Pandang Pertama: OPPO F11 Pro – Tanpa Takuk, Helio P70, Bateri 4000 mAh

OPPO F11 Pro
Skrin 6.53” LTPS LCD, FHD+, 19.5:9
Chipset MediaTek Helio P70
CPU 4 x Cortex-A73 2.1 GHz
4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 6GB RAM
Storan 64GB + mikroSD
Kamera Utama 48MP f/1.8 + 5MP
Kamera Hadapan 16MP
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem Android 9.0 Pie
Color OS 6
Bateri 4000 mAh, pengecasan VOOC 3.0
Dimensi 161.3 x 76.1 x 8.8 mm
Berat & Ketebalan 190g, 8.8mm

OPPO sedia menawarkan siri OPPO F yang merupakan siri yang memfokuskan kepada fungsi swafoto. Ia antara siri yang cukup peting untuk OPPO, kerana ia menawarkan peranti kelas pertengahan yang seimbang pada harga yang berpatutan. Ia kini telah melalui pelbagai perubahan yang drastik – seperti rekaan dan spesifikasi – apabila dibandingkan dengan generasi awal siri OPPO F1 ini.

OPPO F1 telah memulakan langkah siri ini, dengan penawaran kamera hadapan 13MP. Kemudiannya, OPPO F3 telah hadir dengan sistem dwi-kamera hadapan, melalui tampilan sensor 16MP dan 8MP. Bermula OPPO F5, ia telah beralih kepada rekaan skrin penuh bagi memenuhi kegunaan peranti terkini. OPPO F5 dilihat kembali dengan keupayaan satu kamera hadapan, melalui tampilan 16MP bersama aperture yang lebih besar iaitu f/1.8.

Apabila era takuk tiba, OPPO F7 turut menggunakan rekaan bertakuk ini, melalui tampilan skrin LTPS LCD sebesar 6.23-inci. Keupayaan kamera hadapannya juga menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan menghadirkan sensor 25MP f/2.0. Pada tahun lalu, OPPO F9 telah menawarkan takuk titisan air yang lebih kecil, selain hadir dengan kamera hadapan 25MP f/1.8.

Pada hari ini, trend peranti sudah beralih kepada rekaan skrin penuh sepenuhnya tanpa menyajikan sebarang takuk. Siri OPPO F turut tidak ketinggalan dalam mengikuti rekaan ini melalui perkenalan OPPO F11 Pro. Ia dijayakan dengan mekanisme kamera yang boleh dikeluarkan, seumpama peranti Vivo NEX yang dikeluarkan pada tahun lalu. Beberapa perubahan turut dibawa oleh model ini, terutama dari segi binaan, kamera, dan prestasi.

Rekaan

Sebagai permulaan, OPPO F11 Pro menawarkan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin LTPS LCD pada saiz 6.53-inci, cip MediaTek Helio P70, memori 6GB RAM, dan storan dalaman sebesar 64GB bersama slot mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

OPPO F11 Pro menampilkan rekaan belakang serba baru dengan perletakkan kamera dan pengimbas cap jari di bahagian tengah. Ia tidak lagi menempatkan rekaan kamera di bahagian kiri seperti model sebelumnya. Rekaan belakang ini juga masih tampil dengan binaan berasaskan plastik, tetapi masih memberi penampakan peranti yang premium. Bagi memberi penampakan peranti yang lebih menarik, ia juga didatangkan dengan kemasan berwarna cerun (gradient) dengan campuran warna biru, hitam, dan ungu. Berat peranti juga dilihat semakin bertambah dengan adanya kapasiti bateri yang lebih besar.

Untuk sambungan, ia masih mengekalkan sambungan micro-USB pada bahagian bawah berbanding sambungan berasaskan USB-C. Namun ia masih menyajikan sambungan bicu audio di bahagian bawah peranti, bersama-sama dengan saluran pembesar suara. Di bahagian sisi kanan, ia turut mendatangkan slot dwi-sim berasaskan hibrid, dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim kedua.

