Pocophone F1 Lite Tersenarai Di Geekbench – Dijana Snapdragon 660

Pocophone F1 adalah peranti dari sub-jenama Xiaomi, Pocophone yang mempunyai spesifikasi peranti mercu – tetapi berharga sebuah peranti kelas pertengahan. Semua pasti sudah mengenali Xiaomi sebagai satu syarikat yang banyak melancarkan telefon pintar dari pelbagai variasi dan harga yang sangat kompetetif.

Nampaknya, sub-jenama Pocophone ini bukan sahaja memfokuskan peranti berspesifikasi tinggi – kerana sebuah peranti Pocophone dengan janaan cip Snapdragon 660 tersenarai dalam laman skor tanda aras Geekbench. Peranti ini adalah Pocophone F1 Lite. Peranti ini menerima skor 1341 untuk prestasi satu teras dan skor 4830 untuk prestasi multi-teras.

Peranti ini dilihat mempunyai memori 4GB RAM dan menjalankan Android 9.0 Pie. Skor buat Pocophone F1 Lite ini kemudian hilang di dalam pangkalan data Geekbench, tetapi digantikan dengan Xiaomi Uranus. Menurut sumber, Uranus adalah kod nama buat peranti ini. Jika peranti ini adalah peranti yang bakal dilancarkan Xiaomi, ia mungkin akan menjadi peranti Snapdragon 660 yang paling berbaloi – kerana siri Pocophone setakat ini menawarkan harga peranti yang tiada pesaing boleh tawarkan.

Sumber : Amanz