkasa Vostoknya berjaya mengelilingi bumi pada 12 April
1961. Malaysia juga harus berbangga kerana mempunyai angkasawan pertama bernama
Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Dr
Sheikh Muszaphar merupakan anak jati Kuala Lumpur berdarah Arab-Melayu dan
dilahirkan pada 27 Julai 1972. Beliau pernah bersekolah di Maktab Rendah Sains
MARA (MRSM) di Muar dan berjaya meraih ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan
dari Kolej Perubatan Masturba, Manipal, India. Sebelum dikenali sebagai
angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar merupakan seorang pakar bedah
ortopedik dan pernah berkhidmat di beberapa hospital seperti Hospital Seremban,
Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang. Dan seperti dinyatakan oleh agensi
berita AFP, beliau juga pernah berkecimpung sebagai model sambilan.

Program Angkasawan

Untuk
mengetahui bagaimana Dr Sheikh Muszaphar berpeluang sebagai angkasawan negara,
kita kena lihat Program Angkasawan. Program ini diumumkan secara rasmi oleh
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa penggal pertamanya sebagai
sebahagian daripada program bersama dengan Rusia. Projek ini merupakan projek
kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang terhasil melalui pembelian jet pejuang
Sukhoi Su-30MK untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Melalui
perjanjian ini, Moscow bersedia menanggung perbelanjaan melatih dua rakyat
Malaysia untuk perjalanan angkasa lepas dan seorang calon yang terpilih akan
dihantar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007.

Agensi
Angkasa Lepas Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) iaitu sebuah agensi di bawah
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diberi tanggungjawab memilih
calon-calon yang berkelayakan untuk program ini. Calon yang layak kemudiannya
akan dihantar menjalani Program Latihan Kosmonaut di Star City, Rusia selama 18
bulan. Matlamat utama program berkenaan ialah menaikkan lagi imej negara dan
menyemarakkan minat generasi muda terhadap matematik dan sains. Menurut Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, projek ini
bukan sekadar menghantar anak Malaysia pertama ke angkasa lepas. Bahkan menurut
beliau, ia bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai
lebih banyak kejayaan dengan menceburkan diri dalam sains dan teknologi,
memahami kepentingan sains dan teknologi serta membuka peluang ekonomi baru
terutama dalam sektor angkasa lepas.

Pemilihan
angkasawan ini menyaksikan ramai mendaftarkan diri dalam program berkenaan dan
datang dari pelbagai latar belakang. Tetapi selepas melalui pelbagai peringkat
saringan yang ketat, empat calon akhir dipilih untuk merebut dua slot individu
yang akan berlatih di Star City selama 18 bulan. Selain Dr Sheikh Muszaphar,
senarai berkenaan turut menyaksikan kelibat Dr Faiz Khaleed, Mohammad Faiz
Kamaluddin dan Siva Vanajah. Selepas pihak jawatankuasa bermesyuarat, dua nama
dipilih iaitu Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz. Star City menjadi rumah kedua
mereka selama 18 bulan bagi memantapkan persediaan sebagai angkasawan ke
angkasa lepas.

Jika
ada yang perlekeh tugas tapisan ini nampak senang, sila rujuk ini:

Penapisan

Penapisan
1

  • Larian 3.5 km dalam 20 minit.
  • 27 Ogos dan 3 September 2005.
  • 435 mengambil bahagian, 199 layak.

Penapisan
2

  • Pemeriksaan Perubatan Asas berdasarkan Syarat Program NASA
    (termasuk pemeriksaan mata dan ujian air kencing).
  • 27 Ogos dan 3 September 2005.
  • 194 diuji, 59 lulus.

Penapisan
3

  • Aeromedical 1 (termasuk ujian darah, hidung dan telinga, sinar-X,
    ujian jantung (ECG)).
  • 25 dan 30 September 2005.
  • 59 diuji, 27 lulus.

Penapisan
4

  • Aeromedical 2 (termasuk tulang, rongga udara dan ujian
    centrifuge).
  • 16 dan 21 Januari 2006.
  • 27 diuji, 18 lulus.