Rekaan hadapannya hadir dengan paparan berskrin penuh sebesar 6.53-inci FHD+, dengan panel berasaskan LTPS LCD. Kualiti paparannya dilihat sangat baik, yang mana ia memberi warna yang lebih terang berbanding skrin IPS LCD biasa. Bagi menjayakan rekaan skrin penuh ini, ia telah mempunyai bahagian yang dikeluarkan bagi perletakkan kamera hadapan. Untuk sokongan earpiece dan sensor proximity pula, ia telah ditempatkan pada garisan yang sangat kecil iaitu di bahagian atas skrin peranti.

Kamera hadapan yang boleh dikeluarkan secara automatik ini sewaktu anda membuka kamera hadapan, aplikasi yang memerlukan kamera ini, dan ketika menyahkunci peranti. Apa yang impresif, kadar pengeluaran kamera ini dilihat sangat pantas, sekaligus tidak memerlukan anda menunggu lama untuk kamera ini bersedia. Cuma ia mengeluarkan sedikit bunyi mekanikal, yang mana mudah didengari ketika anda berada di dalam lokasi yang sunyi.

Dari segi variasi, OPPO F11 Pro ditawarkan dalam satu variasi sahaja di Malaysia, iaitu 6GB RAM dengan storan 64GB. Variasi ini adalah serupa seperti OPPO F9, yang juga turut menawarkan jumlah memori dan storan yang sama. Seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain, ia masih membawakan slot kad mikroSD dengan sokongan sehingga 256GB, sekiranya storan dalaman peranti ini masih tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

OPPO F11 Pro telah membawakan antaramuka ColorOS 6 serba baru, bersama sistem operasi Android 9.0 Pie. Antaramuka ini kelihatan jauh lebih moden berbanding sebelum ini, yang kini digarap dengan sejumlah elemen seumpama tampilan asli Android Pie. Ia juga kini memberi pilihan untuk mengaktif dan mematikan talam aplikasi, seperti yang sedia ditawarkan pada peranti Honor dan Huawei.

Rekaan aplikasi terbina telah diubah sepenuhnya, yang kini merangkumi penggunaan warna cerun moden bersama font OPPO Sans yang lebih unik. Rekaan talam notifikasinya juga kini menerima perubahan yang drastik, melalui bentuk butang kawalan yang hadir dalam bentuk segi empat yang membulat. OPPO juga telah menambahbaik pengoperasian aplikasi pada ColorOS ini, yang kini dapat menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 7%.

Prestasi

OPPO F11 Pro telah ditingkatkan kepada cip MediaTek Helio P70, dengan peningkatan prestasi sebanyak 13% berbanding cip Helio P60 pada OPPO F7 dan F9. Helio P70 membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Cortex-A73 2.0 GHz + 4 x Cortex-A53 2.0 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G72 MP3. Cip ini juga dilihat telah dibina berasaskan 10nm, sekaligus memberi penjimatan tenaga yang lebih baik untuk bateri. Penawaran memorinya juga dilihat memadai untuk kegunaan pengguna, dengan konfigurasi 6GB RAM bersama storan 64GB berasaskan eMMC 5.1.

Kamera

Dari segi kamera, OPPO F11 Pro membawakan peningkatan yang drastik berbanding model sebelum ini, melalui padanan sensor utama 48MP (f/1.8, 1/2″, 0.8µm) dan sensor kedua 5MP untuk hasilan bokeh. Ia tidak didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Keupayaan kameranya telah ditetapkan kepada resolusi 12MP secara terbina bagi membolehkan ia menjayakan teknik pixel binning. Teknik ini akan menggabungkan data daripada beberapa lapisan gambar, bqti membolehkan hasilan gambar ditingkatkan dari segi keperincian, perwarnaan, dan pencahayaan. Apabila anda menetapkan resolusi kepada 48MP, anda tidak dapat menikmati keupayaan zoom digital sebanyak 2x, HDR, atau fungsi pengoptimasian berasaskan AI.

