HTC Dilaporkan Berminat Melesenkan Penggunaan Jenama Mereka Kepada Pengeluar Lain

High Tech Computer Corporation ialah nama sebenar akronim HTC. Syarikat ini mempunyai sejarah yang cemerlang dalam dunia telefon pintar. Tanpa HTC, peranti Android pertama tidak dapat dihasilkan dan mereka mempelopori teknologi dwi-kamera, sentuhan haptik pada tubuh dan pembesar suara stereo di hadapan. Nasib HTC kurang baik sejak lima tahun kebelakangan ini dengan tumpuan kini diberikan kepada pembangunan peranti realiti maya.

Menurut laporan dari Brandequity, HTC kini berminat untuk melesenkan penggunaan jenama mereka kepada pengeluar lain di India. Antara syarikat yang dilaporkan berminat adalah Micromax, Lava International dan Karbonn Mobiles. Tahun lalu HTC telah mengecilkan operasi mereka di India dengan memberhentikan 80 orang pekerja. Dengan perlesenan jenama HTC di India, pengeluar yang kurang ternama boleh memasuki arena peranti yang dijual pada harga INR 10,000 (~RM 574) yang kompetitif.

HTC bukan satu-satunya syarikat yang melesenkan penggunaan jenama mereka. Jenama Nokia sendiri dilesenkan kepada HMD Global manakala Blackberry pula dilesenkan kepada TCL.

Sumber : Amanz