Penapisan
5

  • Penilaian keseluruhan berdasarkan prestasi dalam Penapisan 1 dan 4
    dan keupayaan psikiatri, psikologi, teknikal, ujian ikhtiar hidup laut dan
    darat.
  • 16 – 24 Januari 2006.
  • 10 diuji, lapan layak.

Penapisan
6

  • Pemeriksaan perubatan (termasuk Imbasan CT, endoskopi dan analisis
    darah).
  • 25 dan 26 Januari 2006.
  • 10 diuji, lapan layak.

Penapisan
7

  • Penilaian keseluruhan berdasarkan prestasi dalam semua acara
    merangkumi aspek kemahiran perhubungan, keperibadian, ketegasan dan kegigihan.
  • Februari 2006, lapan diuji, empat akan dihantar ke Moscow untuk
    pemeriksaan perubatan lanjut.

Penapisan
8

  • Pemeriksaan perubatan di Rusia termasuk neurologi (otak) dan
    penyesuaian tubuh dalam persekitaran mikrograviti.
  • Mac 2006, empat diuji, dua dipilih untuk menjalani latihan.

Penapisan
9

  • Latihan di Pusat Latihan Kosmonot Gagarin, Rusia. September
    2006-Oktober 2007, seorang akan dipilih untuk terbang ke Stesen Angkasa
    Antarabangsa. Seorang lagi akan bertindak sebagai bantuan.

Latihan dan persediaan

Jika
ada yang menganggap latihan angkasawan ini seperti kacang, sila telan balik
semua kacang anda. Latihan pertama mereka sebaik menjejak kaki ke pusat
tersebut adalah pendedahan terhadap segala bentuk teori dan navigasi angkasa
serta mempelajari bahasa Rusia selama empat jam sehari. Mereka kemudiannya
berdepan latihan fizikal yang agresif termasuk pernah menjalani ujian kemandirian
diri dalam cuaca sejuk melampau di Siberia awal tahun 2007. Mereka juga turut dilatih
bagaimana berdepan dengan suasana sejuk 30 darjah Celcius di bawah paras beku
sekiranya kapsul yang membawa mereka pulang mendarat di kawasan itu. Dr Faiz
dan Dr Sheikh Muszaphar juga perlu berhadapan dengan ujian kemandirian dalam
air termasuk dicampak ke Laut Hitam, sebagai persediaan berdepan dengan risiko
pendaratan kapsul yang sama. Mereka juga harus menjalani satu peringkat latihan
terapung pada kedudukan graviti kosong dalam penerbangan parabolik di pusat
latihan angkasawan tersebut.

Jika
ini saja sudah mencabar, jangan cakap latihan harian pula. Seperti angkasawan
lain, mereka perlu menjalani latihan rutin berenang dan berjoging sejauh lima
kilometer setiap hari. Calon angkasawan negara turut menjalani latihan di dalam
sebuah kolam yang dikenali sebagai hydrolab sedalam 15 meter dengan memakai
pakaian khusus yang dipanggil ORLAN. Tujuan utama latihan yang perlu dijalani
selama enam jam dalam satu sesi itu bertujuan mendedahkan angkasawan negara
kepada persekitaran sebenar tanpa graviti ketika berada di ISS termasuk melakukan
pergerakan di angkasa (EVA).

Pada
penghujung September 2007, Dr Faiz dan Dr Sheikh Muszaphar telah berlepas ke Agensi
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Houston, Amerika
Syarikat (AS), untuk mempelajari modul angkasa lepas NASA. Ini kerana sebahagian
ISS diuruskan oleh Rusia manakala sebahagian lagi oleh AS dan angkasawan negara
perlu berada di kedua-dua bahagian ISS semasa berada di sana. Selain saintis
Rusia dan Amerika, kedua-dua calon angkasawan ini turut menjalani latihan
bersama para saintis dari Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) di Jerman bagi
mempelajari cara-cara untuk melaksanakan eksperimen saintifik di ISS.