Apa yang menarik pada model OPPO F kali ini, ia telah diberi fungsi penggambaran malam khas melalui fungsi Nightscape. Ia dapat menghasilkan gambar malam dengan kualiti yang lebih mengagumkam, melalui teknik tangkapan slow shutter 4 saat yang distabilkan melalui AI. Fungsi ini beroperasi seumpama fungsi Night Mode pada peranti Huawei, dengan memerlukan pengguna memegang peranti selama 4 saat untuk menjayakannya.

Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia telah diturun-taraf kepada kamera 16MP, berbanding 25MP f/1.8 pada OPPO F9. Ia mungkin berikutan daripada rekaan kamera yang boleh dikeluarkan, melalui ruang perletakkan modul yang kecil. Namun hasilannya masih dilihat baik, dengan penawaran dynamic range yang memuaskan melalui percubaan awal saya bersama peranti ini.

Dari segi fungsi, ia masih menawarkan rakaman video [email protected] berbanding rakaman berasaskan 4K. Ia juga menyajikan beberapa mod menarik, seperti panorama, time-lapse, slo-mo, dan Google Lens. Fungsi Expert juga turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran exposure, white balance, fokus, dan EV.

Bateri

Dari segi bateri, ia telah menerima penambahbaikan kapasiti, melalui kehadiran bateri 4000 mAh berbanding 3500 mAh pada OPPO F9. Kapasiti ini dilihat sangat besar untuk peranti sekelasnya, yang mana kebanyakan hadir dalam kapasiti 3000-3400 mAh. Dengan penggunaan 10nm menerusi cip MediaTek Helio P70 ini, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin melebihi 7 jam.

Sejak daripada pengenalan OPPO F9, OPPO telah menawarkan fungsi pengecasan pantas VOOC, setelah ia diperkenalkan pada siri peranti OPPO yang lebih mahal. Pada OPPO F11 Pro, sistem pengecasan ini telah dinaiktaraf kepada VOOC 3.0, yang mana dapat menyingkatkan masa pengecasan yang lebih pantas. Walaupun hadir dengan kapasiti 4000 mAh, OPPO mengatakan ia mampu dicas sehingga penuh dalam masa di bawah 80 minit sahaja.

Rumusan

OPPO F11 Pro dilihat tidak lagi memfokuskan kepada fungsi swafoto semata-mata dengan menawarkan sebuah peranti gaya hidup yang cukup lengkap dan elegan. Ia mempunyai perubahan yang ketara dari segi rekaannya, yang kini kelihatan lebih kemas dan anggun, melalui tampilan warna cerun yang cukup menarik. Rekaan hadapannya juga tidak lagi hadir dengan binaan bertakuk, bagi memberi penampakan peranti yang unggul dan lebih futuristik.

Dalamannya juga hadir mempunyai peningkatan, melalui penggunaan cip MediaTek Helio P70 yang dengan rekaan cip 10nm yang lebih efisien. Keupayaan kameranya juga telah dipertingkatkan kepada sensor 48MP (f/1.8, 1/2″, 0.8µm) + 5MP dalam memberi penggambaran berkualiti tinggi. Kapasiti baterinya juga telah ditambahbaik, dengan kehadiran bateri berkapasiti 4000 mAh yang boleh dicas secara pantas melalui pengecasan VOOC 3.0.

Peranti ini masih belum diumumkan dari segi harga jualannya, namun dijangka akan dilancarkan di pasaran tempatan pada 19 Mac 2019. Ia juga mungkin ditawarkan dalam dua pilihan warna, menerusi pilihan warna Thunder Black atau Aurora Green. Dengan rekaan dan sistem kamera baru, prestasi yang ditambah baik, bersama kapasiti bateri yang lebih besar, OPPO F11 Pro ini mempunyai potensi yang sangat besar dalam memberi pengalaman penggunaan yang sangat baik kepada pengguna.

Sumber : Amanz