SKMM Larang Sebarkan Video Insiden Tembakan Rambang Di Masjid Christchurch

Beberapa jam lepas, berlaku satu insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand. Suspek yang didakwa seorang lelaki memandu sebuah kereta dan memasuki ke dalam masjid bersama selaras senapang dan melepaskan tembakan rambang ketika jemaah sedang mendirikan solat jumaat.

Dalam insiden tersebut, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan 40 orang terkorban dan 20 orang cedera parah termasuk 2 orang rakyat Malaysia. Kesemua yang cedera sedang dirawat di hospital berdekatan.

Dalam pada itu, tersebar meluas sebuah video siaran langsung (Live) menerusi laman sosial suspek yang merakam isiden tembakan rambang tersebut. Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi peringatan kepada semua pengguna media sosial di Malaysia agar tidak menyebarkan video insiden tersebut.

SKMM dalam kenyataan media menyatakan, tindakan ini perlu bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku seperti keadaan panik dan marah dalam kalangan rakyat Malaysia.  Dalam pada masa yang sama, SKMM turut bekerjasama dengan semua penyedia perkhidmatan media sosial untuk menurunkan  rakaman berkenaan.

Sebarang perkongsian yang berunsurkan ancaman dan jelik adalah salah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. SKMM memandang serius dengan perkara ini dan bakal mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Sumber: SKMM

Sumber : SiakapKeli