Tempoh
tiga bulan terakhir sebelum berlepas ke angkasa lepas dianggap saat paling
mencabar memandangkan banyak latihan dilaksanakan. Nampak seperti satu
penderaan tetapi hakikatnya ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan fizikal
dan mental supaya prestasi dan kecergasan kedua-dua calon berkenaan tidak
terjejas. Malah, sebulan sebelum berlepas ke angkasa lepas, kedua-dua calon
angkasawan ini juga tidak dibenarkan keluar dari pusat latihan Yuri Gagarin
berdasarkan peraturan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos). Penat lelah
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz bagaimanapun berbaloi apabila beliau dipilih
sebagai angkasawan pertama negara dengan doktor gigi dari TUDM ini pula
memainkan peranan sebagai angkasawan sokongan. Pemilihan ini diumumkan oleh
Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada September 2007. Kos untuk program
ini sebanyak RM105 juta atau $26 juta, satu angka yang dianggap membazir tetapi
dipertahankan pihak kerajaan kerana ia merupakan sebahagian daripada pembelian
Sukhoi.

ISS

Pada
10 Oktober 2007, Dr Sheikh Muszaphar bersama Yuri Malenchenko (Rusia), Peggy Whitson
(AS) dan Yi So-yeon (Korea Selatan) berlepas ke angkasa lepas dengan misi Soyuz
TMA-11. Semasa berada di ISS selama 10 hari, beliau menjalankan pelbagai
eksperimen seperti mengkaji ciri-ciri dan pertumbuhan sel kanser dan leukemia
serta mengkaji proses penghabluran pelbagai jenis protein dan mikrob.
Eksperimen membabitkan sel kanser dan leukemia bertujuan memberi manfaat kepada
bidang sains am dan penyeldikan perubatan. Manakala eksperimen penghabluran
pelbagai jenis protein dan mikrob pula untuk melihat bagaimana ia dapat
membantu industri tempatan. Untuk kelas pengajian secara langsung pula, Dr
Sheikh Muszaphar turut membuat demonstrasi bagaimana cecair dan objek berpusing
memberi reaksi bila ia berada dalam keadaan mikrograviti.

Memandangkan
beliau merupakan seorang angkasawan Muslim dan masa yang dipilih kebetulan pula
pada penghujung bulan Ramadan, Majlis Fatwa Kebangsaan turut menghasilkan
sebuah buku panduan bagi angkasawan beragama Islam semasa berada di angkasa
lepas. Buku panduan yang bertajuk Panduan Cara Beribadah di Stesen Angkasa
Lepas Antarabangsa ini menerangkan perkara seperti bagaimana hendak bersolat
dalam keadaan mikrograviti, bagaimana hendak mengesan arah kiblat dari ISS dan
isu berkenaan berpuasa di ISS. Dr Sheikh Muszaphar menyambut Aidilfitri bersama
krew ISS dan mengagihkan sedikit sate dan biskut raya untuk dikongsi bersama
mereka pada 13 Oktober 2007.

Selepas
berada di ISS selama 10 hari, beliau bertolak pulang bersama Soyuz TMA-10
bersama Yuri Kotov (Rusia), Fyodor Yurchikin (Rusia) dan Charles Simonyi (AS).
TMA-10 bertolak dari ISS pada 21 Oktober tetapi berdepan sedikit masalah semasa
hendak memasuki atmosfera bumi hingga memaksa ia mendarat di barat Arkalyk, 340
kilometer dari barat daya tempat pendaratan sebenar Kazakhstan. Apabila
Suruhanjaya Siasatan menyiasat perkara tersebut, kemasukan ini berlaku
berikutan kerosakan pada sebuah kabel pada panel kawalan kapal angkasa yang
bersambung dengan panel kawalan yang mengawal peralatan penurunan Soyuz.

Legasi

Sejak
kembali dari angkasa lepas, Dr Sheikh Muszaphar dianggap sebagai seorang
selebriti. Tetap bagi beliau, status itu langsung tidak memberi sedikit kesan
pun kepadanya. Ini kerana menurut beliau, pemergiannya ke angkasa lepas
bertujuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda
untuk berjinak-jinak dengan bidang sains terutama angkasa lepas. Bukan sekali
dua beliau dijemput memberi syarahan dan berkongsi pengalamannya semasa berada
di angkasa lepas bukan saja dalam negeri tetapi juga di luar negara seperti
Amerika Syarikat, Belanda dan Brunei.

Dan
minatnya terhadap dunia angkasa lepas masih menyala walaupun 12 tahun misinya
ke ISS. Ini termasuk seruan beliau kepada pihak kerajaan untuk meneruskan
program angkasawan kedua negara dan berharap sekiranya ia dapat diteruskan,
rakan lamanya dari Star City iaitu Dr Faiz kembali dipertimbangkan untuk
program itu. Pada tahun lepas, selepas mendengar rancangan Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi yang merancang hendak menghantar angkasawan negara ke
angkasa lepas pada 2030, Dr Sheikh Muszaphar menyeru pihak kerajaan untuk
berkolaborasi dengan China di medan berkenaan.

Menurut
beliau, kerjasama sebegini amat menguntungkan kepada kedua-dua pihak dengan
beliau sendiri mempunyai hubungan baik dengan angkasawan mereka termasuk
angkasawan pertama China Yang Liwei. Dr Sheikh Muszaphar juga berharap
sekiranya program itu diteruskan, maka tidak salah jika seorang wanita dipilih
sebagai angkasawan kedua negara. Ini kerana beliau berpandangan pemilihan sebegini
memberi impak besar kepada kaum Hawa kerana individu tersebut sudah pasti akan
menjadi sumber inspirasi wanita untuk berjaya.

Dr
Sheikh Muszaphar juga tidak teragak-agak untuk memusnahkan semua mitos yang
menjadi mainan geng konspirasi termasuk bumi rata. Dakwaan sebegini bukan
sekali dua ditembak jatuh oleh ramai orang dari golongan cendekiawan
sehinggalah penulis The Patriots sendiri tetapi ia masih berdegil untuk hilang.
Terbaru, penyanyi Suhaimi Saad mencabar beliau membuktikan bahawa bumi itu
sememangnya sfera. Ini mendorongnya berkongsi pengalaman semasa berada ISS di
mana mereka mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari. Menurut beliau, setiap
45 minit matahari terbit dan terbenam mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000
km sejam. Kenyataan Dr Sheikh Muszaphar ini turut disokong oleh Mufti Wilayah
Persekutuan Sahibus Samahah Dato Seri Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri dan penjelajah
Grand Slam negara Muhamad Muqharabbin ‘Kobin’ Mokhtaruddin.

SUMBER

1.
Baldwin, Chris. (2007). First Malaysian in space tells of bumpy ride back.  Reuters. https://www.reuters.com/article/us-space-malaysian-idUSL2342625120071023

2.
Malaysiakini. (2018). Dr Sheikh: Work with China, send woman on 2030 space
mission. https://www.malaysiakini.com/news/449759

3.
Mei Zi, Tan. (2019). Challenged to prove Earth ‘not flat’, Angkasawan relates
spiritual experience in space.  Malay
Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/15/challenged-to-prove-earth-not-flat-angkasawan-relates-spiritual-experience/1723351

4.
Utusan Malaysia. (2007). Proses pemilihan dan latihan. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_07.htm

5.
Jailani, Wan Amsyar. (2019). Qobin sangkal dakwaan Suhaimi bahawa bumi ini
datar. Kosmo. http://www.kosmo.com.my/terkini/qobin-sangkal-dakwaan-suhaimi-bahawa-bumi-ini-datar-1.842783

6. AR, Zurairi. (2019). FT Mufti: Flat Earth conspiracy theory misguided, opposes irrefutable consensus. Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/02/18/ft-mufti-flat-earth-conspiracy-theory-misguided-opposes-irrefutable-consens/1724106

The post Dr Sheikh Muszaphar Shukor – Angkasawan Pertama Negara appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots